Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad petanque beri petanda positif menjelang Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Skuad petanque negara menutup tirai Kejohanan Petanque Asia Keenam dengan semangat tinggi apabila membawa pulang tiga pingat perak dan tiga gangsa, sekali gus memberi bayangan positif menjelang Sukan Sea Thailand bulan depan.

Kejohanan yang berlangsung di Arena Petanque Kuala Lumpur itu menjadi medan ujian penting buat skuad kebangsaan yang kini berada dalam fasa akhir persiapan menghadapi 11 acara dipertandingkan di Sukan Sea.

Lebih manis, sebahagian besar pingat disumbangkan barisan pelapis muda, membuktikan bahawa program pembangunan petanque negara berada di landasan tepat dan tidak hanya bergantung kepada pemain senior.

Antara penyumbang utama ialah trio muda Mohd Muqri Arif Mohd Sapiny, Muhd Idham Shahrulzahari dan Khairul Amirul Zamrul Hisyam yang meraih gangsa dalam acara triple lelaki, serta skuad remaja campuran yang memenangi perak dalam triple campuran.

Dua lagi perak hadir daripada acara shooting menerusi Nur Iman Aina dan Muhd Harith Muhaimin Hafaizul, manakala pemain senior, Muhammad Nuzul Azwan Ahmad Temizi, turut menyumbang gangsa dalam acara sama.

Ketua jurulatih negara, Nasir Mohd Noor, menyifatkan keputusan itu sebagai tonik berharga menjelang aksi di Chiang Mai nanti.

“Kita dianggap bukan pilihan dalam acara shooting, tetapi atlet-atlet mempamerkan semangat luar biasa.

Prestasi mereka menunjukkan peningkatan ketara dan kami akan terus mantapkan persiapan untuk merapatkan jurang dengan Thailand dan Vietnam,” katanya yang mengesahkan barisan sama akan dibawa ke Sukan Sea.

Sementara itu, Nuzul Azwan, yang turut mengendalikan skuad remaja, yakin perbezaan tahap antara Malaysia dan kuasa Asia semakin mengecil hasil pendedahan berterusan di kejohanan antarabangsa.

“Pemain muda kita makin matang dan lebih berani beraksi di pentas besar. Keputusan ini bukti mereka mampu bersaing dengan nama besar rantau ini,” katanya.

Thailand muncul juara keseluruhan dengan pungutan tiga emas dan tiga gangsa (3-0-3), diikuti Kemboja (2-1-0), Indonesia (1-0-1) dan Malaysia (0-3-3).

Walaupun tanpa sebarang emas, prestasi seimbang dipacu bakat muda memberi harapan baharu bahawa skuad petanque negara masih kekal antara pencabar podium utama di pentas Sukan Sea Thailand nanti.

Liek Hou tutup musim 2025 dengan gemilang

Kuala Lumpur: Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou menutup tirai musim 2025 dengan penuh rasa syukur selepas mengekalkan rekod cemerlang sepanjang tahun, menjuarai lima kejohanan perseorangan dan menyapu bersih tujuh gelaran beregu yang disertainya.

Liek Hou, 37, melengkapkan musim hebat itu dengan kemenangan berganda di Kejohanan Para Badminton Antarabangsa Jepun 2025 di Shizuoka semalam, sekali gus mengakhiri tahun dengan semangat tinggi menjelang kempen penting tahun depan.

“Saya menutup kejohanan tahun 2025 dengan dua emas di perseorangan dan dua emas di beregu di Indonesia dan Jepun, berturut-turut.

“Tahun ini saya sertai tujuh kejohanan, menang lima di perseorangan dan kesemua tujuh di beregu. Saya rasa sangat bersyukur kerana dapat mengekalkan prestasi sepanjang musim,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial.

Bagi pemenang dua kali pingat emas Paralimpik itu, pencapaian kali ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi bukti usaha keras dan konsistensi yang dipupuk saban tahun.

“Tahun depan sangat penting bagi saya, Sukan Para Sea akhir Januari, Kejuaraan Dunia Para Badminton awal Februari dan Sukan Para Asia pada Oktober. Saya harap dapat kekalkan rentak permainan dan tunjukkan prestasi terbaik,” ujarnya.

Liek Hou turut menzahirkan penghargaan kepada penaja dan pihak yang sentiasa berada di belakangnya, termasuk APACS Sports, Akisama Group, Himalaya Sports Malaysia, serta sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Terima kasih kepada semua yang percaya kepada saya dan menyokong saya selama ini.

Kepada semua penyokong, terutamanya rakyat Malaysia, anda sebab saya masih bersemangat untuk terus mewakili negara yang saya cintai,” katanya.

Di Shizuoka, Liek Hou mempamerkan aksi konsisten apabila menewaskan pemain Taiwan, Fang Jen-Yu 21-14, 21-17 dalam final perseorangan lelaki SU5, sebelum bergandingan dengan Mohamad Faris Ahmad Azri untuk menumpaskan pasangan India, Hardik Makkar-Ruthick Ragupathi 23-21, 21-13 bagi memastikan emas berganda.

Kejayaan itu sekali gus menegaskan status Liek Hou sebagai legenda para badminton dunia, bukan sahaja kerana gelaran yang dimenanginya, tetapi kerana ketabahan dan semangat juangnya yang tidak pernah luntur.

Sze Fei-Izzuddin harap keajaiban

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berdepan misi getir untuk melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan depan.

Segala-galanya bakal ditentukan pada Masters Kumamoto di Jepun yang membuka tirai esok dan Terbuka Australia dari 18 hingga 23 November ini, dengan pasangan nombor empat dunia itu memerlukan keputusan luar biasa untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik ranking Jelajah Dunia.

Ketika ini, Sze Fei-Izzuddin menghuni ranking ketujuh dengan 72,770 mata, manakala satu lagi beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun berada di kedudukan ketiga dengan 84,350 mata.

Satu lagi wakil negara iaitu pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah pun mengesahkan tiket ke Hangzhou apabila selesa di tangga kedua dengan 95,320.

Situasi itu menjadikan persaingan kini terarah antara dua beregu negara itu bagi merebut satu lagi slot ke kejohanan berprestij berkenaan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$3 juta (RM12.5 juta).

Hanya lapan pemain atau pasangan terbaik layak ke Jelajah Dunia Akhir, dengan setiap negara terhad kepada maksimum dua wakil.

Secara matematik, Sze Fei-Izzuddin wajib muncul juara di Masters Kumamoto dan Terbuka Australia sambil mengharapkan Wei Chong-Kai Wun tersingkir di pusingan pertama kedua-dua kejohanan berkenaan untuk melayakkan diri ke Hangzhou.

Sekiranya Wei Chong-Kai Wun mara ke pusingan kedua di kedua-dua kejohanan berkenaan, mereka akan mengesahkan tiket ke Hangzhou biarpun Sze Fei-Izzuddin berjaya muncul juara.

Musim lalu, Sze Fei-Izzuddin mencipta sensasi apabila menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik di Finland sebelum muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir.

Namun, mereka berdepan dengan prestasi tidak menentu tahun ini apabila setakat ini hanya meraih satu kejuaraan di Terbuka India pada Januari lalu selain muncul naib juara Terbuka Jepun pada Julai.

Wei Chong-Kai Wun yang kini di ranking kelima dunia pula mengintai peluang melakukan penampilan sulung di Jelajah Dunia Akhir.

Kai Wun sebelum ini mengakui bersedia mengambil risiko beraksi di Masters Kumamoto walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan betis demi merealisasikan impian bersama Wei Chong.

“Selepas ini, kami akan menyertai Masters Kumamoto kerana untuk Jelajah Dunia, kami belum layak dan harus bermain dulu.

“Kami ada mata yang baik dan akan bersaing untuk ke sana. Memang saya terpaksa ambil risiko kerana kami perlu bermain bagi melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir.

“Sebelum ini pun kami sudah cuba pada Terbuka Perancis dan Hylo dan keputusan juga sangat positif,” katanya.

Di Masters Kumamoto, Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan kedua akan membuka tirai kempen menentang gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju manakala Wei Chong-Kai Wun bertemu wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.

Kedua-dua pasangan negara itu berpotensi membuat perhitungan antara satu sama lain sekiranya masing-masing layak ke separuh akhir.

Qaiyum fokus persediaan mental

KUALA LUMPUR: Petinju negara, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin mahu bertarung dengan lebih tenang pada penampilan ketiga Sukan SEA bagi edisi 2025 di Thailand, bulan depan.

Muhammad Abdul Qaiyum berkata, beliau ketika ini sedang menumpukan untuk menguatkan mental pada sesi latihan, sekali gus dapat membantunya mengelak daripada mengalami tekanan beraksi pada temasya sukan dwitahunan itu.

“Kebiasaannya ketika ‘sparring’ (sesi latihan) saya boleh buat dengan baik, lawan dengan pertahanan juga boleh buat dengan baik, namun setibanya hari pertandingan kadang-kadang prestasi tidak sama.

“Jadi, saya cuba atasi situasi itu dengan cuba membayangkan persekitaran pada hari pertandingan sewaktu sesi latihan, saya mahu berlatih sebegitu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pemenang gangsa kategori 51 kilogram (kg) lelaki Sukan SEA 2023 di Phnom Penh itu, pada masa sama berharap dapat memperbaik prestasi dengan kejayaan lebih membanggakan di bumi Thailand.

Petinju berusia 21 tahun dari Ipoh itu juga akan berwaspada dengan kelibat wakil tuan rumah dan Filipina yang berpotensi mencabar kedudukan podium pada Sukan SEA kali ini.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis, melibatkan tiga wilayah, iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

Pei Jing tak patah semangat atasi badi tujuh kali naib juara

Kuala Lumpur: “Tujuh final, tujuh kali naib juara. Mungkin ada yang akan menyakiti, mungkin ada memperlekeh. Tapi semua itu tidak penting, kerana saya hanya perlu jadi diri saya sendiri.”

Itu luahan jujur Lai Pei Jing selepas sekali lagi berdepan kekecewaan di pentas akhir, apabila beregu campuran profesional negara itu bersama pasangannya Jimmy Wong terpaksa akur bergelar naib juara Masters Korea 2025, semalam.

Pasangan pilihan ketiga itu tewas kepada wakil tuan rumah, Kim Jae Hyeon-Jeong Na Eun dengan keputusan 22-24, 18-21 dalam aksi sengit yang memakan masa 54 minit di Gimnasium Iksan.

Kekalahan itu menyaksikan Jimmy-Pei Jing terus kempunan gelaran pertama musim ini, meskipun sudah tujuh kali menjejakkan kaki ke final sejak awal tahun.

Dalam nada penuh ketabahan, Pei Jing yang berusia 33 tahun menzahirkan rasa syukur kerana masih mampu bersaing di peringkat tertinggi, selain menegaskan bahawa perjalanan kariernya jauh lebih bermakna daripada sekadar jumlah trofi.

“Terima kasih Tuhan kerana sentiasa melindungi saya. Walaupun setiap kali bergelar naib juara terasa kehilangan, saya tetap bersyukur. Bersyukur kerana masih mampu berdiri di gelanggang dan berjuang. Bersyukur kerana masih diberi tubuh yang sihat. Bersyukur kerana masih boleh berdiri di podium,” tulisnya di laman sosial.

Pei Jing turut berterima kasih kepada rakan sepasukan, keluarga serta penyokong yang tidak pernah berhenti memberi semangat, sambil berjanji untuk terus bekerja keras.

“Terima kasih atas sokongan semua. Kami akan terus berusaha dan berikan yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, gelaran juara Masters Korea menawarkan hadiah AS$18,960 (RM90,000) manakala naib juara membawa pulang AS$9,120 (RM43,000).

Meskipun gagal menamatkan badi tujuh kali naib juara, semangat ditunjukkan Pei Jing membuktikan kekuatan mental luar biasa seorang atlet, yang tidak pernah berpaling walau dilanda kecewa, sebaliknya terus melangkah dengan hati yang ‘masih panas’ untuk berjuang lagi.

KBS bentang pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 tahun depan

KUALA LUMPUR: Pindaan kepada Akta Pembangunan Sukan 1997, termasuk peruntukan berhubung integriti sukan, dijangka dibentang di Dewan Rakyat tahun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengadakan perbincangan meja bulat bersama pemegang taruh bagi menjadikan akta tersebut lebih berkesan serta memberikan kuasa kepada Pesuruhjaya Sukan dan Menteri.

“Kita jangkakan pindaan Akta Pembangunan Sukan ini akan dibentangkan tahun hadapan supaya semua kelompongan sedia ada dapat ditutup,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang ingin tahu sama ada KBS bercadang meningkatkan kuasa undang-undang di bawah akta tersebut bagi membendung risiko penipuan dan manipulasi rasuah dalam e-sukan negara.

Menurut Hannah, KBS sentiasa berkolaborasi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangani isu rasuah dalam sukan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai promosi e-sukan di peringkat sekolah rendah dan menengah, Hannah berkata KBS mengambil pendekatan konservatif dan tidak mempromosikan e-sukan secara aktif di sekolah.

“Bagi atlet yang mewakili Malaysia, KBS akan memberikan sokongan. Namun, promosi e-sukan di peringkat sekolah adalah bersifat konservatif kerana kebimbangan mengenai ketagihan gajet dan penggunaan berlebihan dalam kalangan pelajar.

“Kawalan serta bimbingan ibu bapa amat penting agar minat terhadap e-sukan dapat diurus secara seimbang. Setakat ini, tiada promosi aktif dijalankan sama ada oleh KBS mahupun Kementerian Pendidikan,” katanya.

Hannah berkata beberapa siri sesi libat urus telah diadakan bersama Kementerian Pendidikan KPM) melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, dengan kertas cadangan dan draf garis panduan telah disediakan bagi pelaksanaan e-sukan di sekolah.

“Mulai tahun depan, KPM akan menilai dan menyokong penganjuran pertandingan e-sukan oleh agensi luar yang melibatkan murid bagi tujuan pengiktirafan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum. Sokongan ini hanya diberikan kepada penganjur yang menggunakan judul permainan yang diluluskan oleh jawatankuasa penilai,” katanya.

Hannah berkata jawatankuasa penilai turut melibatkan unit Psikologi Kaunseling dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan setiap judul dan kandungan permainan sesuai dari segi pendidikan serta tidak menjejaskan kesejahteraan murid.

“KBS melalui Majlis Sukan Negara dan Impact Integrated, telah menyumbang input, termasuk penyerahan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG) sebagai dokumen rujukan utama untuk draf garis panduan e-sukan oleh KPM.

“KBS dan KPM akan terus berbincang bagi menyokong pertumbuhan e-sukan sambil memastikan kepentingan pelajar terpelihara. Penyertaan pelajar akan dilindungi sebaik mungkin,” katanya.

– BERNAMA

Emma Firyana berjaya mara ke final

Kuala Lumpur: Jaguh boling padang, Emma Firyana Saroji menceriakan kem negara apabila berjaya melangkah ke pentas akhir perseorangan wanita Piala Dunia 2025, sebentar tadi.

Beraksi di halaman sendiri, Emma Firyana menggunakan kelebihan itu sebaik mungkin untuk menewaskan pesaing dari Australia, Dawn Hayman 2-1 pada separuh akhir yang penuh sengit di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Bagaimanapun, pemain berpengalaman itu dikejutkan pada set pertama sebelum bangkit dalam dua set seterusnya untuk memastikan sekurang-kurangnya pingat perak sudah berada dalam genggaman pasukan negara.

“Prestasi saya sebenarnya agak turun naik kerana masih mencari momentum terbaik untuk kejohanan ini.

“Namun Alhamdulillah, segala perancangan hari ini menjadi dan saya berjaya ke final,” katanya.

Sementara itu, hasrat untuk melihat pertemuan sesama sendiri tidak kesampaian apabila seorang lagi wakil negara, Nurul Alyani Jamil tewas 0-2 kepada pemain England, Katherine Rednall.

Kekalahan itu menyaksikan Alyani muncul wakil pertama negara menyumbang pingat gangsa buat kem negara.

“Saya akan cuba ubah warna pingat ini apabila turun bersama Emma dalam acara berpasangan wanita bermula esok,” katanya.

Pada perkembangan sama, perjuangan beregu lelaki berakhir di peringkat kumpulan selepas gandingan Izzat Shameer Dzulkeple–Soufi Rusli sekadar menamatkan saingan di tangga keempat.

Hafizuddin pimpin cabaran negara

Kuala Lumpur: Jaguh petanque negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud, kembali menjadi sandaran utama Malaysia apabila mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Petanque Asia yang membuka tirai esok di Arena Petanque Kuala Lumpur, Pudu Ulu, Cheras.

Selepas mencipta sensasi di pentas dunia dengan pingat gangsa acara perseorangan lelaki di Kejohanan Dunia di Rom, Itali, September lalu, Hafizuddin kini menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan skuad negara mampu menaiki podium di laman sendiri.

Bukan sekadar pengalaman dan reputasi, Hafizuddin membawa semangat baharu buat kontinjen negara yang optimis mengekalkan rentak positif di pentas Asia.

“Kejayaan di Rom jadi pembakar semangat. Kami mahu buktikan Malaysia masih kuasa besar Asia dalam sukan ini,” kata sumber dalam pasukan ketika ditemui.

Turut mencuri perhatian ialah barisan atlet wanita negara, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Jasnina Jasmine Johan Johnson dan Nur Durratul Sahira Yazit yang kini berada di prestasi terbaik selepas aksi meyakinkan di Kejohanan Dunia Triple Wanita di Perancis bulan lalu.

Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan oleh Konfederasi Sukan Boules Asia (ASBC) untuk menganjurkan kejohanan berprestij ini, selepas edisi 2018 dan 2023, susulan perpindahan venue asal dari Iran kerana faktor keselamatan dan logistik.

Sebanyak 141 peserta dari 15 negara akan bersaing dalam dua acara utama ‘precision shooting’ dan ‘triple’ bagi kategori lelaki, wanita serta remaja sepanjang empat hari kejohanan.

Menurut Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng, penganjuran kali ketiga ini menjadi pengiktirafan besar buat Malaysia di pentas serantau.

“Kita amat berbangga diberi kepercayaan menganjurkan kejohanan penting ini. Penyertaan meluas termasuk lapan negara Asia Tenggara menjadikan saingan lebih sengit, terutama menjelang Sukan Sea Thailand Disember ini,” katanya.

Edisi kali ini turut dianggap sebagai medan terbaik menguji keupayaan skuad negara menjelang Sukan Sea Thailand, dengan lapan negara Asia Tenggara, Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Singapura, Filipina dan Brunei, menjadikan kejohanan ini sebagai platform pemanas badan terakhir.

Dengan momentum positif dan kelebihan beraksi di laman sendiri, harapan tinggi disandarkan kepada Hafizuddin dan rakan sepasukan untuk membawa pulang keputusan membanggakan di hadapan penyokong sendiri.

Faizal mahu kembali beraksi

Kuala Lumpur: Selepas 10 bulan berehat, bekas penyerang hoki negara, Faizal Saari meluahkan hasrat untuk keluar daripada dunia persaraan dan kembali menyarung jersi Speedy Tigers sekiranya diberikan ruang dan peluang oleh barisan kejurulatihan negara.

Menurut Faizal, dia sentiasa bersedia memberikan komitmen terbaik andai dipanggil semula ke pangkuan pasukan Malaysia selepas pernah menjadi antara penggempur utama negara suatu ketika dahulu.

“Hasrat untuk kembali ke skuad kebangsaan sentiasa ada dalam diri saya. Jika diberi ruang dan peluang, insya-Allah saya sedia menabur bakti,” katanya di Instagram miliknya.

Jelas penyerang berpengalaman negara itu, usia bukan penghalang buatnya selagi fizikal, disiplin dan prestasi masih mampu berada pada tahap kompetitif untuk membantu skuad negara.

“Saya tetap berlatih, saya jaga fizikal saya dan saya masih percaya saya mampu beri sesuatu kepada pasukan negara,” katanya.

Untuk makluman, Faizal antara penjaring paling prolifik buat Malaysia dan memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa termasuk Piala Dunia, Piala Asia serta siri kejohanan besar lain.

Pengumuman dari pemain itu dilihat satu perkembangan positif dan mampu menambah kekuatan pasukan negara terutama dalam Kelayakan Piala Dunia awal tahun hadapan.

Untuk rekod, penyerang berusia 34 tahun itu mengambil keputusan untuk bersara daripada mewakili pasukan negara pada Februari lalu selepas 15 tahun menabur bakti bersama Speedy Tigers.

Sejak mewakili negara seawal usia 18 tahun, Faizal sudah membuat 302 penampilan bersama pasukan Malaysia.

Gandingan Emma–Alyani jadi taruhan

Kuala Lumpur: Skuad boling padang negara melihat gandingan Emma Firyana Saroji–Nurul Alyani Jamil yang akan turun dalam acara beregu wanita mampu menghasilkan keputusan positif pada Piala Dunia 2025 di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, esok.

Ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh berkata, beliau melihat Emma Firyana–Alyani mempunyai keserasian yang baik dan mampu menampilkan persembahan cemerlang meskipun perlu berdepan tentangan sengit nanti.

Malah, keputusan muncul naib juara Kejohanan Terbuka Australia baru-baru ini menjadi petanda positif menjelang saingan kali ini.

“Keputusan (Terbuka Australia) adalah keputusan positif kerana ia kejohanan yang paling berprestij di dunia. Mereka mampu menghadapi cabaran besar itu dan ia sudah cukup menjadi petanda baik untuk pasukan kita.

“Namun, cabaran Piala Dunia ini berbeza. Tak sama seperti kejohanan-kejohanan lain yang mereka lalui dan saya berharap wakil kita berjaya menghadapi ujian yang ada di sini, terutama tekanan sebagai tuan rumah,” katanya.

Selain itu, pemilihan pasangan berkenaan dibuat berdasarkan prestasi semasa selain pencapaian antarabangsa serta sikap profesional yang ditunjukkan sepanjang latihan.

“Pemilihan mereka dibuat berdasarkan ranking, prestasi, penyertaan di kejohanan luar negara serta pencapaian tertinggi masing-masing.

“Emma sebelum ini memenangi pingat gangsa di Champion of Champions World Cup di Aberdeen manakala Alyani pula meraih pingat emas di kejohanan Asia baru-baru ini. Semua kriteria itu diambil kira oleh persatuan.

“Kelayakan mereka berdasarkan merit sepenuhnya. Semua aspek termasuk disiplin dan semangat pasukan diberi perhatian,” katanya.

Untuk makluman, kedua-dua pemain itu turut beraksi dalam acara perseorangan semalam dengan permulaan yang agak baik dan diharapkan mampu mencipta kejayaan lebih besar dalam acara beregu.