Majlis Sukan Negara Malaysia
KUNJUNGAN HORMAT PERSEKUTUAN SUKAN ELEKTRONIK MALAYSIA (MESF)

Majlis Sukan Negara telah menerima Kunjungan Hormat daripada Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) pada 31 Januari 2024.

Pertemuan bersama YBrs. Ketua Pengarah MSN, Encik Abdul Rashid Yaakub itu bertujuan untuk menyampaikan hasrat dalam bekerjasama bagi program E-Sports pada tahun ini yang melibatkan penganjuran sukan, penyertaan kejohanan luar negara prestasi tinggi dan juga pemakluman perubahan Jawatankuasa MESF.

Turut hadir sama Presiden MESF, Encik Muhammad Naim Al Amin bin Saharudin dan Setiausaha Presiden MESF, Encik Syed Fakrurrozi bin Syed Agil

BENGKEL PENYELARASAN PROGRAM BAKAT DAN PELAPIS 2024 BERSAMA MAJLIS SUKAN NEGERI

Satu Bengkel Penyelarasan Program Bakat dan Pelapis 2024 bersama Majlis Sukan Negeri sedang berlangsung pada 29 hingga 31 Januari ini bertempat di Hotel Mandurah, Pahang.

Seramai 63 orang peserta telah terlibat yang terdiri daripada Ketua Penyelaras dan penyelaras negeri dari 14 Majlis Sukan Negeri.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk menyampaikan halatuju kepada semua Majlis Sukan Negeri berkaitan perancangan Program Bakat & Pelapis tahun 2024 serta cadangan pelaksanaan Program Bakat & Pelapis di peringkat negeri.

Selain itu juga bengkel ini dijadikan sebagai medium perbincangan dan penambahbaikkan program bakat dan pelapis di peringkat negeri masing masing.

PERHIMPUNAN BULANAN PROGRAM PARA

Perhimpunan Bulanan Program Para telah diadakan pada hari ini, 29 Januari 2024 bertempat di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kg. Pandan.

Seramai 80 orang atlet dan 22 orang jurulatih telah hadir ke perhimpunan tersebut. Tujuan perhimpunan ini diadakan adalah untuk menyampaikan beberapa perkara penting seperti Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA), Kadar gaji serta elaun latihan baharu bagi atlet Program Podium dan Pelapis Kebangsaan, Caruman KWSP dan PERKESO serta Perancangan program latihan dan kejohanan bagi tahun 2024.

PERTEMUAN KETUA PENGARAH MSN BERSAMA YBHG. TS. DR. KSU KBS

Ketua Setiausaha Kementerian. Belia dan Sukan YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), YBrs. Encik Ariffin Mohd Ghani dan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), YBrs Encik Jefri Ngadirin bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Pada pertemuan tersebut telah membincangkan perancangan strategik dan program MSN bagi tahun 2024 khususnya berkenaan Temasya Sukan Olimpik Paris yang dijadualkan berlangsung pada Julai nanti.

Turut hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, YBrs. Puan Ramona Mohd Razali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, YBrs. Encik Abdullah Hassan.

KEM BINAAN AKADEMI MOKHTAR DAHARI 2024

Kem Binaan AMD 2024 telah berlangsung pada 28 hingga 30 Januari 2024 bertempat di Survival Village, Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Daralockwood Kuantan, Pahang. Seramai 42 orang pelatih bawah 17 tahun, 45 orang pelatih bawah 15 tahun dan juga 7 orang pengiring.

Antara aktiviti yang telah dijalankan pada hari pertama ialah Pertandingan Pandu Aras Kompas (B15), Titian Bertali (B17), Kembara Malam dan Ceramah Maghrib.

Program berlangsung selama tiga hari dua malam ini di bawah kelolaan Batalion Kedua Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize). Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan ketahanan mental dan fizikal pelatih disamping meningkatkan kepatuhan terhadap arahan dan peraturan AMD.

KURSUS KEJURULATIHAN DIPLOMA ‘C’ BOLA SEPAK WANITA AFC/FAM

Kursus Kejurulatihan Diploma ‘C’ Bola Sepak Wanita AFC/FAM telah diadakan pada 15 hingga 27 Januari 2024 bertempat di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kursus ini juga merupakan anjuran bersama MSN-FAM-NFDP melalui Cawangan Wanita Dalam Sukan, Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita, MSN.

Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memberi tumpuan khas kepada jurulatih wanita dalam program pembangunan wanita di seluruh negara bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang kejurulatihan sukan bola sepak.

WELCOME HOME HEROES!

Skuad Harimau Malaya diberi sambutan wira sejurus tiba di tanah air selepas menamatkan kempen Piala Asia 2023 di Qatar.

Kepulangan skuad kendalian Kim Pan Gon itu disambut meriah penyokong Harimau Malaya yang setia menanti di balai ketibaan KLIA.

Kepulangan pasukan bola sepak kebangsaan turut disambut Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, bersama timbalannya, YB Adam Adli.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Encik Abdul Rashi Yaakub.

YB Hannah turut menyampaikan cek peruntukan RM 5 juta daripada Kerajaan Malaysia kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia yang diwakili Timbalan Presiden FAM, Dato’ S.Sivasundram.

MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS TEKNIKAL SUKMA XXI SARAWAK 2024

YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024 Bilangan 2, 2024 yang diadakan di Riverside Majestic Hotel Puteri Wing, Kuching, Sarawak pada 24 Januari 2024.

Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengesahkan beberapa perkara utama seperti acara-acara sukan yang akan dipertandingkan, pelantikan Ketua Delegat Teknikal serta pembentangan persediaan pengelolaan Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024. Selain itu, mesyuarat turut memaklumkan berkaitan dengan venue pertandingan, tarikh-tarikh pertandingan serta proses pendaftaran kontinjen negeri.

Turut hadir sama YBrs. Encik Dolhadi Haji Marzuki, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YBhg. Dato’ Mohd Nazifuddin Mohd Najib, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, YBrs. En. Awang Putrayusrie bin Haji Awang Redzuan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024 serta YBrs. En. Jefri Ngadirin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara, Pengarah-pengarah Majlis Sukan Negeri dan Ketua Delegat Teknikal.

DemiMalaysia

SUKMA2024

BENGKEL PENYELARASAN TEKNIKAL DAN PERTANDINGAN

Bengkel Penyelarasan Teknikal dan Pertandingan Road To SUKMA XXI SARAWAK 2024 telah diadakan pada 23 Januari 2024 bertempat di Riverside Majestic Hotel Puteri Wing, Kuching, Sarawak.

Objektif utama bengkel tersebut diadakan adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas berkenaan status venue pertandingan, keperluan peralatan pertandingan serta keperluan pegawai teknikal. Bengkel ini juga melibatkan penglibatan daripada Ketua Delegat Teknikal, Pengurus Pertandingan, Wakil daripada Persatuan Sukan Kebangsaan dan Penyelaras Sukan Negeri.

Selain itu juga, penetapan tarikh-tarikh penting turut dibincangkan merangkumi tarikh pertandingan setiap sukan, taklimat pengurus pasukan serta latihan penyesuaian venue pertandingan.

LAWATAN KETUA DELEGAT TEKNIKAL KE VENUE PERTANDINGAN SUKAN MALAYSIA XXI, SARAWAK 2024

Seramai 42 orang Ketua Delegat Teknikal Sukan Malaysia XXI di Sarawak 2024 telah mengadakan lawatan ke sekitar venue pertandingan yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos nanti. Sesi lawatan tersebut telah diadakan pada 21 hingga 22 januari yang lalu dengan merangkumi sebanyak 48 venue meliputi 9 bahagian seluruh Bumi Kenyalang dan mewakili 37 jenis sukan yang bakal dianjurkan pada edisi kali ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia