Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Hao mahu cari rentak permain terbaik

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menegaskan fokus utama dirinya ketika ini adalah mencari semula rentak permainan terbaik tanpa mahu memikirkan sesuatu yang masih jauh termasuk memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) yang dijadual bermula tahun depan.

Bagi Jun Hao, apa yang lebih penting adalah memberi tumpuan terhadap perancangan latihan yang sudah disusun mengikut peringkat demi peringkat agar dirinya boleh meningkatkan prestasi semasa ke tahap lebih baik.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan dia dapat mengekalkan konsistensi dalam setiap kejohanan yang disertai sepanjang tempoh kelayakan nanti.

“Saya rasa saya hanya perlu kekal fokus kepada apa yang saya perlu buat,” katanya ringkas.

Ketika ini, bekas juara remaja dunia 2017 itu bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik selepas tampil tidak meyakinkan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Malah, ketika diturunkan selaku perseorangan utama pada Piala Thomas di Horsens, Denmark, dia gagal menyumbang mata penting apabila tewas dalam ketiga-tiga aksi itu.

Justeru, perancangan rapi serta disiplin tinggi akan menjadi kunci utama buat Jun Hao mendapatkan tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Apa yang lebih penting adalah untuk mengekalkan tahap permainan selain memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa bagi memastikan dirinya mampu bersaing secara konsisten di peringkat antarabangsa.

Pemain berusia 27 tahun itu berada di kedudukan pertama bagi perseorangan lelaki negara dan peluang untuk mara ke LA28 terbuka buat dirinya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS sedia tingkatkan Geran Padanan Sukan bagi Kejohanan Muay Thai Antarabangsa

Taiping: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia meningkatkan jumlah peruntukan Geran Padanan Sukan (GPS) bagi penganjuran Malaysia International Muay Championship (MIMAC) pada masa hadapan supaya kejohanan itu terus dianjurkan dengan cemerlang.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata komitmen itu sebahagian daripada usaha kementerian untuk memperkasakan sukan pada peringkat akar umbi bagi mencungkil lebih banyak bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Kita ada Dana Sukan Komuniti, GPS dan untuk MIMAC 3.0 kali ini kita meluluskan RM150,000. Saya tengok kali ini berjaya, dan insya-Allah kalau nak diteruskan MIMAC yang akan datang, kita akan up (tambah) lebih tinggi daripada RM150,000 Geran Padanan Sukan yang kita berikan pada tahun ini,” katanya ketika berucap merasmikan penutup MIMAC 3.0, di sini malam tadi.

Dr Mohammed Taufiq berkata sukan Muay Thai kini antara sukan masa depan negara berdasarkan pencapaian membanggakan pada Sukan Sea 2025 di Thailand, yang menyaksikan skuad negara berjaya membawa pulang 10 pingat secara keseluruhan bagi sukan itu.

Beliau berharap kecemerlangan itu dapat diteruskan khususnya menjelang Sukan Sea 2027 apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah, sekali gus memerlukan persediaan rapi bermula daripada pembangunan atlet pada peringkat akar umbi.

Ketika ditemui pemberita, Dr Mohammed Taufiq berkata dengan geran itu beliau berharap penganjuran MIMAC dapat melahirkan lebih ramai atlet pada peringkat akar umbi, selain kejohanan seumpama itu turut diadakan di banyak tempat atau negeri lain.

Beliau juga memberikan jaminan akan meninjau keadaan gelanggang serta pusat latihan Muay Thai di daerah ini yang dilaporkan usang dan memerlukan penambahbaikan segera bagi memastikan kebajikan atlet terpelihara.

“Insya-Allah kita akan melihat sebab ini adalah permohonan pertama dan juga secara rasmi belum lagi kita terima, tetapi saya dah mengambil maklum perkara tersebut dan kita akan turun melihat sendiri apa keperluan yang diperlukan dan sudah pasti ia perlu melalui proses yang telah pun ditetapkan.

“Jadi saya mengambil itu sebagai satu komitmen untuk kita melihat dan turun sendiri sebab kita nak sediakan platform (sukan) yang lebih banyak untuk masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Tomoi Perak, Mohd Ezry Azamin Abdul Wahab dalam ucapannya berkata 14 kelab gabungan di bawah Persatuan Tomoi Perak dan mempunyai kira-kira 2,000 ahli memohon kelulusan peruntukan bagi menambah baik fasiliti serta membina sebuah gelanggang induk untuk persatuan itu.

Dalam perlawanan malam tadi, petinju negara, Muhammad Nazifi Mat Nasir atau lebih dikenali dengan gelarannya GPY Ciko menang kategori 68-70 kilogram (kg) ketika menentang Ousama Taoud dari Maghribi bagi merangkul tali pinggang Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak Muhammad Naim Al Amin Saharudin menerusi keputusan disqualification pada pusingan pertama.

Perlawanan lain pula melibatkan petinju Thailand, Phetpairin membawa pulang tali pinggang Menteri Belia dan Sukan YB Dr Mohammed Taufiq Johari selepas menewaskan atlet muda negara Iskandar Danish Mohd Ezry menerusi knockout pada pusingan pertama bagi kategori 47 kg.

Dua lagi perlawanan menyaksikan Pettikca Petpanwasa dari Thailand menewaskan Tisya (Malaysia) bagi kategori wanita 49 hingga 50 kg menerusi keputusan juri selepas tiga pusingan penuh, manakala Mehdi (Maghribi) menang secara technical knockout di pusingan kedua ketika berdepan Muhammad Ali Imran (Malaysia) bagi kategori 67 kg.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS sedia bincang tukar nama kepada Velodrom Azizulhasni

Taiping: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang sebagai aset yang sangat berharga dan sumbangan beliau perlu sentiasa diangkat serta dilestarikan demi kecemerlangan sukan tanah air.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya menyambut baik usul yang diluluskan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini bagi menamakan semula Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan sebagai Velodrom Azizulhasni sebagai tanda penghargaan tertinggi kepada beliau.

“Saya menyambut baik perkara itu dan sudah pasti Datuk Jijoe atau Datuk Azizulhasni Awang adalah aset negara kita. Di peringkat saya sendiri, kami menyambut baik usul itu dan sudah pasti kami akan mengadakan perbincangan yang lebih mendalam dengan persatuan dan juga semua pihak yang terlibat berkaitan dengan perkara itu.

“Saya ingin rakamkan bahawa Datuk Jijoe adalah aset yang perlu kita jaga dan perlu kita lestarikan. Insya-Allah di peringkat KBS, kami sentiasa terbuka dengan perkara itu dan melihat aset-aset negara ini perlulah diangkat dan terus diberikan penghargaan di peringkat kementerian dan juga di peringkat kerajaan itu sendiri,” katanya di sini malam ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Muay Antarabangsa Malaysia 2026 (MIMAC 3.0) di Dataran Warisan di sini.

Terdahulu, PKBM meluluskan usul agar Velodrom Nasional dinamakan semula sebagai Velodrom Azizulhasni bagi menghargai sumbangan besar anak kelahiran Terengganu itu kepada sukan berbasikal negara.

Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq ketika menyentuh mengenai masa depan karier The Pocket Rocketman menjelang Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28) berkata kementerian enggan memberikan sebarang tekanan kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik di Tokyo itu untuk terus berlumba.

Beliau berkata kerajaan memberikan ruang dan kebebasan sepenuhnya kepada Azizulhasni untuk memikirkan langkah terbaik bagi hala tuju kariernya sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

“Kami sekarang ini masih lagi dalam tahap perbincangan berkenaan perkara itu dan sudah pasti kami memberikan sepenuhnya kepada Datuk Jijoe berkaitan dengan keputusan itu.

“Kami memberikan ruang kepada beliau untuk memikirkan seterusnya apakah langkah yang terbaik dan sudah pasti kami memberikan kebebasan serta ruang yang secukupnya untuk beliau memikirkan berkenaan perkara itu,” katanya.

Terdahulu, PKBM meluluskan usul itu bagi menghargai jasa luar biasa Azizulhasni yang telah meletakkan sukan berbasikal Malaysia di peta dunia menerusi pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa termasuk di pentas Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Bekas Naib Presiden PKBM Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut memaklumkan Azizulhasni tidak sepatutnya diberi tekanan untuk terus berlumba sehingga ke Sukan Olimpik 2028.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Piala Uber: Malaysia tewas, Jepun juara kumpulan

Kuala Lumpur: Skuad wanita negara terpaksa melupakan hasrat muncul juara kumpulan selepas tewas 1-4 kepada Jepun dalam aksi terakhir perlawanan peringkat kumpulan Piala Uber di Horsens, Denmark sebentar tadi.

Mereka yang sudah mengesahkan slot ke suku akhir terpaksa akur dengan kehebatan pemain negara Matahari Terbit itu ketika dalam perebutan juara Kumpulan B.

Tugas sukar itu bermula dengan perseorangan pertama K Letshanaa tumpas 19-21, 17-21 kepada pemain berpengalaman Jepun, Akane Yamaguchi.

Beregu pertama Ong Xin Yee–M Thinaah gagal menyaingi kepantasan pasangan Jepun, Yuki Fukushima–Mayu Matsumoto apabila tunduk mudah 9-21, 9-21.

Hasrat untuk melihat perseorangan kedua, Wong Ling Ching menghidupkan peluang skuad wanita negara tidak kesampaian apabila dia tewas di tangan Tomoka Miyazaki 16-21, 13-21, sekali gus mengesahkan kemenangan awal Jepun.

Bagaimanapun beregu kedua negara Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah Ramdan berjaya mencuri satu mata di atas kemenangan 21-17, 12-21, 21-19 ketika berdepan Rin Iwanaga–Kie Nakanishi.

Perseorangan ketiga Goh Jin Wei pula memberikan mata percuma selepas menarik diri ketika di kedudukan 21-19, 4-3 menentang Riko Gunji.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara dibangkitkan pihak kontraktor terutama berkaitan peningkatan kos bahan binaan, namun perkara itu sedang diteliti.

“Kita akan menilai satu persatu, namun ia tidak menjejaskan majlis perasmian serta semua acara sukan yang diadakan di Sarawak.

“Peningkatan kos tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga bahan binaan, namun sebarang tambahan peruntukan akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan,” katanya.

Beliau menegaskan tiada kelewatan dalam jadual pelaksanaan dengan pemantauan rapi terus dilakukan termasuk kerja di tapak projek yang berjalan hingga waktu malam bagi memastikan semua kemudahan siap mengikut jadual.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Hao tewas, namun Malaysia ke suku akhir Piala Thomas

Kuala Lumpur: Skuad badminton lelaki negara mengesahkan slot ke suku akhir Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark selepas memenangi aksi kedua peringkat kumpulan dengan menumpaskan Finland 4-1, sebentar tadi.

Selepas menang tipis 3-2 ke atas England pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Sabtu lalu, Malaysia hanya perlu mencari kemenangan kedua untuk meloloskan diri.

Bagaimanapun, permulaan cemerlang yang diharapkan tidak berlaku pada aksi pembukaan apabila perseorangan pertama, Leong Jun Hao tumpas di tangan pemenang pingat gangsa Kejohanan Eropah 2024, Joakim Oldorff 17-21, 15-21.

Malaysia kembali mengikat kedudukan 1-1 apabila perseorangan kedua, Justin Hoh menghadiahkan mata sulung apabila mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-12 ketika berdepan Kalle Koljonen.

Perseorangan ketiga, Lee Zii Jia meletakkan Malaysia di depan buat kali pertama apabila mengalahkan Ananda Galvani Daniswara 21-19, 21-10.

Malaysia mengesahkan kemenangan apabila gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyumbang mata ketiga selepas mereka mengalahkan Eliel Melleri-Niilo Nyqvist 21-12, 21-15.

Beregu kedua negara, Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun melengkapkan aksi apabila menyumbang mata keempat selepas menundukkan Galvani Daniswara-Alvar Melleri 21-7, 21-14.

Aksi seterusnya buat pasukan lelaki negara ialah berdepan Jepun untuk persaingan merebut juara Kumpulan B, Rabu ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Shah Firdaus hormat, sokong apa jua keputusan Azizulhasni

Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menghormati apa jua keputusan Datuk Azizulhasni Awang sama ada meneruskan cabaran ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) atau sebaliknya.

Menurut Shah Firdaus, beliau secara peribadi berharap Azizulhasni terus kekal dalam skuad kebangsaan, namun menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada legenda berbasikal negara itu.

“Sebagai rakan sepasukan, saya memang berharap dia teruskan. Tapi apa pun keputusan dia, kita kena hormat.

“Saya tetap sokong apa saja yang dia buat,” katanya.

Shah Firdaus mengakui kehadiran Azizulhasni dalam pasukan memberi impak besar bukan sahaja dari segi prestasi, malah suasana dalam kem latihan.

“Saya nak dia ada dalam pasukan kalau boleh. Tak kisah sebagai pelumba atau peranan lain, sebab dia ada ‘good vibes’ dalam pasukan. Saya gembira dia kembali bersama kami,” katanya.

Pada masa sama, beliau melihat pengalaman luas dimiliki Azizulhasni menjadikan pendekatan latihan jaguh itu berbeza berbanding pelumba lain.

“Dia dah berpengalaman, jadi cara latihan pun lain.

“Dia tahu apa yang dia perlu buat, tak macam kita yang masih kurang berpengalaman,” katanya.

Mengulas perubahan prestasi Azizulhasni selepas bergerak sebagai pelumba profesional, Shah Firdaus berpandangan keputusan itu memberi kesan positif terutama daripada aspek mental.

“Saya rasa bila dia keluar daripada program, tekanan tu kurang untuk dia.

“Apabila dalam pasukan, kita ada KPI dan ‘expectation’ tinggi. Bila profesional, dia lebih bebas dan boleh urus diri sendiri,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukma 2026 penting bagi persiapan atlet hadapi Sukan Sea 2027 – Taufiq

Kuching: Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 amat penting sebagai platform persediaan atlet negara ke arah Sukan Sea 2027, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufik Johari.

Beliau berkata, walaupun Sukma yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Ogos itu dilaksanakan secara berhemat, ia tidak akan menjejaskan jumlah sukan dipertandingkan.

“Sebarang perbincangan bersama Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) pada Rabu ini serta mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi pada Khamis akan datang, akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan penganjuran Sukma 2026 akan diteruskan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor.

Menurut KBS, Sultan Selangor memberi perkenan itu setelah menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, persiapan kemudahan sukan sempena Sukan Sea 2027 di negeri itu berjalan lancar walaupun berdepan cabaran.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Selangor teliti kos penganjuran Sukma 2026

Shah Alam: Kos penganjuran termasuk majlis pembukaan dan penutupan Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 antara perkara utama sedang diteliti kerajaan negeri bagi memastikan temasya itu dilaksanakan secara lebih berhemah tanpa pembaziran.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, langkah itu dibuat susulan titah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bersetuju agar penganjuran Sukma diteruskan, namun dengan pendekatan penjimatan kos.

Beliau berkata, perincian lanjut berkaitan penyesuaian perbelanjaan akan dibentangkan kepada Sultan Sharafuddin dalam sesi menghadap pada Rabu ini, sebelum diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 30 April ini.

“Kita junjung titah Tuanku yang memberi perkenan untuk teruskan penganjuran Sukma, namun dengan nasihat supaya kos dikurangkan.

“Jadi kita akan perincikan semula perbelanjaan termasuk cadangan ‘scale down’ bagi majlis pembukaan dan penutupan selain venue utama perasmian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Selangor sebelum ini mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk penganjuran sukan dwi tahunan dalam Bajet Khas Sukma XXII Selangor 2026.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bajet khas itu bagi memastikan penganjuran temasya itu berada di tahap terbaik.

Semalam, media melaporkan penganjuran Sukma Selangor akhirnya mendapat lampu hijau apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar penganjurannya diteruskan dengan pendekatan lebih berhemah dan berlandaskan penjimatan kos.

Perkenan itu diperoleh selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 April lalu bagi membincangkan kedudukan temasya berkenaan.

Mengulas berhubung perkenan Sultan Selangor, Mohd Najwan berkata, ia telah memberikan kelegaan kepada seluruh ekosistem sukan di negara ini dalam memberikan ruang kepada atlet menunjukkan bakat seterusnya mengenal pasti bakat baru untuk diketengahkan dalam sukan.

Beliau menegaskan, setakat ini tiada sukan digugurkan dengan 37 acara sukan termasuk penambahan silambam, muay thai dan petanque.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, proses naik taraf infrastruktur bagi penganjuran sukan itu hampir 80 peratus termasuk Pusat Akuatik Darul Ehsan, Seksyen 13 yang dijangka selesai bulan depan.

Mengulas berhubung suntikan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Mohd Najwan berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun saya akan bincang dengan pihak menteri (KBS) nanti dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 pada 30 April ini.

“Sekiranya di peringkat KBS tidak ada dana kewangan secara spesifik, kita mungkin boleh buat penyesuaian dari segi infrastruktur, kemudahan sukan atau dari hal-hal pentadbiran yang mungkin boleh dibantu di peringkat Persekutuan,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Amarjit percaya Azizulhasni pilihan terbaik beraksi di LA 2028

Kuala Lumpur: Prestasi terkini Datuk Azizulhasni Awang membuktikan legenda berbasikal trek negara itu masih belum ‘kehabisan tenaga’, malah dilihat menyimpan hasrat untuk beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, walaupun keputusan akhir bergantung kepada Azizulhasni dan keluarganya, namun beliau melihat The Pocket Rocketman masih mahu meneruskan perjuangan ke Olimpik.

“Apa yang saya lihat, dia belum menemui titik penamat. Mungkin dia tidak mahu cakap secara terbuka, tetapi naluri saya kata dia masih mahu ke LA.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak dia, tetapi jika dia masih ada kemampuan dan kuasa kayuhan, kita tidak sepatutnya menafikan peluang itu,” katanya ketika ditemui media di Velodrom Nasional, Nilai semalam.

Menurutnya, PKBM perlu memberi ruang dan sokongan sepenuhnya kepada Azizulhasni, apatah lagi negara mempunyai kelompok pelumba Olimpik yang terhad.

“Kita kena akui pilihan atlet kita tidak ramai. Azizulhasni masih figura utama, selain Shah Firdaus Sahrom.

“Saya mahu lihat Azizulhasni di LA 2028. Harap kita boleh yakinkan dia untuk terus fokus, bermula dengan Sukan Komanwel, Sukan Asia dan seterusnya Olimpik,” katanya.

Mengulas sama ada Azizulhasni mampu beraksi sebagai pelumba profesional, beliau berkata, kerajaan perlu tampil memberi sokongan jika atlet itu terus membawa cabaran negara.

“Kalau dia dipilih ke Olimpik, kita perlu beri sokongan berbeza. Jika bergerak secara individu, kerajaan perlu bantu dari segi kewangan dan peralatan.

“Kita tidak boleh mengaku dia wakil Malaysia, tetapi tidak menyokongnya. Sokongan penuh perlu diberikan,” katanya.

Sementara itu, rakan sepasukan, Shah Firdaus, menegaskan dia sentiasa menyokong apa jua keputusan yang bakal dibuat Azizulhasni.

“Saya sebagai rakan sepasukan sentiasa sokong. Latihan dia sekarang pun berbeza sebab faktor pengalaman dan umur. Apa pun keputusan dia, saya sokong. Secara peribadi saya mahu dia kekal dalam pasukan hingga LA 2028,” katanya.

Menurut Shah Firdaus, status sebagai pelumba profesional juga memberi kelebihan dari segi tekanan.

“Saya rasa bila dia jadi profesional, tekanan kurang sebab tiada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) atau majikan. Dia lebih bebas dan berlumba sebab minat. Kesihatan mental itu penting untuk prestasi,” katanya.

Mengulas peranannya sebagai ‘ketua’ pasukan ketika ini, Shah Firdaus berkata, dia tidak tertekan untuk menandingi pencapaian Azizulhasni.

“Saya tak rasa tertekan. Saya tahu kemampuan saya. Saya tak perlu kejar dia kerana rezeki masing-masing berbeza.

“Malah dia menjadi pembakar semangat kepada saya. Kalau dia yang pernah jalani pembedahan jantung pun boleh berjaya, saya yang hanya jalani pembedahan lutut kecil ini pun boleh,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PKBM idam anjur Kejohanan Dunia

Kuala Lumpur: Impian Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk membawa Kejohanan Berbasikal Trek Dunia ke Malaysia semakin hampir menjadi kenyataan selepas kejayaan menganjurkan pusingan akhir Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai.

Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill, memberi bayangan badan induk itu kini bersedia melangkah lebih jauh dengan membida hak penganjuran kejohanan dunia dalam tempoh terdekat.

“Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan. Ia membuktikan Malaysia dan PKBM ada kapasiti menganjurkan kejohanan bertaraf dunia.

“Kalau kita boleh anjur Piala Dunia, kita juga mampu anjur Kejohanan Dunia,” katanya pada hari terakhir Piala Dunia Trek 2026 semalam.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan proses bidaan perlu melalui kelulusan dalaman termasuk Ahli Jawatankuasa Eksekutif PKBM serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebelum permohonan rasmi dibuat.

Amarjit yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) melihat edisi 2029 atau 2030 sebagai sasaran paling realistik memandangkan hak penganjuran sehingga 2028 sudah diagihkan.

Dari segi kos, beliau menjelaskan acara trek lebih praktikal dengan anggaran sekitar €100,000 (RM464,180), jauh lebih rendah berbanding acara lebuh raya yang boleh mencecah kira-kira 7 juta Swiss Franc (RM35.2 juta).

Dalam perkembangan sama, skuad negara menamatkan kempen Piala Dunia Trek dengan satu emas dan satu gangsa hasil sumbangan Datuk Azizulhasni Awang bagi acara keirin serta pecut.