Kuala Lumpur: Selepas melalui detik sukar dengan dua kekalahan, skuad hoki lelaki negara akhirnya kembali menemui sentuhan kemenangan apabila menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Negara-Negara di Cape Town, Afrika Selatan semalam.
Kejayaan itu bukan sahaja mengembalikan keyakinan pasukan, malah menjadi suntikan moral penting buat Speedy Tigers yang kini mengalihkan fokus untuk memburu penamat terbaik dalam baki saingan kejohanan.
Walaupun kemenangan itu tidak cukup untuk membawa Malaysia ke separuh akhir, anak buah Brendan Carolan sekurang-kurangnya menutup kempen peringkat kumpulan dengan keputusan positif apabila mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan untuk menduduki tangga ketiga kumpulan.
Bagi Carolan, beliau mengakui prestasi anak buahnya menunjukkan perkembangan positif berbanding beberapa aksi terdahulu, namun masih ada ruang yang perlu diperbaiki.
“Ya, ia lebih baik seperti saya katakan sebelum ini dan saya fikir kami masih perlu menjadi lebih baik. Saya fikir fasa pembinaan permainan adalah baik, kami mengawal penguasaan bola dengan lebih baik tetapi masih terdapat beberapa kehilangan bola,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Malaysia bermula garang apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook meletakkan pasukan di hadapan seawal minit kelima, namun Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Lee Gangsan pada minit ke-20.
Ketika perlawanan dilihat menuju keputusan seri, Shello Silverius muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-58 untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia.
Menurut jurulatih dari Australia itu, kemenangan tersebut memberi nilai cukup besar kepada pasukan ketika mereka sedang berusaha membentuk rentak permainan yang lebih konsisten.
“Kadang-kadang keputusan sangat penting pada peringkat ini, jadi adalah positif untuk mendapatkan keputusan tersebut. Peningkatan itu semakin baik dan ia merupakan satu langkah ke hadapan sebagai persiapan menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, tonggak berpengalaman negara, Marhan Jalil menyifatkan kemenangan ke atas Korea Selatan sebagai ganjaran setimpal buat usaha keras seluruh pasukan yang tidak pernah berputus asa meskipun berdepan tekanan selepas dua kekalahan sebelum ini.
“Ya, saya berasa sangat gembira kerana pemain-pemain kembali bangkit selepas dua kekalahan sebelum ini dan saya fikir semua pemain memberikan yang terbaik dalam perlawanan menentang Korea hari ini. Kami kini menantikan perlawanan penentuan kedudukan dan ia pasti menjadi satu perlawanan yang sukar, namun kami berharap dapat meneruskan kemenangan seperti yang dicapai hari ini,” katanya.
Speedy Tigers akan berdepan Amerika Syarikat dalam aksi penentuan kedudukan kelima hingga kelapan, petang esok, sekali gus membuka peluang untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan.