Majlis Sukan Negara Malaysia

Blog

Azeem belum pasti beraksi di Sukan SEA Thailand

Kuala Lumpur: Sesuatu mungkin perlu dilakukan oleh jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi apabila keputusan Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion tidak memihak kepada dirinya.

Malah, Azeem kini semakin jauh ketinggalan ketika musuh utamanya dari Thailand, Puripol Boonson semakin mengukuhkan cengkaman apabila meraih pingat perak selepas merekodkan 10.22 saat (s) manakala Azeem terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat dengan catatan 10.35s di WUG.

Emas diraih Bayanda Walaza dari Afrika Selatan, 10.16s manakala gangsa milik atlet Jepun, Hiroki Yanagita gangsa dengan 10.23s.

Catatan itu bagaimanapun jauh daripada masa terbaiknya musim ini iaitu 10.20s dan dia perlu mempertingkatkan usahanya sekiranya ingin melayakkan diri secara merit ke Kejohanan Dunia dari 13 hingga 21 September ini di Tokyo.

Sekiranya gagal melayakkan diri ke Kejohanan Dunia, Azeem berpeluang menebus kehampaan di WUG terhadap Boonson di Sukan SEA Thailand Disember ini.

Namun kini persoalannya, belum ada kata putus daripada pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s itu sama ada akan beraksi di Sukan SEA atau tidak.

Menurut Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim, nama Azeem sudah pun dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk beraksi di Sukan SEA namun kata putus terletak di tangan pelari itu.

“Ketika ini masih belum tentu lagi sama ada Azeem akan beraksi di Sukan SEA atau tidak. Terpulang pada tuan punya badan.

“Tapi nama kita sudah hantar kepada MOM,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih MA, Manshahar Abdul Jalil berkata, dia akan berhubung dengan jurulatih Azeem di Amerika Syarikat, Ken Harden untuk berbincang berhubung perkara itu.

“Saya kena hubungi jurulatihnya di Auburn untuk perbincangan dan dapat pengesahan terlebih dahulu sama ada boleh atau tidak Azeem bertanding.

“Ketika ini masih belum ada sebarang kata putus lagi,” katanya.

Belum ada kata putus isu permohonan bajet TSG, MPC

Kuala Lumpur: Isu permohonan bajet yang diutarakan oleh dua pasukan profesional negara Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) sekiranya Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) ingin menggunakan khidmat pelumba mereka pada temasya Sukan SEA Thailand, masih belum menemui kata putus.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill bagaimanapun memaklumkan ada maklum balas positif yang diterima selepas sesi perjumpaan membabitkan pasukan profesional negara itu bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang berlangsung dalam suasana harmoni hari ini.

Namun Amarjit menjelaskan bahawa kedua-dua pasukan benua negara itu perlu menyerahkan perincian bajet secara terperinci dalam tempoh seminggu bagi membolehkan permohonan mereka dikemukakan kepada MSN secepat mungkin.

“Kita sudah minta mereka (TSG dan MPC) perincikan apa keperluan sebenar termasuk kos logistik, penyertaan, dan juga kos tambahan atau ‘top-up’ yang diperlukan untuk ke Sukan SEA.

“Selepas kita terima bajet terperinci itu, barulah kita boleh bawa satu kertas kerja ke MSN untuk dipertimbangkan. Pihak MSN nyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan bajet tambahan berdasarkan bajet yang akan dibentangkan nanti,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Amarjit, permintaan kedua-dua pasukan untuk mendapatkan bajet tambahan sebelum ini bukanlah sesuatu yang tidak boleh diterima akal dan ia adalah wajar bagi pasukan profesional negara itu melakukan persiapan ke temasya dwitahunan itu.

“Sebagai persatuan, kita sentiasa terbuka untuk membantu. Kita mahu menjadi jambatan yang merapatkan jurang antara apa yang diminta oleh pasukan dan kemampuan MSN untuk menyokong.

“MSN sendiri pun sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka, jadi ruang perbincangan sentiasa ada,” katanya.

Setakat ini, seramai sembilan pelumba disenaraikan bagi mewakili negara dalam acara lebuh raya, membabitkan empat pelumba dari TSG, empat daripada MPC dan seorang pelumba kebangsaan.

Secara keseluruhan, kontinjen berbasikal negara ke Sukan SEA Thailand bakal membabitkan 33 atlet meliputi empat disiplin iaitu lebuh raya (14 pelumba – sembilan lelaki dan lima wanita), basikal bukit MTB (lima pelumba – tiga lelaki dan dua wanita), BMX (empat pelumba – dua lelaki dan dua wanita) serta trek (11 pelumba (sembilan lelaki dan dua wanita).

Terdahulu TSG dan MPC menegaskan bahawa sekiranya bajet tambahan yang diminta iaitu sebanyak RM250,000 tidak dapat dipenuhi maka mereka tidak akan melepaskan pelumba untuk mewakili negara ke temasya Sukan SEA.

Namun MSN sebelum ini menegaskan bahawa tiada bajet tambahan akan diberikan kepada PKBM dan MSN didakwa hanya membenarkan penggunaan baki peruntukan RM196,000 sekali gus jumlah yang dianggap tidak relevan mengikut kos semasa.

Kuartet renang lebur rekod kebangsaan di WUG 2025

Essen, Jerman: Kuartet renang lelaki negara menampilkan aksi terbaik untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam final 4×200 meter (m) gaya bebas Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Schwimm- und Sprunghalle im Europasportpark, Berlin, awal pagi tadi.

Kuartet yang dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin mencipta masa 7 minit 19.66 saat (s) ketika menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Catatan dilakukan mereka memadam rekod lama 7:19.75s yang dilakukan Welson Sim, Yin Chuen, Arvin dan Hoe Yean pada Sukan SEA Hanoi 2022.

Amerika Syarikat merangkul emas selepas memecahkan rekod temasya dengan catatan 7:04.51s, perak menjadi milik Atlet Neutral Individu (7:08.33s) dan Jepun membawa pulang gangsa (7:09.47s).

Kem renang menjadi sukan yang menyumbang pingat tunggal kontinjen negara setakat ini menerusi Hoe Yean dalam acara 400m gaya bebas.

Azeem gagal naik podium, hanya mampu catat 10.35s

Bochum, Jerman: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi terlepas podium apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat acara final 100 meter (m) lelaki Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion, di sini.

Muhammad Azeem menamatkan acara reben biru itu dengan catatan masa 10.35 saat (s) iaitu rekod terbaik dicatat beliau dalam keseluruhan tiga perlumbaan termasuk aksi separuh akhir dan pusingan pertama di sini, namun jauh dari masa terbaiknya musim ini 10.20s.

Pingat emas menjadi milik Bayanda Walaza dari Afrika Selatan dengan masa 10.16s, manakala perak diraih jaguh Thailand Puripol Boonson (10.22s) dan atlet Jepun Hiroki Yanagita gangsa dengan 10.23s.

Terdahulu, penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat berusia 22 tahun itu layak ke final selepas menamatkan saringan tiga pusingan separuh akhir di tempat ketiga dengan catatan 10.43s di belakang Walaza (10.31s) dan Dominik Mark Illovszky dari Hungary (10.32s).

“Mungkin itu sudah tertulis, saya pun dah cuba beri yang terbaik tapi Allah lebih tahu, tapi Allah lebih mengetahui. Saya bersyukur untuk habiskan larian, paling penting saya beri yang terbaik, apa saya mampu dalam keadaan cuaca macam ini. Secara jujur saya tak biasa dengan keadaan di Eropah tapi itu bukan alasan.

“Tipulah tak kecewa, sasaran saya datang sini bukan saja untuk layak ke final tapi untuk letakkan diri di podium, hanya selangkah lagi ke podium lebih sakit sebenarnya. Tapi inilah kenyataan perlu dihadapi untuk menjadikan saya lebih baik masa akan datang,” kata Muhammad Azeem ketika ditemui selepas perlumbaan.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu yang juga pemegang rekod kebangsaan 10.09s, akan meneruskan cabaran dalam acara 200m malam ini (waktu Malaysia) sebelum membantu kuartet 4x100m pada Sabtu.

Sementara itu, impian jaguh pecut 400m negara Umar Osman untuk melangkah ke final tidak kesampaian selepas menamatkan saringan dua separuh akhir 400m lelaki di tempat keenam dengan catatan terburuk musim ini 47.10s.

“Dari segi catatan masa, ini persembahan terburuk saya tahun ini, jadi banyak lagi saya perlu perbaiki untuk kejohanan akan datang dan Sukan SEA 2025,” kata pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 itu yang dijadual turun beraksi dalam acara 4x400m lelaki dan campuran selepas ini.

Dalam pada itu, biarpun menduduki tempat terakhir, Hizillawanty Jamain melakukan catatan terbaiknya musim ini apabila merekodkan 2:18.45s dalam saringan dua pusingan pertama 800m wanita.

Dalam acara 400m lari berpagar wanita pula, Mandy Goh Li menduduki tempat kelima dalam saringan empat pusingan pertama dengan masa 1:03.12s sementara Farrell Glenn Felix Jurus terkandas di pusingan kelayakan lompat tinggi lelaki.

Saingan olahraga yang bermula Isnin lepas dijadual berlangsung hingga Ahad.

Raih pingat emas bukan mudah, perlu pelaburan dan perancangan – Harrif

Kuala Lumpur: Pelumba berpengalaman negara, Harrif Saleh menegaskan kejayaan meraih pingat emas di temasya Sukan Sea sebelum ini bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan pelaburan serta perancangan rapi daripada semua pihak.

Jelas Harrif, kejayaan itu tidak hadir dengan mudah, tetapi ia memerlukan banyak pengorbanan serta kerja keras daripada semua pihak.

Katanya, pelaburan mencukupi adalah faktor utama bagi memastikan sesuatu sukan mampu mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Tujuh kali saya menyertai Sukan Sea, enam pingat emas saya menang dalam acara jalan raya dan trek.

“Saya sekadar ingin berkongsi pengalaman bahawa untuk mendapatkan pingat emas bukan perkara mudah kerana semua negara akan mempertaruhkan pelumba terbaik mereka.

“Pelaburan amat penting untuk sesuatu sukan itu berjaya. Saya berharap semua pihak harus berlaku adil dan jangan ada mana-mana sukan yang dianaktirikan,” katanya.

Pelumba kelahiran Terengganu itu turut menegaskan kejayaan Malaysia dalam sukan berbasikal khususnya di pentas Sukan Sea tidak boleh diambil mudah memandangkan negara lain semakin agresif memperkukuhkan pasukan masing-masing.

Menurutnya, kita perlu terus berusaha dan jangan leka dengan kejayaan yang sudah dicapai memandangkan negara lain semakin bersaing dengan serius.

Ia susulan ketika ketika ini belum ada kata sepakat antara pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai peruntukan diperlukan untuk persiapan ke temasya Sukan Sea Thailand, Disember nanti.

WUG 2025: Cuaca sejuk, angin kuat uji skuad memanah negara

Essen: Cabaran skuad memanah negara di temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 bermula dalam keadaan mencabar apabila barisan atlet berdepan cuaca sejuk dan tiupan angin kencang pada hari pertama acara yang berlangsung di Sportpark Am Hallo di sini, hari ini.

Suhu mencecah 17 darjah Celsius disertai tiupan angin kuat nyata menguji ketahanan mental serta teknik barisan pemanah terbaik universiti dunia yang beraksi dalam pusingan penentuan ranking individu.

Dalam acara compound wanita, Natasha Mohd Shahruddin muncul pemanah terbaik negara apabila menamatkan saingan di tempat ke-28 daripada 51 peserta dengan kutipan 668 mata, dikuti Nurul Syaza Husna Mahari dan Nur Nisa Aliya Muhamad Radzif masing-masing menduduki tempat ke-34 (653 mata) dan ke-41 (644 mata).

Sementara itu, pasukan compound wanita negara yang dibarisi ketiga-tiga atlet itu mengumpul 1,965 mata, sekali gus meletakkan mereka di tangga kesembilan daripada 12 pasukan yang bertanding.

“Saya berasa lega kerana sudah melepasi pusingan kelayakan meskipun berdepan cabaran cuaca yang amat sejuk dan berangin tapi dapat kawal untuk membidik dengan lebih baik. . Saya yakin saya dan rakan sepasukan mampu menunjukkan aksi lebih baik selepas ini,” kata Natasha ketika ditemui di sini.

Bagi acara recurve lelaki, Muhammad Akid Bazli Ezaidin menamatkan pusingan ranking individu di kedudukan ke-38 daripada 86 peserta selepas mencatatkan 631 mata.

Rakan sepasukan, Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi dan Muhammad Haziq Khalil pula masing-masing mengumpul 621 mata dan 614 mata untuk menduduki tempat ke-49 dan ke-56.

Jumlah kutipan mata itu menyaksikan pasukan recurve lelaki negara menduduki tempat ke-15 daripada 17 negara bertanding.

SUKMA Selangor berlangsung 15 hingga 24 Ogos 2026

Shah Alam: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor tahun depan bakal berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala Para SUKMA dijadualkan dari 5 hingga 14 September tahun sama.

Tarikh rasmi itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis pelancaran logo, maskot dan tema rasmi SUKMA 2026 serta Para SUKMA akan diadakan pada 15 Ogos ini, bersempena detik setahun menjelang penganjuran.

“Upacara pembukaan SUKMA Selangor akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala majlis penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Bagi Para SUKMA 2026, tarikh dan venue pembukaan serta penutup akan diumumkan pada September ini,” katanya.

Sebanyak 28 sukan teras dan lima sukan pilihan akan dipertandingkan pada temasya berkenaan membabitkan sembilan daerah serta 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor, manakala acara berbasikal trek dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Temasya kali ini dijangka menghimpunkan kira-kira 10,000 atlet dan pegawai sukan dari 15 kontinjen negeri termasuk Brunei Darussalam.

Amirudin turut memberi jaminan masalah kesesakan boleh diatasi ketika penganjuran selepas gelanggang dipecahkan kepada beberapa daerah dalam Selangor.

“Sebab itu kita pecahkan dan asingkan (gelanggang sukan) di daerah-daerah supaya mereka tidak perlu meredah daerah lain. Tumpuan utama masih lagi membabitkan di Klang dan juga di Petaling, dua daerah ni paling besar.

Pentingnya, daerah-daerah lain itu (menjadi penganjur) agar tidak mengganggu keseluruhan trafik,” katanya.

Stadium MBPJ pentas final bola sepak lelaki, penutup temasya Sukma 2026

Shah Alam: Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menjadi gelanggang final bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 berikutan Stadium Shah Alam masih dalam pembinaan semula dan hanya siap pada 2030.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, stadium berkenaan turut dipilih sebagai lokasi majlis penutup temasya berkenaan yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan, manakala majlis pembukaan buat julung kali akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Stadium ini adalah gelanggang rasmi skuad bola sepak Selangor Red Giants.

“Kita akan berbincang dengan pengurusan kelab, tetapi saya tidak nampak ia menjadi masalah.

“Acara olahraga dipindahkan ke Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang bagi memastikan padang Stadium MBPJ kekal dalam keadaan terbaik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola (induk) penganjur, hari ini.

Amirudin berkata, final bola sepak wanita pula akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Selain itu, beberapa venue lain seperti Stadium Salak Tinggi dan kemudahan universiti tempatan akan digunakan untuk saingan peringkat kumpulan.

Beliau turut mengesahkan 28 sukan teras dan lima sukan pilihan bakal dipertandingkan dengan semua sembilan daerah di Selangor menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun, acara berbasikal trek menjadi satu-satunya sukan dianjurkan di luar negeri Selangor iaitu di Velodrom Nasional, Nilai.

ISTAF bakal mansuh peraturan servis tekong kaki tak jejak lantai

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) membuat pusingan U apabila bakal memansuhkan peraturan ‘servis terbang’ dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco), Sabtu ini.

Mesyuarat itu diadakan sempena Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai Ke-38 yang sedang berlangsung dari 22 hingga 27 Julai 2025.

Setiausaha Agung ISTAF merangkap Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, perbincangan itu berasaskan prinsip keterbukaan, keadilan dan ketelusan ekoran pelbagai maklum balas negara ahli gabungan yang mendesak agar isu pembatalan servis akibat ‘melompat’ dikaji semula.

“Cadangan ini bertujuan menamatkan kekeliruan dan ketegangan yang kerap timbul dalam perlawanan apabila servis tekong sering dibatalkan hanya kerana kakinya yang tidak menyepak itu terangkat atau tergelincir dari bulatan.

“Sedangkan kesalahan itu kadang kala berpunca daripada lontaran yang tidak tepat oleh apit kanan atau apit kiri,” katanya.

Untuk rekod, ISTAF mengemukakan cadangan baharu mengenai peraturan bulatan servis untuk membenarkan tekong ‘mengangkat kaki tidak menyepak’ bagi meningkatkan kuasa dan pelaksanaan servis pada September tahun lalu.

Selain itu, beliau melihat pemansuhan itu mampu memberi keadilan kepada pemain dan mengangkat kembali martabat pengadil yang sering menjadi sasaran kecaman walaupun keputusan sentiasa dibuat berdasarkan undang-undang sedia ada.

Penekanan utama diberikan kepada Fasal 11.1.4 Undang-undang Permainan Sepaktakraw ISTAF yang selama ini membatalkan servis tekong bagi acara regu jika kaki yang tidak menyepak tidak kekal dalam bulatan.

Manakala cadangan baharu akan menjadikan bulatan hanya sebagai zon rujukan untuk permulaan servis, bukan lagi sebagai kawasan ‘penjara’ pergerakan kaki.

Sistem Semakan Video yang dibentangkan dalam Bengkel Pengadil di Hatyai pada 21 Julai 2025 oleh Pemangku Presiden ISTAF, Boonchai Lorphiphat turut menekankan keperluan semakan semula terhadap situasi servis, jaring dan bola keluar garisan agar keputusan pengadil disokong bukti visual dan bukan sekadar persepsi.

“Sudah lebih 60 tahun sepak takraw berdepan dilema ini. Sampai bila kita harus membiarkannya tanpa penyelesaian yang tuntas?

“Pengadil dipersalahkan, pemain tertekan, pasukan hilang keyakinan. Inilah masanya untuk perubahan berani dilakukan demi masa depan sukan ini,” katanya.

Jika dipersetujui secara sebulat suara, keputusan itu akan menjadi satu anjakan paradigma dalam evolusi sepak takraw moden sambil meletakkan pemain, pengadil dan penonton pada landasan lebih adil, profesional dan sejagat.

Pelumba basikal trek kena tunggu sehingga 1 September

Kuala Lumpur: Pelumba basikal trek negara perlu menunggu hingga 1 September untuk mengetahui sama ada tiga acara kegemaran iaitu keirin lelaki, pecut berpasukan dan kejar mengejar berpasukan dipertandingkan di Sukan SEA Thailand, 9-20 Disember ini.

Setiausaha Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Arif Astaman mengakui debaran semakin terasa kerana sesuatu acara hanya akan dipertandingkan jika disertai sekurang-kurangnya empat negara.

“Buat masa ini, nasib acara ini masih belum pasti. Walaupun ia dimasukkan dalam buku panduan teknikal, sama ada dipertandingkan atau tidak bergantung pada jumlah pendaftaran,” kata Arif.

Ujarnya, PKBM sudah menghubungi beberapa rakan serantau untuk menggalakkan penyertaan.

“Maklum balas mereka positif (secara lisan) tetapi tiada jaminan mereka akan benar-benar mendaftar pelumba.

“Kami yakin peluang memenangi emas sangat cerah jika acara ini berlangsung, jadi 1 September adalah tarikh yang mendebarkan buat kami,” ujarnya.

Sebelum ini, Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill turut mendedahkan tiga acara itu berisiko digugurkan kerana kurang minat dari negara lain.

Walaupun acara lebuh raya menjadi ‘wajib ada’ di Sukan SEA, disiplin trek sering menjadi mangsa kerana kebanyakan negara Asia Tenggara tidak memiliki velodrom bertaraf antarabangsa.

Malaysia mempunyai pelumba pecut bertaraf dunia sama ada lelaki mahupun wanita, dengan acara seperti keirin, pecut individu dan pecut berpasukan dianggap ‘lubuk emas’ apabila dipertandingkan.

Majlis Sukan Negara Malaysia