Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jin Wei sekali lagi tarik diri

Kuala Lumpur: Nasib malang terus menghantui perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei apabila sekali lagi terpaksa menarik diri ketika perlawanan sedang berlangsung, kali ini pada pusingan kedua Terbuka Macau, hari ini.

Pemain yang menghuni ranking ke-57 dunia itu gagal meneruskan aksi ketika berdepan pilihan kelapan dari India, Anmol Kharb selepas ketinggalan 4-12 pada set pertama.

Punca sebenar Jin Wei gagal meneruskan perlawanan belum didedahkan, tetapi ia pasti menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan fizikal pemain berusia 26 tahun itu yang beberapa kali berdepan situasi sama sepanjang musim ini.

Pada Februari lalu, Jin Wei terpaksa menarik diri ketika aksi final Masters Thailand menentang pemain India, Devika Sihag, sebelum sekali lagi gagal menamatkan perlawanan ketika mewakili Malaysia dalam saingan Piala Uber menentang pemain Jepun, Riko Gunji pada April.

Situasi itu pastinya mengecewakan buat bekas juara dunia remaja dua kali itu yang sebelum ini dilihat kembali berada di landasan terbaik selepas mempamerkan peningkatan prestasi sejak awal musim.

Jin Wei memulakan kempen 2026 dengan cemerlang apabila mara ke final Masters Thailand sebelum menjuarai Kejohanan Antarabangsa Singapura, Mac lalu.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sivasangari mara separuh akhir

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara S Sivasangari melangkah ke separuh akhir Final Jelajah PSA 2025/2026 selepas menewaskan wakil Jepun, Satomi Watanabe, awal pagi tadi.

Pada aksi berlangsung Centquatre-Paris, Perancis, pemain berusia 27 tahun itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan lawannya 11-9, 11-6, 11-9 dalam tempoh 35 minit.

Menanti Sivasangari di separuh akhir yang dijadualkan berlangsung awal pagi Sabtu waktu Malaysia, ialah pilihan pertama kejohanan Amina Orfi dari Mesir.

Terdahulu, Amina mengesahkan slot di separuh akhir selepas menumpaskan wakil Belgium, Tinne Gilis 11-1, 11-8, 6-11, 11-5 dalam tempoh 57 minit.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Speedy Tigers buru penamat terbaik

Kuala Lumpur: Selepas melalui detik sukar dengan dua kekalahan, skuad hoki lelaki negara akhirnya kembali menemui sentuhan kemenangan apabila menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Negara-Negara di Cape Town, Afrika Selatan semalam.

Kejayaan itu bukan sahaja mengembalikan keyakinan pasukan, malah menjadi suntikan moral penting buat Speedy Tigers yang kini mengalihkan fokus untuk memburu penamat terbaik dalam baki saingan kejohanan.

Walaupun kemenangan itu tidak cukup untuk membawa Malaysia ke separuh akhir, anak buah Brendan Carolan sekurang-kurangnya menutup kempen peringkat kumpulan dengan keputusan positif apabila mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan untuk menduduki tangga ketiga kumpulan.

Bagi Carolan, beliau mengakui prestasi anak buahnya menunjukkan perkembangan positif berbanding beberapa aksi terdahulu, namun masih ada ruang yang perlu diperbaiki.

“Ya, ia lebih baik seperti saya katakan sebelum ini dan saya fikir kami masih perlu menjadi lebih baik. Saya fikir fasa pembinaan permainan adalah baik, kami mengawal penguasaan bola dengan lebih baik tetapi masih terdapat beberapa kehilangan bola,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Malaysia bermula garang apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook meletakkan pasukan di hadapan seawal minit kelima, namun Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Lee Gangsan pada minit ke-20.

Ketika perlawanan dilihat menuju keputusan seri, Shello Silverius muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-58 untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia.

Menurut jurulatih dari Australia itu, kemenangan tersebut memberi nilai cukup besar kepada pasukan ketika mereka sedang berusaha membentuk rentak permainan yang lebih konsisten.

“Kadang-kadang keputusan sangat penting pada peringkat ini, jadi adalah positif untuk mendapatkan keputusan tersebut. Peningkatan itu semakin baik dan ia merupakan satu langkah ke hadapan sebagai persiapan menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, tonggak berpengalaman negara, Marhan Jalil menyifatkan kemenangan ke atas Korea Selatan sebagai ganjaran setimpal buat usaha keras seluruh pasukan yang tidak pernah berputus asa meskipun berdepan tekanan selepas dua kekalahan sebelum ini.

“Ya, saya berasa sangat gembira kerana pemain-pemain kembali bangkit selepas dua kekalahan sebelum ini dan saya fikir semua pemain memberikan yang terbaik dalam perlawanan menentang Korea hari ini. Kami kini menantikan perlawanan penentuan kedudukan dan ia pasti menjadi satu perlawanan yang sukar, namun kami berharap dapat meneruskan kemenangan seperti yang dicapai hari ini,” katanya.

Speedy Tigers akan berdepan Amerika Syarikat dalam aksi penentuan kedudukan kelima hingga kelapan, petang esok, sekali gus membuka peluang untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tiada ‘cuti’ bagi Noraqilah

Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita muda negara, Noraqilah Maisarah Ramdan tidak mahu mensia-siakan tempoh tanpa kejohanan apabila tekad menggunakan masa yang ada untuk memperbaiki segala kelemahan dalam permainannya.

Pemain berusia 19 tahun itu mengakui masih banyak aspek perlu dipertingkatkan selepas menilai semula prestasinya dalam beberapa kejohanan sebelum ini, terutama ketika berdepan pemain ranking lebih tinggi di pentas antarabangsa.

Bagi Noraqilah, fokus utamanya ketika ini memperbaiki kekurangan dalam acara beregu wanita dan beregu campuran bagi memastikan dia tampil lebih kompetitif apabila kembali beraksi nanti.

“Banyak perkara saya belajar daripada kejohanan sebelum ini. Dalam tempoh tiada pertandingan ini, saya mahu fokus kepada penambahbaikan terhadap kelemahan masih ada dalam permainan.

“Saya akan gunakan masa ini sebaik mungkin untuk memperkemaskan aspek perlu diperbaiki supaya dapat tampil lebih baik pada kejohanan akan datang,” katanya apabila gandingannya, Low Zi Yu akan beraksi di Kejohanan Remaja Asia.

Selain itu, Noraqilah melihat antara aspek paling penting perlu diberi perhatian adalah tahap konsistensi permainan, terutama ketika berdepan pemain berada pada ranking lebih tinggi kerana pemain elit dunia memiliki kemampuan untuk mengekalkan rentak permainan pada tahap tinggi sepanjang perlawanan, sekali gus menjadi cabaran utama buat dirinya ketika ini.

“Saya rasa aspek paling penting ialah konsistensi. Apabila menentang pemain ranking lebih tinggi, mereka jarang melakukan kesilapan mudah dan sukar untuk dimatikan. Jadi saya perlu meningkatkan konsistensi permainan supaya mampu bersaing dengan lebih baik pada tahap itu,” katanya.

Dalam masa sama, dia mengakui pengalaman beraksi dalam dua acara iaitu beregu wanita dan beregu campuran memberi banyak manfaat terhadap perkembangan permainannya meskipun menuntut tahap kecergasan lebih tinggi.

Menurutnya, pengalaman beraksi dalam beregu campuran banyak membantu meningkatkan kelajuan permainan serta kemahiran di jaring yang turut memberi kelebihan ketika beraksi dalam acara beregu wanita.

“Bermain dalam beregu campuran membantu dari segi permainan di depan jaring kerana saya banyak memainkan peranan itu dalam kedua-dua acara. Permainan beregu campuran juga lebih pantas kerana perlu berdepan pemain lelaki, jadi ia secara tidak langsung membantu meningkatkan reaksi dan kelajuan permainan saya,” katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Noraqilah-Zi Yu adalah muncul juara Terbuka Estonia bertaraf Siri Antarabangsa pada Januari lalu selain meraih tempat kedua di Masters China.

Bagi beregu campuran pula, Noraqilah yang berpasangan bersama Loo Bing Kun berjaya muncul juara di Terbuka Sweden dan naib juara Kejohanan Cabaran Antarabangsa Singapura.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dua tekong muda tunggu peluang

Kuala Lumpur: Dua tekong muda, Zuhri Zin dan Muhammad Fahmi Khalid bakal diserapkan ke dalam skuad utama negara sekiranya Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak tidak dapat pulih serta berada pada prestasi terbaik menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, sebab kedua-dua pemain itu dipilih kerana mereka berada dalam program kebangsaan dan secara tidak langsung turut menjalani latihan intensif seperti pemain utama berbanding memanggil pemain baharu.

Katanya, kedua-dua pemain itu sentiasa mengikuti program latihan skuad kebangsaan dan sudah biasa beraksi bersama pemain lain, sekali gus memudahkan proses penggantian pada saat akhir.

“Jika berlaku perkara yang tidak diingini dan pemain yang mengalami kecederaan tidak sempat pulih, kita sudah mempunyai pemain yang bersedia untuk menggantikan mereka iaitu Zuhri dan Fahmi.

“Mereka berada dalam program kebangsaan dan sentiasa bersama pasukan. Jadi tidak timbul isu keserasian atau masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan dan permainan pasukan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Jais melihat tumpuan lebih diberikan kepada pemain yang berada dalam program kebangsaan kerana selain tahap kecergasan yang sentiasa dipantau, mereka juga lebih memahami sistem latihan serta tuntutan taktikal pasukan berbanding pemain baharu yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

“Kita ada enam tekong dalam program. Kalau mahu mengambil pemain dari luar, banyak perkara perlu dinilai termasuk kemahiran, kemampuan dan prestasi semasa. Jadi fokus kita adalah kepada pemain dalam program kerana mereka sudah mengikuti latihan sejak awal dan memahami apa yang diperlukan oleh pasukan,” katanya.

Untuk makluman, Syahir mengalami koyakan otot sepanjang lapan sentimeter dengan lebar tiga sentimeter yang memerlukan tempoh pemulihan rapi bersama pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN) dan perlu berehat selama enam hingga lapan minggu.

Sementara itu, Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Sobey pula mengalami ketegangan otot dan perlu berehat hampir sebulan.

Justeru, selain dua pemain itu, semua pemain yang mengalami kecederaan kini berada di bawah pemantauan rapi ISN dan hanya akan kembali menyertai latihan penuh selepas mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatan.

Tambah Ahmad Jais, pemain yang sedang menjalani proses pemulihan tidak hanya menjalani rawatan semata-mata, sebaliknya turut mengikuti program khas termasuk latihan kekuatan otot, latihan gimnasium, larian dan kawalan bola bagi memastikan tahap kecergasan mereka terus terpelihara.

Fokus utama ketika ini adalah memastikan semua pemain yang cedera dapat kembali menyertai pasukan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi membolehkan mereka menjalani persiapan terbaik menjelang Sukan Asia 2026.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Speedy Tigers langkah kanan di Afrika Selatan

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara memulakan kempen Piala Negara-Negara FIH 2025-26 dengan langkah kanan apabila menewaskan Scotland 5-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Afrika Selatan, sebentar tadi.

Skuad kendalian Brendon Carolan tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledak gol padang seawal minit kelima bagi meletakkan Malaysia di depan.

Selepas aksi seimbang pada suku kedua, Malaysia menggandakan kelebihan menerusi pukulan penalti stroke yang disempurnakan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-34.

Bagaimanapun, Scotland yang menghuni ranking ke-17 dunia berjaya merapatkan kedudukan lima minit kemudian menerusi penalti stroke Jamie Golden.

Malaysia kembali melebarkan jurang apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menjaringkan gol padang pada minit ke-42 sebelum Azrai sekali lagi menemui sasaran menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-49 untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Scotland cuba menghidupkan peluang apabila Andrew McConnell menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-57, namun Azrai melengkapkan hatrik peribadi dua minit kemudian menerusi satu lagi gol padang bagi memastikan kemenangan bergaya 5-2 buat Speedy Tigers.

Kemenangan itu meneruskan rekod cemerlang Malaysia ke atas Scotland apabila tidak pernah tewas dalam empat pertemuan sejak kali pertama kedua-dua pasukan bertemu pada Kelayakan Piala Dunia 2009.

Ketika itu, Malaysia menewaskan Scotland 3-2 dan sejak itu terus mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas pasukan berkenaan.

Tumpuan kini terarah kepada aksi kedua menentang Jepun yang dijadual berlangsung jam 10.45 malam waktu Malaysia esok.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Azizulhasni terharu doa Sultan Pahang

Nilai: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terharu dengan titah doa Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu melihat beliau beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, bagaimanapun berkata beliau belum bersedia memberi sebarang komitmen mengenai perkara itu.

Mohd Azizulhasni berkata pada tahap ini beliau lebih selesa mengambil pendekatan “selangkah demi selangkah”, dengan fokus tertumpu kepada persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

“Saya serahkan kepada Allah. Kita boleh rancang, tapi sebaik-baik perancang adalah Allah. Saya pun tak nak terlampau berjanji.

“Saya tak nak letak satu harapan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga untuk sukan kita dan semua orang. Kita tengok macam mana perkembangannya nanti,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Trek Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, Nilai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Al-Sultan Abdullah semalam yang mendoakan agar pelumba berusia 38 tahun itu dapat bersaing di LA28.

Mohd Azizulhasni yang diberi julukan “The Pocket Rocketman”, berkata sokongan tersebut dan keberangkatan Al-Sultan Abdullah menyaksikan perlumbaan di sini semalam amat bermakna.

“Kita semua terharu sebenarnya. Tuanku nak datang tengok dan banyak beri kata semangat serta mendoakan kita semua. Bukan mudah untuk sukan kita mendapat perhatian sedemikian. Harapan saya sukan lumba basikal akan terus maju,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pencapaian berbasikal negara di pentas dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sepatutnya membuka ruang kepada sukan itu berkembang dengan lebih pesat, termasuk dari segi pembangunan bakat, sokongan struktur dan kesinambungan atlet pelapis.

“Berbasikal sepatutnya dah macam badminton dan bola sepak. Kita letak prestasi bertaraf dunia, tapi kita masih merangkak untuk ada ramai bakat berkualiti dan dari segi pencapaian. Saya berharap kita akan terus mencipta kejayaan,” katanya.

Terdahulu, final acara pecut lelaki elit menyaksikan Mohd Azizulhasni yang mewakili Team Azizul menewaskan pelumba Johor, Mohd Akmal Nazimi Jusena 2-0, sekali gus menebus kekecewaan meraih perak dalam keirin semalam.

Dalam penentuan pingat gangsa, wakil Johor Muhammad Shah Firdaus Sahrom melakar kemenangan 2-0 ke atas Muhammad Fadhil Mohd Zonis dari Selangor.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KLIO26 tawar hadiah lumayan

Kuala Lumpur: Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur (KLTBA) bakal menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya dengan penganjuran Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur MILO 2026 (KLIO26) yang dijangka menjadi edisi terbesar dalam sejarah kejohanan itu.

Kejohanan berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid dari 13 hingga 21 Jun ini menawarkan hadiah keseluruhan RM355,820, peningkatan RM50,000 berbanding tahun lalu.

KLIO26 turut dijangka menghimpunkan barisan penuh skuad kebangsaan Malaysia bersama pemain antarabangsa dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Thailand.

Antara nama besar yang dijangka beraksi ialah juara dunia Rafiq Ismail, bekas juara Asia Timmy Tan, pemain pertama negara menjuarai Jelajah PBA, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Natasha Roslan serta Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Juara kategori Terbuka Campuran bakal membawa pulang hadiah RM30,000, manakala naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing menerima RM15,000 dan RM10,000.

Seperti edisi terdahulu, kejohanan itu mengekalkan format campuran dengan peserta wanita diberikan kelebihan tujuh pin bagi setiap permainan.

Selain hadiah utama, pemain wanita terbaik turut menerima ganjaran RM8,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing memperoleh RM4,000 dan RM2,000.

Penyertaan antarabangsa kali ini turut mendapat perhatian apabila Jepun menghantar antara barisan terkuat mereka termasuk pemain ranking nombor satu JPBA 2025, Manon Ishida dan pemain nombor dua Jepun, Mizuki Nakashima.

Korea Selatan pula menghantar dua pasukan profesional KPBA membabitkan 13 pemain.

Dalam pada itu, kejohanan berkenaan terus memperlihatkan komitmen terhadap pembangunan sukan para apabila berjaya menarik penyertaan 270 atlet para dari seluruh negara serta Singapura berbanding kurang 200 peserta tahun lalu.

Acara para akan mempertandingkan kategori individu dan beregu membabitkan pelbagai klasifikasi termasuk cacat penglihatan, kurang upaya intelektual, spastik, berkerusi roda serta atlet amputasi.

Presiden KLTBA, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim berkata, kejohanan kali ini cukup istimewa kerana berlangsung serentak dengan sambutan Jubli Emas persatuan itu.

“Selama lima dekad, KLTBA komited membangunkan sukan boling di semua peringkat daripada akar umbi, belia, elit hingga para.

“Kami bangga kerana KLIO terus menjadi platform yang menghimpunkan pemain kebangsaan, profesional antarabangsa, atlet para dan bakat muda di bawah satu bumbung.

“Penyertaan memberangsangkan tahun ini membuktikan kejohanan ini terus berkembang dan kekal sebagai antara platform penting pembangunan boling negara,” katanya.

Kejohanan yang mendapat pengiktirafan Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) dan Persekutuan Boling Asia (ABF) itu akan melabuhkan tirainya dengan final Masters Terbuka Campuran pada 21 Jun ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Justin tempah tiket suku akhir Terbuka Australia

Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki negara, Justin Hoh meneruskan kemaraan cemerlang apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Australia selepas menewaskan pemain Ireland, Nhat Nguyen, hari ini.

Pada aksi pusingan kedua di Olympic Boulevard, Justin yang menghuni ranking ke-41 dunia mempamerkan semangat juang tinggi sebelum mencatat kemenangan 21-17, 21-19 dalam tempoh 55 minit.

Berdepan Nguyen yang berada di ranking ke-24 dunia, Justin terlebih dahulu ketinggalan 7-10 pada set pertama sebelum bangkit menyamakan kedudukan dan mengambil alih kawalan permainan.

Pemain berusia 22 tahun itu kemudian terus menambah mata untuk menjarakkan kedudukan sebelum menutup set pertama dengan kemenangan 21-17.

Pada set kedua, Nguyen sekali lagi memberi tentangan sengit apabila mendahului sebahagian besar permainan, namun Justin kekal tenang untuk mengikat kedudukan 18-18 sebelum mengesahkan kemenangan 21-19.

Kemenangan itu menyaksikan Justin menjadi wakil tunggal negara yang masih meneruskan cabaran ke peringkat suku akhir.

Menanti Justin esok ialah pemain Indonesia, Moh Zaki Ubaidillah yang mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan kelapan dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 21-19, 21-15.

Sementara itu, cabaran negara dalam acara beregu campuran berakhir apabila tiga pasangan negara gagal melepasi pusingan kedua.

Jimmy Wong-Cheng Su Yin tewas kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 11-21, 13-21, manakala Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing dan Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan turut kecundang kepada lawan masing-masing.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Rombakan beregu demi emas pertama Olimpik – Rexy

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky mengakui keputusan merombak gandingan utama beregu lelaki negara dibuat hasil perbincangan bersama ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi serta Pengurusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei.

Menurut Rexy, langkah berkenaan bukan kerana hilang keyakinan terhadap pasangan sedia ada seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sebaliknya sebahagian perancangan jangka panjang ke arah misi memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Kita melihat ke depan untuk 2028. Bukan bermakna Aaron dan Wooi Yik sudah tidak ada potensi, tetapi kita juga perlu melihat pemain muda yang semakin meningkat.

“Kenapa tidak cuba membuat kombinasi baharu antara pemain muda dan pemain yang lebih berpengalaman? Mungkin daripada percubaan ini kita dapat melihat potensi pasangan yang boleh menjadi sandaran pada masa depan,” katanya melalui satu kenyataan menerusi video.

BAM mengumumkan beberapa gandingan baharu untuk kejohanan Terbuka China, Terbuka Taiwan dan Masters Korea, antaranya Aaron Chia digandingkan dengan Aaron Tai, manakala Man Wei Chong bergandingan dengan Soh Wooi Yik.

Bagi Terbuka Jepun pula, Tee Kai Wun tidak dapat beraksi bersama Aaron Chia kerana faktor ranking dan kutipan mata kelayakan.

Mengulas pemilihan pasangan baharu, Rexy berkata, keputusan dibuat berdasarkan keserasian gaya permainan dan bukannya semata-mata menggabungkan pemain terbaik.

“Kita tidak boleh fikir pemain bagus digandingkan dengan pemain bagus, terus hasilnya akan jadi bagus. Yang penting adalah keperluan dalam gelanggang.

“Aaron perlukan jenis pasangan seperti apa, pemain lain perlukan perwatakan bagaimana. Itu yang menjadi pertimbangan utama dalam menentukan gandingan,” katanya.

Rexy menjelaskan semua pasangan baharu itu masih berada dalam fasa penilaian dan belum tentu menjadi gandingan kekal.

Katanya, BAM akan meneliti perkembangan setiap pasangan sebelum membuat keputusan sama ada mereka sesuai dijadikan kombinasi jangka panjang.

“Pada peringkat awal, kita tidak boleh terus mengharapkan keputusan yang sempurna. Tetapi jurulatih boleh melihat sama ada perjalanan pasangan itu menjanjikan sesuatu untuk masa depan.

“Jika ada pasangan yang menunjukkan perkembangan positif, tidak mustahil ia boleh dijadikan gandingan tetap,” katanya.

Menurut Rexy, langkah berani itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada pemain pelapis supaya mereka dapat menimba pengalaman beraksi bersama pemain senior dalam kejohanan bertaraf dunia.

Beliau turut menjadikan China dan Korea Selatan sebagai contoh negara yang kerap melakukan pertukaran pasangan sebelum berjaya menemui kombinasi terbaik.

“Kita mahu mewujudkan suasana baharu dan memberi pengalaman kepada pemain muda. Apa yang dibuat China dan Korea menunjukkan mereka mempunyai perancangan jelas di sebalik setiap pertukaran pasangan.

“Apa yang kita lakukan juga ada perancangan besar iaitu bagaimana Malaysia boleh menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama pada 2028,” katanya.

Rexy turut membayangkan pendekatan sama boleh diperluaskan ke sektor beregu wanita dan beregu campuran sekiranya dilihat mampu memberi manfaat kepada pembangunan pemain negara.

“Kenapa tidak? Kita tidak perlu takut untuk membuat perubahan. Ia bukan eksperimen semata-mata, tetapi berdasarkan pemerhatian jurulatih terhadap kemampuan dan keserasian pemain dalam latihan serta pertandingan.

“Kalau ia boleh membantu perkembangan pemain dan meningkatkan peluang negara pada masa depan, pendekatan ini boleh digunakan untuk semua sektor beregu,” katanya.