Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ketiadaan Pearly memang terasa, namun kami tetap fokus – Thinaah

Kuala Lumpur: Ketua pasukan Piala Uber negara, M Thinaah tetap yakin dengan kemampuan skuad wanita Malaysia biarpun terpaksa beraksi tanpa gandingannya, Pearly Tan serta dibarisi ramai pemain muda.

Thinaah mengakui ketiadaan Pearly memberi kesan dari segi emosi kepada pasukan, namun menegaskan semangat berpasukan masih kuat dan semua pemain tetap fokus terhadap misi yang perlu dilaksanakan.

“Piala Uber adalah acara berpasukan. Memang sedihlah tak ada Pearly dengan kami. Semua pun mahu dia ada, dia sendiri pun sangat mahu berada di sini.

“Dia ada mesej saya dan minta maaf kerana tak dapat bersama pasukan,” katanya.

Namun, Thinaah menegaskan skuad negara masih mempunyai kekuatan tersendiri dengan kehadiran pemain lain termasuk muka baharu yang sedang meningkat naik.

“Ini acara berpasukan. Kami masih ada pemain lain, kebanyakannya pemain muda.

“Setakat beberapa hari ini, saya rasa ia permulaan yang sangat baik untuk pasukan wanita. Ini sesuatu yang positif dan kami harap dapat membawa momentum ini apabila kempen bermula nanti,” katanya.

Pada masa sama, Thinaah turut menyambut baik kehadiran pemain baharu seperti Chong Jie Yu yang disifatkan menunjukkan semangat tinggi serta cepat menyesuaikan diri dalam skuad.

Justeru, dia mahu semua pemain tampil tanpa rasa gentar serta menikmati setiap perlawanan di gelanggang.

“Kami hanya mahu beri yang terbaik, tiada kekesalan di atas gelanggang. Main permainan sendiri, nikmati setiap saat.

“Secara keseluruhan, kami sedang dalam suasana yang positif dan semakin kukuh sebagai satu pasukan,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan dan berdasarkan ranking, Malaysia sepatutnya boleh layak ke suku akhir, sekali gus mengulangi pencapaian ketika edisi 2010 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Piala Uber dan Piala Thomas akan diadakan di Horsens, Denmark bermula 24 April hingga 3 Mei ini.