Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Azeem Fahmi terus mengharumkan nama Malaysia apabila membantu Universiti Auburn memecahkan rekod kolej NCAA dalam acara 4×100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga NCAA, hari ini.
Kuartet Auburn yang dibarisi Azeem, Kanyinsola Ajayi, Austin Kresley dan Tyler Davis mencatat masa luar biasa 37.75 saat (s) pada saingan separuh akhir untuk memperbaharui rekod kolej yang sebelum ini dipegang LSU menerusi catatan 37.90s.
Catatan itu bukan saja menyaksikan Auburn mara ke final sebagai pasukan terpantas, malah muncul pasukan pertama dalam sejarah NCAA mencatat masa di bawah 37.80s.
Azeem yang beraksi selaku pelari pertama sekali lagi memainkan peranan penting apabila memberikan permulaan cemerlang sebelum baton diserahkan kepada rakan sepasukan yang mengekalkan rentak pantas hingga ke garisan penamat.
Kejayaan itu turut mengukuhkan reputasi Azeem yang turut akan beraksi dalam saingan 100m lelaki, sebagai antara atlet paling menyerlah dalam saingan kolej Amerika Syarikat (AS) ketika ini.
Selain Auburn, beberapa pasukan pilihan turut mengesahkan tempat ke final dengan Arkansas mencatat 38.32s, diikuti Houston (38.34s), LSU (38.40s), Tennessee (38.47s), North Carolina A&T (38.53s), Oregon (38.54s), Ohio State (38.64s) dan Mississippi State (38.73s).
Prestasi hebat Auburn turut memberi bayangan rekod baharu itu mampu diperbaiki lagi pada aksi final hujung minggu ini ketika Azeem dan rakan sepasukan memburu gelaran kebangsaan NCAA.
Pencapaian itu bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Azeem sebelum ini turut memainkan peranan penting membantu Auburn menjuarai acara 4x100m pada Kejohanan SEC bulan lalu.
Ketika itu, dia bangkit daripada kekecewaan selepas gagal melepasi saringan 100m lelaki sebelum bergandingan bersama Ajayi, Kresley dan Davis untuk menghadiahkan emas buat Auburn menerusi catatan 38.07s.

