Majlis Sukan Negara Malaysia
Taklimat Penyelarasan Takwim Program Bakat dan Pelapis Negeri 2024

Majlis Sukan Negara telah mengadakan sesi Taklimat Penyelarasan Takwim Program Bakat dan Pelapis Negeri 2024 bersama Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) pada 12 Januari 2024 bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Tujuan taklimat ini diadakan adalah untuk menyelaras program pembangunan bersama PSK seterusnya menyediakan perancangan aktiviti program sebagai takwim sukan tahun 2024.

Pengumumkan Peningkatan Jumlah Gaji Minimum

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan peningkatan jumlah gaji minimum dari RM800 kepada RM1,500 buat atlet yang baru memasuki Program Podium, penambahan sebanyak RM700.

Peningkatan gaji ini melibatkan semua atlet dibawah Program Podium yang memenangi pingat di temasya Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Kejohanan Asia, Kejohanan Komanwel dan di Kejohanan Dunia.

Elaun atlet pelapis kebangsaan turut dinaiikkan dari RM500 kepada RM700 bagi yang memenangi pingat sekurang-kurangnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) atau mana-mana Kejohanan Kebangsaan atau Kejohanan Remaja Kebangsaan. Manakala RM500 diberikan kepada atlet pelapis yang belum memenangi sebarang pingat di SUKMA atau mana-mana Kejohanan Kebangsaan atau Kejohanan Remaja Kebangsaan.

393 atlet termasuk atlet para akan menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula bulan Januari melibatkan 11% bagi pihak atlet dan 13% dari MSN.

MAJLIS AMANAT MENTERI BELIA DAN SUKAN TAHUN 2024

Majlis Amanat YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bersama atlet, jurulatih dan Persatuan Sukan Kebangsaan bagi tahun 2024 telah diadakan pada 11 Januari 2024 bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Dalam amanatnya, YB Menteri memperkenalkqn inisiatif baru seperti, Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA) yang memastikan caruman dalam KWSP dan PERKESO untuk simpanan masa hadapan kepada semua atlet-atlet kebangsaan dan meningkatkan jumlah elaun latihan mengikut program atlet.

Seterusnya, mengadakan kajian semula elaun menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan. Selain itu, Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) juga akan diperkasa dengan penyaluran bantuan supaya dapat mengendalikan aspek perancangan seperti latihan, penyertaan ke pertandingan antarabangsa, pengawalan peralatan latihan serta bayaran elaun atlet-atlet.

Di akhir ucapan beliau menyatakan fokus utama bagi tahun 2024 adalah misi tambah pingat emas pada Sukan Olimpik Paris nanti. Seterusnya penganjuran temasya dan acara utama seperti Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024 dan Le Tour de Langkawi 2024 serta mempersiapkan Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 di Thailand.

ARRIFIN DAN JEFRI DILANTIK TIMBALAN KETUA PENGARAH MSN SECARA RASMI

KUALA LUMPUR (8 Januari) – Majlis Sukan Negara mengumumkan pelantikan Arrifin Mohd Ghani dan Jefri Ngadirin sebagai Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara berkuatkuasa hari ini.

Arrifin, 55 tahun, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengkomersialan dan Pemasaran) manakala Jefri, 51 tahun, sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan).

Arrifin yang mempunyai ljazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara memulakan tugas di MSN pada 1995 sebagai Ketua Unit Hubungan Antarabangsa sebelum dilantik sebagai Ketua Unit Program Latihan Atlet pada 1998 dan Pengarah Cawangan Elit pada 2004.

Beliau kemudian memegang jawatan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan pada 2015, diikuti Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan pada 2018.

Beliau kemudiannya dipinjamkan ke Majlis Sukan Negeri Melaka sebagai Pengarah MSN Melaka daripada 1 Februari 2019 sehingga 4 April 2020, sebelum dipinjamkan ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Sukan sehingga Ogos 2023.

Beliau kembali ke MSN untuk memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengkomersialan dan Pemasaran).

Sementara Jefri yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Miami, Florida, Amerika Syarikat memulakan tugas sebagai pegawai di Bahagian Pembangunan MSN pada 1993 sebelum menyambung pengajian ijazahnya daripada 1996 hingga 1999.

Kembali menyertai MSN pada 1999 di Bahagian Pembangunan sehingga 2003, Jeffri kemudiannya dilantik Ketua Unit Sukan Teras pada 2004 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Pelapis pada 2005 hingga 2014, diikuti Pengarah Bahagian Atlet pada 2015.

Majlis penyerahan surat pelantikan dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, disaksikan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

CAWANGAN KOMUNIKASI KORPORAT

MAJLIS SUKAN NEGARA

8 JANUARI 2024

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengesahkan beberapa perkara utama seperti acara-acara yang akan dipertandingkan dengan membabitkan 10 jenis sukan, pelantikan Ketua Delegat Teknikal dan Pengurus Pertandingan serta pembentangan daripada Sekretariat Para SUKMA XXI Sarawak 2024. Mesyuarat tersebut turut memaklumkan berkaitan kuota atlet serta pegawai kontinjen untuk bersama-sama di Kuching, Sarawak pada September nanti.

Turut hadir sama YBhg. Dato’ Sri Megat D. Shahriman Dato’ Zaharudin (Presiden MPM), YBrs. En. Abd Aziz bin Abd Rahman (TKP Bahagian Pembangunan Sukan, JBSN), Sekretariat Para SUKMA XXI SARAWAK 2024, Pengarah-pengarah JBSN dan Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan.

Temubual Ekslusif di Planet Sukan saluran TV1

Saksikan temubual ekslusif di Planet Sukan saluran TV1 bersama YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN mengulas lanjut mengenai “Recap 2023” pada 7 Januari 2024 (Ahad) pada jam 10.00 malam!

Liga Jelajah Esports Malaysia

Kejohanan Liga Jelajah Esports Malaysia kini bermula dengan penyertaan sebanyak 16 pasukan yang terdiri daripada 13 pasukan negeri dan 3 pasukan Wilayah Persekutuan bermula 25 hingga 30 Disember 2023 bertempat di Dewan Banquet Casa 4, Majlis Sukan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Program ini merupakan kesinambungan daripada program Jelajah Esports Malaysia yang telah berlangsung sepanjang bulan November dan Disember yang lalu.

Promosi makanan sempena sambutan Hari Natal 2023

Promosi makanan sempena sambutan Hari Natal 2023 telah diadakan di Kafeteria Atlet Time Out MSN Bukit Jalil.

Pelbagai menu bertemakan Hari Natal disediakan khas untuk atlet-atlet negara bagi menyerikan lagi suasana perayaan Hari Natal yang akan disambut tidak lama lagi.

Menu seperti Orang-glazed Roasted Chicken with Cavolo Nero & Walnut Stuffing, Ottolenghi’s Potatoes Tarte Tartin, Christmas Apricot Chicken Roulade, Stir-fried Spaghetti with Basil & Parsley Pesto, Ginger Bread Cookies, Woodland Christmas Yule Log Cake, Chocolate & Cherry Christmas Pudding, Cranberries Coconut Triffle dan banyak lagi menu menarik yang lain telah mendapat sambutan menggalakkan dari semua atlet yang mendapatkan sajian di Kafeteria Atlet Time Out MSN Bukit Jalil.

Selamat menyambut Hari Natal kepada semua atlet, warga sukan MSN dan seluruh rakyat Malaysia🎄

Sesi Perbincangan Meja Bulat bersama Kelab dan Persatuan Bola Sepak

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah hadir ke Sesi Perbincangan Meja Bulat bersama Kelab dan Persatuan Bola Sepak Seluruh Negara bertempat di Bukit Jalil pada Selasa.

Perbincangan ini merupakan satu inisiatif YB Menteri untuk mendengar cadangan serta penambahbaikan daripada pemegang-pemegang taruh bola sepak bagi menjadikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) lebih efisien dan efektif.

Turut hadir sama, YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN dan YBrs. Encik Arrifin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) MSN.

Kejohanan Junior Cycling Malaysia

KANGAR, 19 DISEMBER 2023 – Kejohanan Junior Cycling Malaysia Ujian Masa Perseorangan Siri 4-2023 Perlis telah bermula dan tamat di Hadapan Taman Ular, Sg Batu Pahat.

Seramai 50 orang pelumba bersaing dalam mewakili 17 pasukan dengan jarak perlumbaan sejauh 19.8km pada selasa.

Majlis Sukan Negara Malaysia