Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives Februari 13, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tumpaskan Kazakhstan 5-0 juga – Rexy

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara diingatkan supaya kekal fokus menjelang aksi kedua Kumpulan B menentang Kazakhstan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, esok.

-ADVERTISEMENT-

Ads by

Terdahulu, Malaysia yang tampil sebagai juara bertahan tidak berdepan masalah untuk merakam kemenangan pertama apabila menewaskan Brunei 5-0 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berkata beliau mahu barisan pemain negara turut melakar kemenangan 5-0 ke atas Kazakhstan dalam misi untuk mengesahkan tiket awal ke suku akhir.

“Pemain perseorangan pertama Kazakhstan mempunyai corak permainan yang baik. Jadi, kita tidak boleh pandang rendah.

DISYORKAN UNTUK ANDA

“Saya mahu pemain kekal fokus dan seperti yang saya katakan sebelum ini, kita mesti cuba mencipta kemenangan mutlak 5-0 ke atas Kazakhstan juga untuk memastikan kita di tahap terbaik sebelum aksi penting bertemu Taiwan (aksi terakhir kumpulan pada Khamis),” kata Rexy.

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Brunei, Rexy berkata tidak banyak boleh diperkatakan memandangkan pemain lawan rata-ratanya tidak mempunyai pengalaman beraksi pada perlawanan antarabangsa.

Perseorangan ketiga negara Eogene Ewe membalas pukulan pemain Brunei, Mattew Minggat pada aksi peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam hari ini. – Foto NSTP/Aswadi Alias
Perseorangan ketiga negara Eogene Ewe membalas pukulan pemain Brunei, Mattew Minggat pada aksi peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam hari ini. – Foto NSTP/Aswadi Alias

“Pemain kita juga mungkin tidak berikan 100 peratus, jadi tidak banyak yang saya boleh perkatakan. Apa yang saya boleh cakap, keputusan hari ini sesuatu yang kita sudah jangka,” katanya.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang beraksi dalam perlawanan penuh pertamanya musim ini mengakui perlu berhati-hati memandangkan kecederaan otot belakang yang dialaminya sebelum ini masih belum pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, di sebalik situasi itu, Tze Yong tetap mampu menyumbang mata pertama selepas menewaskan pemain Brunei, Kan Kah Kit 21-7, 21-11.

“Ini adalah perlawanan (penuh) pertama saya untuk 2024, jadi satu keputusan yang bagus kerana dapat catat kemenangan. Mungkin ada rasa tegang sikit di bahagian belakang tetapi saya akan bincang dengan jurulatih nanti.

“Ketika melakukan pukulan smash, sebenarnya saya masih fikir mengenai kecederaan itu. Jadi, saya sedikit berjaga-jaga hari ini kerana itu adalah perkara paling penting,” katanya.

Tze Yong sebelum ini terlepas empat kejohanan apabila mengalami kecederaan otot belakang ketika pusingan pertama Terbuka Malaysia, awal bulan lalu.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia mudah jinakkan Brunei

SHAH ALAM: Seperti diramal, skuad lelaki negara tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan pertama di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) selepas menundukkan Brunei 5-0, sebentar tadi.

Pada aksi di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang kembali ke gelanggang selepas pulih daripada kecederaan otot belakang menyumbang mata pertama menerusi kemenangan ke atas Kan Kah Kit 21-7, 21-11.

Dua lagi perseorangan negara, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe turut tidak berdepan masalah meraih mata apabila berjaya menewaskan lawan masing-masing sekali gus memberi kemenangan awal kepada Malaysia dengan kedudukan 3-0.

Jun Hao yang disenaraikan pada saat akhir bagi menggantikan Justin Hoh yang mengalami kecederaan hanya memerlukan 19 minit bagi menewaskan Marhanif Ali 21-5, 21-6 manakala Eogene menundukkan Mattew Minggat 21-8, 21-4.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazari yang membuat penampilan sulung pada kejohanan kali ini menyumbang mata keempat selepas mengetepikan cabaran Marhanif-Haziq Roze 21-5, 21-12.

Beregu negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazari ketika berdepan Marhanif Ali-Haziq Rose dari Brunei pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam hari ini. – Foto NSTP/Aswadi Alias
Beregu negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazari ketika berdepan Marhanif Ali-Haziq Rose dari Brunei pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam hari ini. – Foto NSTP/Aswadi Alias

Gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melengkapkan kemenangan skuad negara apabila mengatasi Mattew-Mohamad Iqbal Asyraf Mohammad 21-9, 21-7.

Malaysia kini hanya perlu menang ke atas Kazakhstan pada aksi kedua, esok bagi mengesahkan tiket ke suku akhir sebelum membuat perhitungan dengan Taiwan pada aksi terakhir yang dilabel aksi penentuan gelaran juara dan naib juara kumpulan.

Juara dan naib juara kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati.

Pemenang dalam aksi kelompok lapan terbaik akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Chengdu, China pada April depan.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KUNJUNGAN YB MENTERI BELIA DAN SUKAN KE AMD

Kunjungan hormat Yang Berhomat Hannah Yeoh, Menteri Belia & Sukan Malaysia ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang bagi melihat kemudahan yang ada di akademi ini serta bertemu dengan pelatih- pelatih di sini.

Turut hadir bersama, YB Dato Indera Mohd Shahar Bin Abdullah, Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Hamidah Naziadin, Ahli Lembaga Pengurusan, Majlis Sukan Negara (MSN), Encik Abdul Rashid Bin Yaakub, Ketua Pengarah MSN, Encik Mohd Azhari Bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara dan Dato Jamal Nasir, Wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pada majlis yang sama juga, YB Hannah Yeoh turut menyerahkan sumbangan bola sepak kepada pelatih-pelatih Kelab Bola Sepak Komuniti yang berada di sekitar Kuantan, Pahang bersempena Klinik Bola Sepak NFDP yang turut diadakan di AMD pada waktu yang sama.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MSN luluskan ‘blueprint’ MAS bulan lalu

Kuala Lumpur: Pelan jangka panjang atau Blueprint yang dikemukakan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bagi melonjakkan semula prestasi sukan itu sudah pun diluluskan Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) MSN, Jefri Ngadirin, perkara itu turut merangkumi usaha bagi meningkatkan jurang antara penerjun senior dan pelapis negara.

“Kita memang akui barisan pelapis kita masih agak jauh. Bagaimanapun, kita sudah mengambil langkah proaktif menerusi pelantikan Bryan Nickson Lomas sebagai pengarah teknikal dan Khairul Safwan Mansur selaku pengarah prestasi tinggi,” katanya.

Ujar Jefri, MAS sudah pun merangka pelan jangka panjang atau Blueprint di mana ia diluluskan dalam mesyuarat JKK (Jawatankuasa Kerja antara MSN dan MAS) bulan lalu.

“Ini adalah langkah kita untuk melakukan penambahbaikan. Pada masa sama, kita juga sudah meluluskan kemasukan empat atlet pelapis seperti yang diminta MAS,” katanya.

Beliau mengulas mengenai langkah yang akan diambil MSN susulan kegagalan penerjun negara termasuklah dua atlet di dalam program Road to Gold (RTG), Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.

Kegagalan di Doha menyaksikan pintu tertutup rapat buat Pandelela dan Nur Dhabitah bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ditanya mengenai dakwaan Pandelela yang mendedahkan wujud kemelut dalaman dalam skuad terjun negara yang menjadi punca aksi hambar penerjun negara di Doha, Jefri, berkata pihaknya akan menunggu laporan ‘post portem’ daripada MAS sebelum membuat sebarang kesimpulan.

“Apa yang paling penting adalah kita sudah memberikan semua perkhidmatan sokongan yang dimahukan khususnya membabitkan Pandelela dan Nur Dhabitah yang berada di bawah RTG. Apa yang kita harapkan adalah mereka menampilkan prestasi terbaik di Doha,” katanya.

Sebelum ini MAS melalui Setiausaha Agungnya, Andy Low menjangkakan bakal mengadakan mesyuarat bersama MSN, Institut Sukan Negara (ISN) untuk tempoh lima hingga tujuh hari dari sekarang.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad terkuat lawan UAE

Kuala Lumpur: Barisan pemain bakal diturunkan untuk skuad wanita negara menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) esok masih menjadi tanda tanya termasuk sama ada ingin memecahkan gandingan beregu dalam aksi sulung Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky, berada dalam kumpulan Y bersama UAE dan Thailand, menyaksikan mereka harus membuat percaturan tepat dan tentunya barisan terkuat akan diturunkan bagi meraih mata pertama dengan kemenangan 5-0 esok.

“Menentang UAE, kita nak dapatkan mata dan tentu menurunkan barisan terkuat tetapi saya akan lihat dahulu sama ada Pearly Tan dan M Thinaah memerlukan perlawanan untuk mengadaptasi gelanggang atau tidak,” katanya.

Ujar Rexy, mereka perlu berhati-hati juga menentang UAE kerana negara itu tidak menggunakan pemain tempatan sebaliknya diperkuatkan dengan tonggak naturalisasi dari Indonesia dan India.

“Kemenangan 5-0 ke atas UAE amat penting bagi meningkatkan semangat pemain baik perseorangan mahupun beregu. Ditanya mengenai kekuatan Thailand, beliau mengakui negara berkenaan masih lagi berstatus pasukan pilihan walaupun tanpa tonggak utama.

“Thailand hadir tanpa Ratchanok Intanon dan Pornpawee Chochuwong, yang berada di ranking kelapan dan 16 dunia, namun mereka masih kuat di bahagian perseorangan dengan adanya Supanida Katethong (17) dan Busanan Ongbamrungphan (18).

“Jadi, kita harap Goh Jin Wei dapat mencuri satu mata dari perseorangan, dan cuba meraih dua mata dari beregu,” kata Rexy.

Skuad wanita yang berjaya ke separuh akhir pada edisi 2022, akan membuka saingan kumpulan Y menentang UAE pagi esok dan berdepan Thailand pada Khamis.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Saya akan berjumpa dengan pasukan penerjun’ – Hannah

MENTERI Belia dan Sukan bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan pasukan penerjun negara.

Hannah Yeoh berkata, persetujuan untuk bertemu dengan pasukan itu termasuk ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong susulan kegagalan mereka memperoleh keputusan cemerlang pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.

“Saya akan jumpa perenang dan mendengar (luahan) daripada mereka, tapi seperti yang saya beritahu sebelum ini kita sekarang dalam proses untuk melakukan pembaharuan untuk ekosistem sukan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas Majlis penyerahan siap kerja trek sintetik Stadium Darul Makmur, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Pandelela, 30, mengakui terdapat ‘entiti’ mengganggu skuad terjun negara dan kesannya terjadi apabila gagal merekodkan keputusan cemerlang pada kejohanan itu.

Pada Isnin, atlet dalam program Road To Gold (RTG) itu, memohon maaf di atas kegagalannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terkandas di pusingan kelayakan di Doha dalam acara 10 meter (m) platform individu.

Pandelela gagal melayakkan diri dalam acara 10 m platform seirama bersama gandingannya, Nur Dhabitah Sabri apabila mengakhiri acara final di kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan

Hannah memberitahu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah melakukan pelbagai pembaharuan termasuk memberikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua atlet selain jurulatih turut diberikan kenaikan gaji.

“(Masih) ada lagi ruang penambahbaikan dan kita akan jalankan lagi program ini sepanjang tahun untuk mendengar (keluh kesah) dari kumpulan sasar iaitu atlet, jurulatih, Majlis Sukan Negara kerana masing-masing ada justifikasi mereka kenapa benda ini dibuat sebegini tetapi kita akan dengarlah,” katanya.

Beliau berkata, bagi atlet RTG, semua persiapan yang diperlukan sudah dipenuhi oleh pihak kerajaan termasuk sumber kewangan.

“Saya tidak akan katakan bahawa segala beban untuk mengejar emas hanya terletak kepada satu atau dua atlet. RTG telah ditetapkan kriteria pemegang pingat pada Olimpik pusingan lalu dan juga 10 teratas.

“Tapi ada juga mereka yang bukan top 10, saya tidak katakan yang bukan top 10 tidak boleh menang. Tidak, (tapi) dalam sukan, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Sesiapa yang bertanding ada kemungkinan boleh kalah dan menang,” katanya.-Sinar Harian

×

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad wanita mahu juara kumpulan Y

Kuala Lumpur: Skuad badminton wanita negara melaungkan keyakinan mampu menjuarai kumpulan Y sekali gus mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam yang membuka tirai hari ini.

Menurut pemain perseorangan, K Letshanaa, diletakkan dalam kumpulan Y bersama Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), tidak bermakna mereka perlu menyerah untuk muncul pasukan kedua terbaik di belakang Thailand.

“Thailand kali ini tidak datang dengan barisan terkuat mereka, namun mereka masih lagi kuat dengan barisan pemain yang ada. Bagaimanapun, kami yakin ada kemampuan untuk menewaskan mereka,” katanya.

Ujarnya, tidak ada apa untuk ditakutkan ketika berdepan Thailand kerana mereka tetap yakin akan ke suku akhir meskipun sebagai naib juara kumpulan.

“Setiap pemain dalam pasukan wanita tidak boleh terlalu memikirkan ranking individu ketika berhadapan lawan, kerana ia boleh melemahkan semangat melawan.

“Jika kita fikirkan kedudukan ranking, saya pasti kami tertekan dan memberi tekanan kepada pasukan, kerana akan berasa tidak cukup bagus untuk bersaing dalam kejohanan ini.

“Setiap pemain mempunyai peluang sama rata sebaik memasuki gelanggang, hanya turun beraksi dengan prestasi terbaik tanpa memikirkan apa keputusan di penghujungnya,” ujar Letshanaa lagi.

Tambahnya, pada perlawanan acara berpasukan sebelum ini, dia sudah melihat banyak keputusan mengejutkan apabila pemain di ranking yang rendah mengejutkan pemain ranking dunia yang lebih tinggi.

“Apabila bermain dalam acara berpasukan, ranking individu sekadar nombor kerana yang penting adalah perseteruan dalam gelanggang, antara dua pemain bukan perlawanan antara ranking.

“Semangat sepasukan berada di tahap yang tinggi, meskipun ada yang merasakan masih baru dalam pasukan ini. Bagi saya, walaupun baru untuk pasukan ini, kebanyakan pemain senior mengenali saya dan kami amat rapat.

“Kami bersama-sama pergi ke banyak kejohanan, di Eropah dan sebagainya,” kata pemain kelahiran Selangor itu yang kini berada di ranking ke-56 dunia.

Skuad wanita negara akan memulakan aksi dengan berdepan UAE esok.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Hanya alasan Pandelela tutup kegagalan’

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong seharusnya tidak memberikan pelbagai alasan susulan kegagalannya layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.

Semalam, Pandelela yang terlepas tiket ke Paris dalam acara 10 meter (m) platform individu dan 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri mendedahkan ada kemelut dalaman yang berlaku dalam kem terjun negara sekali gus menjadi punca terhadap prestasi hambar penerjun negara di Doha.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low menyifatkan ia hanyalah alasan bagi menutup kegagalan di Doha kerana pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum kejohanan berlangsung.

“Sejak kita ambil alih, kami ada bertemu dengan atlet, tiga atau empat kali. Ketika latihan pun kami ada berbincang, kami juga ada beritahu sekiranya ada masalah boleh jumpa kami.

“Bila tanya ada masalah atau tidak, semua kata tiada masalah.

“Bagi saya ini adalah lumrah manusia biasa, bila sudah gagal, cuba bagi alasan… tolak kiri kanan.

“Kami memang tidak tahu apa yang diperkatakan oleh Pandelela itu tetapi selepas ini kami akan siasat. Kami akan panggil dia dan bersemuka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dakwaan ini,” kata Andy kepada BH Sukan.

Sementara itu, ditanya mengenai hasrat Pandelela yang masih belum mahu bersara, beliau berkata persatuan tetap menghormati pendirian bekas pemenang pingat gangsa dan perak Sukan Olimpik itu.

“Tidak ada masalah itu hak rakyat, anda tidak mahu bersara mahu ‘loncat’ sampai 60 tahun pun saya terima tetapi bila ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan MAS anda tidak boleh capai, anda tahu pintu itu di mana.

“Tak perlu kita halau, kita halau kata orang tak elok, dia pun sudah banyak naikkan nama Malaysia tetapi bila anda bukan lagi dalam keadaan seperti dulu, harus sedar diri, kalau dia mahu cakap macam itu kita guna KPI, setiap tahun anda mesti capai KPI, kalau tidak boleh capai tidak boleh salahkan kami,” katanya.-Berita harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Misi kejutkan Thailand

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara mengintai peluang untuk muncul juara kumpulan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.

Malaysia akan membuka tirai aksi Kumpulan Y menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di Shah Alam, esok.

Selain UAE, barisan pemain wanita negara turut diundi bersama Thailand yang diletakkan sebagai pilihan bagi menjuarai saingan kumpulan.

ADVERTISING

Bagaimanapun, pemain perseorangan wanita, K Letshanaa, berkata meskipun atas kertas Thailand memiliki kelebihan tetapi itu tidak bermakna mereka perlu menyerah kalah awal dan menjadi pasukan kedua terbaik di belakang lawan berkenaan.

“Thailand kali ini tidak datang dengan barisan terkuat mereka, namun mereka masih lagi kuat dengan barisan pemain yang ada.

“Bagaimanapun, kami yakin ada kemampuan untuk menewaskan mereka.

“Tiada apa untuk ditakutkan ketika berdepan Thailand kerana saya tetap yakin kami akan ke suku akhir meskipun sebagai naib juara kumpulan,” kata Letshanaa.

Juara dan naib juara kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati.

Pemenang dalam aksi kelompok lapan terbaik akan layak secara automatik ke saingan Piala Uber di Chengdu, China pada April depan.

Dalam pada itu, Letshanaa menyuntik semangat rakan sepasukan supaya tidak gentar untuk berdepan lawan yang mempunyai ranking dunia yang lebih tinggi kerana ia boleh melemahkan semangat setiap pemain.

“Jika kita fikirkan kedudukan ranking, saya pasti kami tertekan dan memberi tekanan kepada pasukan, kerana akan berasa tidak cukup bagus untuk bersaing dalam kejohanan ini.

“Setiap pemain mempunyai peluang sama rata sebaik memasuki gelanggang, hanya turun beraksi dengan prestasi terbaik tanpa memikirkan apa keputusan di penghujungnya,” katanya.

Tambah pemain berasal dari Selangor itu, pada perlawanan acara berpasukan sebelum ini, dia sudah melihat banyak keputusan mengejutkan apabila pemain di ranking yang rendah mengejutkan pemain ranking dunia yang lebih tinggi.-Berita harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tender Perkhidmatan Pembersihan, Langskap Di Luar Dan Dalam Bangunan Fasa 1,Bangunan Pentadbiran, Bangunan Asrama, Rumah Kakitangan Dan Dewan Utama Serta Pemotongan Rumput Kawasan Di Akademi BolaSepak Negara Mokhtar Dahari Gambang, Pahang Secara Kontrak Berkala Bagi Tempoh 3 Tahun

Muat Turun : <Maklumat Penyebutharga><Akuan Pembida>

Majlis Sukan Negara Malaysia