Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT PENYELARASAN BERSAMA MAJLIS SUKAN NEGERI BIL.02/2026

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara YBrs. Encik Jefri Ngadirin telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Majlis Sukan Negeri Bilangan 02/2026 di Shah Alam, Selangor.

Mesyuarat ini diadakan sebagai platform menyelaras pelaksanaan program-program dari Sektor Pembangunan Sukan MSN yang terdiri daripada Bahagian Atlet, Para, Pengurusan Acara dan Sukan, Pembangunan Bakat, Sekretariat Wanita Dalam Sukan serta Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet.

Mesyuarat yang dihadiri pengarah-pengarah dan wakil-wakil Majlis Sukan Negeri ini turut membincangkan isu-isu semasa serta langkah penambahbaikan bagi memperkukuh kerjasama strategik antara MSN dan Majlis Sukan Negeri demi memperkasakan pembangunan sukan negara secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS TEKNIKAL SUKAN PARA SUKMA XXII 3/2026

Majlis Sukan Negara mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Para SUKMA XXII Selangor 2026 Bilangan 3/2026 sebagai persediaan menghadapi temasya Para SUKMA ke-22 Selangor 2026 yang bakal berlangsung pada 5 hingga 10 September ini.

Mesyuarat yang diadakan di Pusat Konvensyen MBSA Shah Alam telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara YBrs. Encik Jefri Ngadirin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal Para SUKMA XXII turut dihadiri Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, YH Dato’ Seri Megat D. Shahriman Dato’ Zaharudin, Pengarah-Pengarah Majlis Sukan Negeri serta Ketua Delegat Teknikal dari 10 sukan yang dipertandingkan.

Antara perkara yang diberi tumpuan adalah penyelarasan aspek teknikal termasuk pengesahan acara, klasifikasi atlet, penyertaan kontinjen serta kesiapsiagaan penganjuran.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SAMBUTAN KETIBAAN KONTINJEN MALAYSIA DARI TEMASYA SUKAN KOMANWEL GLASGOW 2026

Kumpulan terakhir atlet dan pegawai Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 selamat tiba di tanah air lewat petang 4 Ogos 2026 di KLIA 1.

Kontinjen yang ketuai Chef de Mission YBhg. Datuk Awalan Abdul Aziz bersama-sama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Encik Jefri Ngadirin serta atlet/jurulatih yang terdiri daripada sukan berbasikal trek, para berbasikal, judo, lawn bowls, para lawn bowls, para olahraga dan pegawai-pegawai sekretariat tiba pada jam 6.40 petang tadi dan disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, YB. Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Puan Chan Hong Jin, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, YBhg. Datuk Mohd Nasir Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dr P. Vellapandian serta barisan Pengurusan Tertinggi Majlis Sukan Negara.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT JAWATANKUASA TERTINGGI SUKAN MALAYSIA SELANGOR XXII 2026 BIL. 15

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq Johari, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Bilangan 15 di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya bagi meneliti perkembangan terkini persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan PARA SUKMA Selangor 2026.

Mesyuarat yang dihadiri Yang Berhormat Exco-Exco serta perwakilan negeri-negeri telah membentangkan laporan Jawatankuasa Khas Teknikal serta status persiapan tuan rumah Selangor menjelang penganjuran temasya yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026. Turut dibentangkan ialah laporan persediaan awal penganjuran SUKMA XXIII Kelantan 2028.

Mesyuarat juga meluluskan beberapa ketetapan teknikal, termasuk pengguguran acara 25 Meter Rapid Fire Pistol Berpasukan Lelaki berikutan penyertaan yang tidak memenuhi syarat minimum, sekali gus menjadikan 468 acara dipertandingkan pada SUKMA XXII Selangor 2026.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SESI TOWN HALL JURULATIH KEBANGSAAN BERSAMA KETUA PENGARAH MAJLIS SUKAN NEGARA

Sesi Town Hall Jurulatih Kebangsaan bersama YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN, telah berlangsung pada 13 Julai 2026 di MSN, Bukit Jalil.

Sesi ini menjadi platform kepada jurulatih kebangsaan untuk bertukar pandangan, membincangkan isu-isu semasa serta memperkukuh hala tuju pembangunan kejurulatihan bersama Ketua Pengarah MSN dan barisan kepimpinan tertinggi.

Program ini mencerminkan komitmen MSN dalam memperkukuh kerjasama antara pihak pengurusan dan jurulatih ke arah memperkasakan ekosistem sukan berprestasi tinggi negara.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
LAWATAN DELEGASI BELIA KOREA SELATAN KE MAJLIS SUKAN NEGARA

Majlis Sukan Negara petang tadi telah menerima kunjungan delegasi belia dari Korea Selatan menerusi Program Pertukaran Belia Antarabangsa yang melibatkan empat pegawai dan 13 pelajar universiti daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.

Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan mengenai pengurusan fasiliti sukan berprestasi tinggi negara serta ekosistem pembangunan atlet Malaysia.

Delegasi turut mengikuti sesi taklimat bersama Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) di Athlete Centre serta mengadakan lawatan ke venue latihan atlet negara.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan, YBrs. Puan Puah Pei Ling menyerahkan cenderamata kenangan kepada wakil delegasi.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SESI JALINAN PENAJAAN SUKAN BERSAMA PERSATUAN SUKAN KEBANGSAAN 2026

Majlis Sukan Negara hari ini menganjurkan Sesi Jalinan Penajaan Sukan Bersama Persatuan Sukan Kebangsaan 2026 sebagai platform memperkukuh kerjasama strategik antara persatuan sukan kebangsaan, sektor korporat dan agensi berkaitan dalam memperkasakan pembangunan sukan negara.

Program yang menghimpunkan lebih 45 wakil persatuan sukan kebangsaan serta rakan industri itu turut menampilkan perkongsian strategi penajaan, taklimat inisiatif penajaan MSN dan sesi dialog bersama wakil korporat bagi memperluas peluang kerjasama serta memperkukuh ekosistem penajaan sukan negara.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PROGRAM KEPIMPINAN WANITA DALAM SUKAN 2026

Program Kepimpinan Wanita Dalam Sukan 2026 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Bimol di UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan.

Berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Julai 2026, program ini menghimpunkan lebih 150 peserta yang terdiri daripada pegawai Majlis Sukan Negeri, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Negeri, jurulatih, atlet negeri, pensyarah, pelajar IPT, NGO berkaitan wanita dan sukan serta wakil agensi kerajaan dan swasta.

Program ini menjadi platform penting dalam memperkasa kepimpinan wanita dalam bidang sukan, di samping mengukuhkan jaringan kerjasama serta perkongsian ilmu antara pelbagai pihak demi pembangunan sukan yang lebih inklusif.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. Encik Jefri Ngadirin; Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), YBrs. En. Khairul Nizam Morshidi; serta Ketua Pusat Pengajian Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Sarawak, Puan Asmalini Che Abu Shafie.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT PROGRAM PENYEDIAAN ATLET KE ARAH TEMASYA SUKAN PARA ASEAN 2027

Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini menghimpunkan wakil-wakil persatuan sukan para kebangsaan, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Institut Sukan Negara (ISN) serta agensi berkaitan bagi menyelaras strategi dan memperkukuh persiapan atlet negara menjelang Temasya Sukan Para ASEAN 2027.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada analisa prestasi semasa atlet, penetapan sukan dan acara yang akan dipertandingkan serta perancangan pembangunan atlet bagi memastikan kontinjen negara berada pada tahap terbaik.

Ketua Pengarah MSN Encik Jefri Ngadirin berkata, pemantauan prestasi secara berterusan termasuk pencapaian di peringkat dunia, Asia dan Asia Tenggara akan menjadi penanda aras penting dalam usaha memperkukuh persiapan kontinjen negara menjelang temasya berkenaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PELANCARAN DAN PENGUMUMAN LALUAN LE TOUR DE LANGKAWI 2026

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq Johari hari ini telah merasmikan Majlis Pelancaran dan Pengumuman Laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail; YBhg. Dato’ Amarjit Singh Gill, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia; YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dan YBrs. En Wizani Rosnin, Timbalan Ketua Pengarah, Tourism Malaysia.

LTdL 2026 yang memasuki edisi ke-30 penganjurannya akan berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober 2026, merentasi lapan negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer.

Edisi istimewa ini dijangka menjadi antara yang paling mencabar dalam sejarah LTdL dengan menampilkan tiga penamat puncak bukit iaitu Gunung Jerai (Kedah), Cameron Highlands dan Genting Highlands (Pahang), sekali gus menjanjikan saingan yang lebih kompetitif dalam kalangan pelumba bertaraf dunia.