Terengganu sasar 75 emas di Sukma Sarawak

Kuala Terengganu: Terengganu meletakkan sasaran 75 pingat emas dalam misi merampas semula gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-21 di Sarawak pada Ogos depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran diletakkan itu mengatasi pencapaian kontinjen negeri pada temasya sama di Kuala Lumpur, dua tahun lalu apabila memperoleh 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa untuk berada di tempat kedua.

Beliau berkata, misi meraih 75 pingat emas dilihat realistik berdasarkan kepada persiapan rapi yang diatur Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sejak dua tahun lalu.

“Cita-cita Terengganu tahun ini cukup besar iaitu untuk merampas gelaran juara keseluruhan yang kali terakhir dimenangi enam tahun lalu di Perak dan sasaran awal 75 pingat emas telah diletakkan.

“Antara jenis sukan yang dilihat mampu menjadi penyumbang pingat emas terbesar sudah tentu acara berbasikal, pelayaran, judo, kenu, petanque dan ‘ibu’ segala pingat iaitu bola sepak.

“Selain itu, ada beberapa jenis sukan baharu yang berpotensi menghadiahkan pingat emas seperti olahraga kerana kita memiliki atlet prospek yang mampu menyinar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pentauliahan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan sempena Temasya Sukma XXI Sarawak 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut diumumkan pada majlis sama adalah pelantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai ketua kontinjen ke Sarawak.

Ahmad Samsuri berkata, kontinjen Terengganu di Sukma Sarawak nanti akan diwakili 1,076 atlet, pengurus dan jurulatih dalam 36 jenis sukan yang disertai daripada 37 yang dipertandingkan.

Beliau berkata, MSNT akan meningkatkan kerjasama dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) bagi mengekang isu doping daripada berlaku dalam kalangan atletnya.

Katanya, kontinjen Terengganu tidak boleh terpalit dengan isu penyalahgunaan bahan terlarang dan persatuan-persatuan sukan dinasihatkan memantau atlet di bawah kendalian mereka.

Ketika ditanya mengenai insentif kepada atlet Terengganu, Ahmad Samsuri berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya membuat pengumuman berkenaan.-Harian Metro