MSN luluskan ‘blueprint’ MAS bulan lalu

Kuala Lumpur: Pelan jangka panjang atau Blueprint yang dikemukakan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bagi melonjakkan semula prestasi sukan itu sudah pun diluluskan Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) MSN, Jefri Ngadirin, perkara itu turut merangkumi usaha bagi meningkatkan jurang antara penerjun senior dan pelapis negara.

“Kita memang akui barisan pelapis kita masih agak jauh. Bagaimanapun, kita sudah mengambil langkah proaktif menerusi pelantikan Bryan Nickson Lomas sebagai pengarah teknikal dan Khairul Safwan Mansur selaku pengarah prestasi tinggi,” katanya.

Ujar Jefri, MAS sudah pun merangka pelan jangka panjang atau Blueprint di mana ia diluluskan dalam mesyuarat JKK (Jawatankuasa Kerja antara MSN dan MAS) bulan lalu.

“Ini adalah langkah kita untuk melakukan penambahbaikan. Pada masa sama, kita juga sudah meluluskan kemasukan empat atlet pelapis seperti yang diminta MAS,” katanya.

Beliau mengulas mengenai langkah yang akan diambil MSN susulan kegagalan penerjun negara termasuklah dua atlet di dalam program Road to Gold (RTG), Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.

Kegagalan di Doha menyaksikan pintu tertutup rapat buat Pandelela dan Nur Dhabitah bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ditanya mengenai dakwaan Pandelela yang mendedahkan wujud kemelut dalaman dalam skuad terjun negara yang menjadi punca aksi hambar penerjun negara di Doha, Jefri, berkata pihaknya akan menunggu laporan ‘post portem’ daripada MAS sebelum membuat sebarang kesimpulan.

“Apa yang paling penting adalah kita sudah memberikan semua perkhidmatan sokongan yang dimahukan khususnya membabitkan Pandelela dan Nur Dhabitah yang berada di bawah RTG. Apa yang kita harapkan adalah mereka menampilkan prestasi terbaik di Doha,” katanya.

Sebelum ini MAS melalui Setiausaha Agungnya, Andy Low menjangkakan bakal mengadakan mesyuarat bersama MSN, Institut Sukan Negara (ISN) untuk tempoh lima hingga tujuh hari dari sekarang.-Harian Metro