Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PROGRAM KEPIMPINAN WANITA DALAM SUKAN 2026

Program Kepimpinan Wanita Dalam Sukan 2026 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Bimol di UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan.

Berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Julai 2026, program ini menghimpunkan lebih 150 peserta yang terdiri daripada pegawai Majlis Sukan Negeri, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Negeri, jurulatih, atlet negeri, pensyarah, pelajar IPT, NGO berkaitan wanita dan sukan serta wakil agensi kerajaan dan swasta.

Program ini menjadi platform penting dalam memperkasa kepimpinan wanita dalam bidang sukan, di samping mengukuhkan jaringan kerjasama serta perkongsian ilmu antara pelbagai pihak demi pembangunan sukan yang lebih inklusif.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. Encik Jefri Ngadirin; Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), YBrs. En. Khairul Nizam Morshidi; serta Ketua Pusat Pengajian Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Sarawak, Puan Asmalini Che Abu Shafie.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT PROGRAM PENYEDIAAN ATLET KE ARAH TEMASYA SUKAN PARA ASEAN 2027

Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini menghimpunkan wakil-wakil persatuan sukan para kebangsaan, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Institut Sukan Negara (ISN) serta agensi berkaitan bagi menyelaras strategi dan memperkukuh persiapan atlet negara menjelang Temasya Sukan Para ASEAN 2027.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada analisa prestasi semasa atlet, penetapan sukan dan acara yang akan dipertandingkan serta perancangan pembangunan atlet bagi memastikan kontinjen negara berada pada tahap terbaik.

Ketua Pengarah MSN Encik Jefri Ngadirin berkata, pemantauan prestasi secara berterusan termasuk pencapaian di peringkat dunia, Asia dan Asia Tenggara akan menjadi penanda aras penting dalam usaha memperkukuh persiapan kontinjen negara menjelang temasya berkenaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PELANCARAN DAN PENGUMUMAN LALUAN LE TOUR DE LANGKAWI 2026

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq Johari hari ini telah merasmikan Majlis Pelancaran dan Pengumuman Laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail; YBhg. Dato’ Amarjit Singh Gill, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia; YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dan YBrs. En Wizani Rosnin, Timbalan Ketua Pengarah, Tourism Malaysia.

LTdL 2026 yang memasuki edisi ke-30 penganjurannya akan berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober 2026, merentasi lapan negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer.

Edisi istimewa ini dijangka menjadi antara yang paling mencabar dalam sejarah LTdL dengan menampilkan tiga penamat puncak bukit iaitu Gunung Jerai (Kedah), Cameron Highlands dan Genting Highlands (Pahang), sekali gus menjanjikan saingan yang lebih kompetitif dalam kalangan pelumba bertaraf dunia.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT JAWANTANKUASA INDUK LE TOUR DE LANGKAWI 2026

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Aras 4, Kementerian Belia dan Sukan.

Mesyuarat pertama ini memberi tumpuan kepada penyelarasan persiapan penganjuran LTdL 2026, termasuk kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, agensi serta jabatan kerajaan dalam menjayakan edisi ke-30 perlumbaan berprestij tersebut.

Kerjasama yang terjalin merangkumi aspek logistik, keselamatan, pengurusan laluan dan pelbagai perkhidmatan sokongan bagi memastikan kelancaran penganjuran LTdL 2026.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KBS, YBrs. Tuan Haji Abdullah Hasan; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. Encik Jefri Ngadirin; wakil-wakil kerajaan negeri, agensi dan jabatan kerajaan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI MAJLIS SUKAN PAHANG KE MAJLIS SUKAN NEGARA

Kunjungan hormat Delegasi Majlis Sukan Pahang (MSP) ke Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini menjadi medium dalam memperkukuh kerjasama strategik ke arah memperkasa pembangunan sukan negara.

Delegasi yang diketuai oleh YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi MSP, telah disambut oleh Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadirin.

Sesi perbincangan memfokuskan kepada usaha memperkasa pembangunan atlet, memperkukuh ekosistem sukan di negeri Pahang serta memperluas kerjasama dalam penganjuran program dan kejohanan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Delegasi turut dibawa melawat MY Athlete Centre bagi meninjau kemudahan yang menyokong pembangunan dan kesejahteraan atlet negara.

Turut hadir mewakili MSN ialah Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Sukan, YBrs. Encik Mohd Sofian Hamzah; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan, YBrs. Puan Puah Pei Ling serta barisan pengurusan tertinggi MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SESI TOWNHALL KETUA PENGARAH MSN BERSAMA ATLET PROGRAM MSN 2026

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), YBrs. Encik Jefri Ngadirin hari ini telah mengadakan sesi townhall bersama atlet di bawah Program MSN 2026 yang melibatkan atlet Program Podium, Pelapis Kebangsaan, Para Podium dan Para Pelapis Kebangsaan.

Sesi yang berlangsung selama dua jam di Dewan Banquet Casa 4 ini bertujuan membuka ruang komunikasi dan dialog dua hala antara pihak pengurusan tertinggi MSN dengan barisan atlet negara. 

Platform ini memberi peluang kepada atlet untuk berkongsi pandangan, mengemukakan cadangan serta menyuarakan isu dan cabaran yang dihadapi dalam usaha meningkatkan prestasi sukan negara.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Sukan, Encik Mohd Sofian Hamzah; Pengarah Bahagian Atlet, Encik Mohd Zaim Yusof; serta Pengarah Bahagian Para, Encik Shukri Harun.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
TIRAI SEMINAR WANITA DALAM SUKAN KEBANGSAAN 2026 RASMI DILABUHKAN

Seminar Wanita Dalam Sukan Kebangsaan 2026 melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama dua hari dengan menghimpunkan pemimpin sukan, atlet, ahli akademik dan penggerak industri dalam usaha memperkukuh agenda pemerkasaan wanita dalam sukan negara.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Encik Jefri Ngadirin yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua peserta, panel dan penceramah yang telah menjayakan seminar ini.

Semoga segala idea, pandangan dan jaringan yang terhasil sepanjang seminar ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 2026-2030 serta memperkukuhkan peranan wanita dalam landskap sukan negara.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KEJOHANAN TREK BERBASIKAL KEBANGSAAN DAN KEJOHANAN TREK BERBASIKAL REMAJA KEBANGSAAN 2026

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menyaksikan perlumbaan akhir acara keirin elit dan acara perlumbaan elimination lelaki Kejohanan Trek Berbasikal Kebangsaan dan Kejohanan Trek Berbasikal Remaja Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional Nilai.

Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Hadir sama, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan YB. Dr. Mohammed Taufiq Johari; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. Encik Jefri Ngadirin.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PERASMIAN SEMINAR WANITA DALAM SUKAN 2026 DAN PELUNCURAN PELAN TINDAKAN WANITA DALAM SUKAN 2026-2030

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq Johari merasmikan Seminar Wanita Dalam Sukan 2026 dan Peluncuran Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 2026-2030 yang diadakan di Dewan Banquet, Casa 4 Majlis Sukan Negara.

Seminar dua hari ini melibatkan penyertaan hampir 200 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk atlet, jurulatih, pentadbir persatuan sukan, ahli akademik, wakil badan bukan kerajaan, sektor korporat dan penggiat industri.

Bersempena dengan seminar ini juga, turut berlangsung Peluncuran Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan (PTWDS) 2026-2030 yang menggariskan lima teras strategik utama yang merangkumi keseluruhan 30 program pelaksanaan eksekutif, iaitu pengukuhan polisi dan tadbir urus, peningkatan profesionalisme, pemerkasaan penyertaan dan penglibatan, pemantapan penyelidikan dan pembangunan berasaskan data serta peluasan promosi dan advokasi rentas sektor.

Majlis perasmian turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Megat D. Shahriman Dato’ Zaharudin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, YBrs. Encik Jefri Ngadirin.

MESYUARAT PROGRAM PENYEDIAAN ATLET TEMASYA SUKAN SEA 2027 BERSAMA PERSATUAN SUKAN KEBANGSAAN

Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini mengadakan pertemuan bersama 38 Persatuan Sukan Kebangsaan yang tersenarai dalam Temasya Sukan SEA 2027 sebagai langkah proaktif mempersiapkan kontinjen ke arah temasya dwitahunan itu.

Pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadiri itu, antara fokus utama yang diberi penekanan adalah mengenal pasti senarai awal atlet serta memperincikan sokongan teknikal bagi memastikan sasaran emas negara berada di landasan tepat.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, YBhg. Datuk Wira Nur Azmi Ahmad dan Chef de Mission Sukan SEA 2027, YBhg. Datuk Mohammad Iruan Zulkefli.