Sumali cabar pemain negara julang Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan melontarkan cabaran kepada barisan pemain negara untuk muncul juara Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan bermula dari 18 hingga 26 Mei ini di Stadium Titiwangsa.

Beliau, berkata sudah lama Malaysia tidak muncul juara dengan menewaskan musuh tradisi, Thailand dan kejohanan kali ini dianggap medan terbaik untuk melakukannya sekali gus mengembalikan semula kegemilangan skuad negara dalam sukan berkenaan.

Katanya, dengan kelebihan selaku tuan rumah selain sistem kiraan 15 mata yang baharu dengan sekali servis, pemain perlu memanfaatkan peluang bagi menumbangkan skuad Gajah Perang di laman sendiri.

“Sudah agak lama kita tidak jadi juara dengan menewaskan Thailand, kali terakhir adalah dalam saingan Siri Super ISTAF 2015. Selepas itu, kita memenangi pingat emas Sukan Asia Palembang 2018 dalam acara regu tetapi Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara itu.

“Jadi, saya nak sangat melihat kita menang dan menjadi juara dengan menewaskan Thailand pada kejohanan kali ini.

“Sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah tetapi saya yakin pada kali ini dengan sistem kiraan 15 mata yang baharu dengan satu servis selain bermain di hadapan penyokong sendiri, saya rasa tidak mustahil kita akan dapat kejayaan di Piala Dunia kali ini.

“Kita kena kembalikan kegemilangan sukan sepak takraw negara, inilah masa yang sesuai untuk buktikan yang Malaysia sudah bangkit daripada tidur yang lama.

“Saya percaya bukan saya sahaja, tetapi rakyat Malaysia mahu melihat sangat kita jadi juara dunia dan lebih manis lagi apabila dapat mengalahkan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Malaysia di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Pada majlis itu, PSM mengumumkan senarai 16 pemain yang akan menggalas cabaran negara pada Piala Dunia kali ini di bawah bimbingan ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam ketiga-tiga acara iaitu berpasukan, regu dan double.

Skuad negara berada dalam Kumpulan A bersama Jepun serta Brunei dan kedua-dua pasukan itu turut bakal ditemui Malaysia dalam acara berpasukan di Kumpulan C.

Dalam acara regu pula, Malaysia diletakkan selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan B bersama China dan Brunei.-Berita Harian