Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS SUKAN NEGARA TERIMA ANUGERAH FOCAL POINT TERBAIK BAGI SISTEM YDATA IYRES

Majlis Sukan Negara (MSN) menerima Anugerah Focal Point Terbaik (Focal Excellent Award) bagi Sistem YData sempena Program Penyebarluasan Hasil Penyelidikan dan Hub Data (Hub Data Exchange – HDX) 2026 anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

MSN yang diwakili Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Puan Puah Pei Ling menerima anugerah tersebut daripada YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Anugerah ini mengiktiraf prestasi dan komitmen MSN sebagai Focal Point dalam pembekalan data statistik menerusi Sistem YData IYRES.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT LEMBAGA PENGURUSAN MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA PENGGAL KEDUA PULUH LIMA KALI KEEMPAT

BUKIT JALIL, 15 September – Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara Malaysia Penggal Kedua Puluh Lima Kali Keempat telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq Johari di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Mesyuarat membincangkan dan menyelaras beberapa perkara berkaitan pengurusan serta pembangunan sukan negara, khususnya dalam memperkukuh ekosistem sukan berprestasi tinggi secara berterusan.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada aspek strategik dalam memastikan pelaksanaan agenda pembangunan sukan negara dapat diperkasa secara tersusun, berkesan dan berimpak, selaras dengan aspirasi untuk terus mengangkat prestasi serta kecemerlangan sukan Malaysia.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PENYERAHAN JALUR GEMILANG KONTINJEN MALAYSIA KE TEMASYA SUKAN ASIA DAN SUKAN PARA ASIA AICHI-NAGOYA 2026

Kontinjen Malaysia hari ini secara rasmi menerima Jalur Gemilang daripada Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq Johari, dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang yang berlangsung di Dewan Banquet, Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Tuan Mordi Bimol; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, YBrs. Tuan Haji Abdullah Hassan; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Megat D. Shahriman Dato’ Zaharudin serta Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadirin.

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan ratu wushu, Tan Cheong Min diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi Kontinjen Malaysia, selain Azeem turut mengetuai bacaan ikrar mewakili seluruh kontinjen.

Seramai 352 atlet bakal menggalas cabaran negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam 156 acara melibatkan 30 jenis sukan, dengan sasaran 6 pingat emas, 7 pingat perak dan 20 pingat gangsa.

Bagi Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 pula, atlet para olahraga negara, Muhammad Nazmi Nasri diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Seramai 73 atlet akan membawa cabaran Malaysia dalam 10 daripada 18 jenis sukan yang dipertandingkan, dengan sasaran 6 pingat emas, 10 pingat perak dan 18 pingat gangsa.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober 2026, manakala Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 24 Oktober 2026.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT JK KECIL PENILAIAN & AUDIT PRESTASI SUKAN SEA & SUKAN PARA ASEAN 2027

Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Penilaian dan Audit Prestasi Sukan SEA & Sukan Para ASEAN 2027 Bilangan 1/2026 telah berlangsung di Bukit Jalil dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Encik Jefri Ngadirin, bersama-sama barisan jawatankuasa penilaian yang diketuai oleh legenda olahraga negara, YBhg. Datuk Marina Chin.

Jawatankuasa yang ditubuhkan pada Julai lalu turut dianggotai oleh barisan ahli akademik dalam bidang sains sukan dan perubatan sukan serta bekas atlet kebangsaan bagi memastikan proses penilaian program penyediaan atlet dilaksanakan secara objektif dan telus.

Senarai ahli jawatankuasa terdiri daripada:
• YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff
Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris

• Dr. Eliza Hafiz
Pensyarah Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya

• YM Prof. Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin
Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA

• Prof. Madya Dr. Garry Kuan Pei Ern
Pensyarah Sains Senaman dan Sukan, Universiti Sains Malaysia

• Dr. Arshad Puji
Pakar Perunding Perubatan Sukan, Jabatan Ortopedik, Hospital Kuala Lumpur

• Cik Sharon Wee Ee Lin
Legenda Skuasy Negara

Turut hadir, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2027 (Semenanjung), YBhg. Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dan Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia, YBhg. Laksamana Pertama (B) Dato’ Subramaniam Raman Nair.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT LEMBAGA PENGURUSAN MAJLIS SUKAN NEGARA (MSN) PENGGAL KE-25 KALI KETIGA

Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN Penggal Ke-25 Kali Ketiga telah dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN.

Mesyuarat yang berlangsung di Bukit Jalil turut membincangkan cadangan pelaksanaan Polisi Dual Karier Atlet Kebangsaan serta pembentangan persediaan Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Ke-20 dan Para Asia Kelima Aichi-Nagoya 2026.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SESI PERKONGSIAN PANEL JEMPUTAN: HALA TUJU ATLET MENJELANG SUKAN SEA & PARA ASEAN MALAYSIA 2027

Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan sesi perkongsian bersama panel jemputan bagi memperkukuh pemikiran strategik dan keselarasan Jawatankuasa Penyediaan Atlet melalui perkongsian pengalaman serta perspektif tokoh sukan, media dan atlet.

Bertempat di Sepang International Circuit (SIC), Selangor, sesi ini menampilkan Datuk Marina Chin, Encik Rizal Hashim, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail dan Cik Farah Ann Abdul Hadi.

Perkongsian merangkumi pengalaman sebagai Ketua Kontinjen, perspektif media, pembangunan atlet berprestasi tinggi, perjalanan ke pentas Olimpik serta hala tuju prestasi tinggi negara menuju Sukan SEA & Para ASEAN Malaysia 2027.

Turut hadir sama, YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN.

Semoga sesi ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pembangunan atlet dan sistem prestasi tinggi negara.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT PENYELARASAN BERSAMA MAJLIS SUKAN NEGERI BIL.02/2026

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara YBrs. Encik Jefri Ngadirin telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Majlis Sukan Negeri Bilangan 02/2026 di Shah Alam, Selangor.

Mesyuarat ini diadakan sebagai platform menyelaras pelaksanaan program-program dari Sektor Pembangunan Sukan MSN yang terdiri daripada Bahagian Atlet, Para, Pengurusan Acara dan Sukan, Pembangunan Bakat, Sekretariat Wanita Dalam Sukan serta Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet.

Mesyuarat yang dihadiri pengarah-pengarah dan wakil-wakil Majlis Sukan Negeri ini turut membincangkan isu-isu semasa serta langkah penambahbaikan bagi memperkukuh kerjasama strategik antara MSN dan Majlis Sukan Negeri demi memperkasakan pembangunan sukan negara secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS TEKNIKAL SUKAN PARA SUKMA XXII 3/2026

Majlis Sukan Negara mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Para SUKMA XXII Selangor 2026 Bilangan 3/2026 sebagai persediaan menghadapi temasya Para SUKMA ke-22 Selangor 2026 yang bakal berlangsung pada 5 hingga 10 September ini.

Mesyuarat yang diadakan di Pusat Konvensyen MBSA Shah Alam telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara YBrs. Encik Jefri Ngadirin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal Para SUKMA XXII turut dihadiri Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, YH Dato’ Seri Megat D. Shahriman Dato’ Zaharudin, Pengarah-Pengarah Majlis Sukan Negeri serta Ketua Delegat Teknikal dari 10 sukan yang dipertandingkan.

Antara perkara yang diberi tumpuan adalah penyelarasan aspek teknikal termasuk pengesahan acara, klasifikasi atlet, penyertaan kontinjen serta kesiapsiagaan penganjuran.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SAMBUTAN KETIBAAN KONTINJEN MALAYSIA DARI TEMASYA SUKAN KOMANWEL GLASGOW 2026

Kumpulan terakhir atlet dan pegawai Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 selamat tiba di tanah air lewat petang 4 Ogos 2026 di KLIA 1.

Kontinjen yang ketuai Chef de Mission YBhg. Datuk Awalan Abdul Aziz bersama-sama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Encik Jefri Ngadirin serta atlet/jurulatih yang terdiri daripada sukan berbasikal trek, para berbasikal, judo, lawn bowls, para lawn bowls, para olahraga dan pegawai-pegawai sekretariat tiba pada jam 6.40 petang tadi dan disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, YB. Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Puan Chan Hong Jin, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, YBhg. Datuk Mohd Nasir Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dr P. Vellapandian serta barisan Pengurusan Tertinggi Majlis Sukan Negara.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PENYERAHAN JALUR GEMILANG KONTINJEN MALAYSIA KE TEMASYA SUKAN KOMANWEL 2026, GLASGOW

Kontinjen Malaysia hari ini secara rasminya menerima Jalur Gemilang daripada Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq Johari, dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Komanwel 2026, Glasgow yang berlangsung di Dewan Banquet, Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Tuan Mordi Bimol; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, YBhg. Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, YBhg. Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin dan Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadirin.

Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly, diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang diiringi ratu boling padang, Emma Firyana Saroji selaku pembawa King’s Baton, manakala gimnas negara, Rachel Yeoh Li Wen, mengetuai bacaan ikrar mewakili Kontinjen Malaysia.

Seramai 59 atlet yang terdiri daripada 37 atlet able dan 22 atlet para bakal membawa cabaran negara dalam 55 acara merangkumi lapan jenis sukan, dengan sasaran 5 pingat emas, 2 pingat perak dan 4 pingat gangsa.

Sukan Komanwel 2026 yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland bermula 23 Julai hingga 2 Ogos 2026.