Malaysia mudah jinakkan Brunei

SHAH ALAM: Seperti diramal, skuad lelaki negara tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan pertama di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) selepas menundukkan Brunei 5-0, sebentar tadi.

Pada aksi di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang kembali ke gelanggang selepas pulih daripada kecederaan otot belakang menyumbang mata pertama menerusi kemenangan ke atas Kan Kah Kit 21-7, 21-11.

Dua lagi perseorangan negara, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe turut tidak berdepan masalah meraih mata apabila berjaya menewaskan lawan masing-masing sekali gus memberi kemenangan awal kepada Malaysia dengan kedudukan 3-0.

Jun Hao yang disenaraikan pada saat akhir bagi menggantikan Justin Hoh yang mengalami kecederaan hanya memerlukan 19 minit bagi menewaskan Marhanif Ali 21-5, 21-6 manakala Eogene menundukkan Mattew Minggat 21-8, 21-4.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazari yang membuat penampilan sulung pada kejohanan kali ini menyumbang mata keempat selepas mengetepikan cabaran Marhanif-Haziq Roze 21-5, 21-12.

Beregu negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazari ketika berdepan Marhanif Ali-Haziq Rose dari Brunei pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam hari ini. – Foto NSTP/Aswadi Alias
Beregu negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazari ketika berdepan Marhanif Ali-Haziq Rose dari Brunei pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam hari ini. – Foto NSTP/Aswadi Alias

Gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melengkapkan kemenangan skuad negara apabila mengatasi Mattew-Mohamad Iqbal Asyraf Mohammad 21-9, 21-7.

Malaysia kini hanya perlu menang ke atas Kazakhstan pada aksi kedua, esok bagi mengesahkan tiket ke suku akhir sebelum membuat perhitungan dengan Taiwan pada aksi terakhir yang dilabel aksi penentuan gelaran juara dan naib juara kumpulan.

Juara dan naib juara kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati.

Pemenang dalam aksi kelompok lapan terbaik akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Chengdu, China pada April depan.-Berita Harian