Kuala Lumpur: Penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor berkemungkinan ditangguhkan susulan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengambil kira situasi semasa negara.
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, beliau menjunjung titah baginda yang dizahirkan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 hari ini.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat atas keprihatinan baginda terhadap krisis tenaga global yang sedang memberi kesan kepada ekonomi, selain faktor kesiapsiagaan venue utama.
“Selain faktor ekonomi, ia turut mengambil kira keperluan untuk menunggu Stadium Shah Alam siap sepenuhnya sebelum temasya dapat dianjurkan dengan lebih sempurna,” katanya.
Beliau memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Selepas itu, saya akan memanggil mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 yang dianggotai semua negeri, Majlis Sukan Negara serta Majlis Olimpik Malaysia bagi membincangkan perkara ini secara menyeluruh,” katanya.
