IPOH: Impian skuad hoki negara untuk mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) lebur selepas tewas 1-2 kepada Jepun dalam aksi keempat di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Pakistan serta Jepun yang menduduki dua tangga teratas dengan berkongsi 10 mata sudah tidak mampu dipintas lagi oleh mana-mana pasukan termasuk skuad bimbingan Sarjit Singh sekali gus mara ke final.
Suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi pantas namun masih buntu untuk mendapatkan gol.
Jepun akhirnya memperoleh gol pertama selepas Kazumasa Matsumoto melakukan pukulan kilas yang menewaskan penjaga gol skuad hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman pada minit ke-24.
Skuad negara kerap melakukan asakan namun barisan pertahanan Jepun cukup berdisiplin menafikan cubaan Speedy Tigers.
Penyerang sensasi negara, Faizal Saari akhirnya memecah kebuntuan untuk skuad negara apabila menyamakan kedudukan selepas melakukan pukulan kilas menewaskan penjaga gol Jepun, Takumi Kitagawa pada minit ke-31.
Jepun bagaimanapun kembali di depan selepas Taiki Takade menjaringkan gol padang 10 minit sebelum berakhir perlawanan yang juga gol kemenangan untuk skuad Samurai.
Sementara itu, selepas tewas dua perlawanan berturut-turut di tangan Jepun dan Malaysia, New Zealand kembali menebus maruah mereka apabila menundukkan Korea Selatan 4-1.
Gol Black Sticks disumbangkan oleh George Baker seawal minit keempat, Jonty Elmes (minit-18), Jake Smith (minit-23) dan Isaac Houlbrooke minit ke-53 manakala Sim Jaewon menjaringkan gol tunggal Korea minit ke-39.
Keputusan itu pastinya kembali mengecewakan Korea Selatan yang mengalami kekalahan kali ketiga selepas tewas di tangan Jepun 1-2 dan Pakistan 0-4 sebelum ini serta hanya melakar kemenangan 1-0 ke atas Kanada.-Berita Harian