‘Saya akan berjumpa dengan pasukan penerjun’ – Hannah

MENTERI Belia dan Sukan bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan pasukan penerjun negara.

Hannah Yeoh berkata, persetujuan untuk bertemu dengan pasukan itu termasuk ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong susulan kegagalan mereka memperoleh keputusan cemerlang pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.

“Saya akan jumpa perenang dan mendengar (luahan) daripada mereka, tapi seperti yang saya beritahu sebelum ini kita sekarang dalam proses untuk melakukan pembaharuan untuk ekosistem sukan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas Majlis penyerahan siap kerja trek sintetik Stadium Darul Makmur, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Pandelela, 30, mengakui terdapat ‘entiti’ mengganggu skuad terjun negara dan kesannya terjadi apabila gagal merekodkan keputusan cemerlang pada kejohanan itu.

Pada Isnin, atlet dalam program Road To Gold (RTG) itu, memohon maaf di atas kegagalannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terkandas di pusingan kelayakan di Doha dalam acara 10 meter (m) platform individu.

Pandelela gagal melayakkan diri dalam acara 10 m platform seirama bersama gandingannya, Nur Dhabitah Sabri apabila mengakhiri acara final di kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan

Hannah memberitahu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah melakukan pelbagai pembaharuan termasuk memberikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua atlet selain jurulatih turut diberikan kenaikan gaji.

“(Masih) ada lagi ruang penambahbaikan dan kita akan jalankan lagi program ini sepanjang tahun untuk mendengar (keluh kesah) dari kumpulan sasar iaitu atlet, jurulatih, Majlis Sukan Negara kerana masing-masing ada justifikasi mereka kenapa benda ini dibuat sebegini tetapi kita akan dengarlah,” katanya.

Beliau berkata, bagi atlet RTG, semua persiapan yang diperlukan sudah dipenuhi oleh pihak kerajaan termasuk sumber kewangan.

“Saya tidak akan katakan bahawa segala beban untuk mengejar emas hanya terletak kepada satu atau dua atlet. RTG telah ditetapkan kriteria pemegang pingat pada Olimpik pusingan lalu dan juga 10 teratas.

“Tapi ada juga mereka yang bukan top 10, saya tidak katakan yang bukan top 10 tidak boleh menang. Tidak, (tapi) dalam sukan, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Sesiapa yang bertanding ada kemungkinan boleh kalah dan menang,” katanya.-Sinar Harian

×