Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Banyak aspek larian Danish Iftikhar perlu dipertingkatkan – Roslee

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee perlu memperbaiki beberapa aspek bagi memastikan teknik lariannya dapat dipertingkatkan menjelang kejohanan akan datang.

Menurut jurulatih peribadinya, Roslee Ismail biarpun permulaan musim yang dilalui Danish setakat ini berada pada landasan positif, banyak aspek terutama teknik dan konsistensi larian perlu dipertingkatkan.

“Alhamdulillah, ini permulaan musim yang baik. Insya-Allah kita akan perbaiki setiap kelemahan bagi mempertingkatkan lagi prestasi Danish,” katanya.

Minggu lalu, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu meraih pingat emas pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 1 apabila mencatat masa 10.46 saat (s) di final 100 meter (m), sekali gus dilihat sebagai permulaan baik untuk musim ini.

Sebagai rekod, atlet kelahiran Johor itu sudah mengesahkan tempat ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS) dari 5 hingga 9 Ogos depan.

Danish Iftikhar mencuri tumpuan dalam penampilan pertama di Sukan Sea Thailand 2025 selepas meraih tiga pingat menerusi acara 100m (perak), 200m (gangsa) dan 4x100m (perak).

Malah, dia turut memadam rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.72s, mengatasi rekod Russel Taib (20.77s) yang dilakukan pada 2019.

Dia turut membantu kuartet 4x100m mencipta rekod baharu 39.03s, sekali gus memadam rekod lama 39.09s yang dilakukan pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.