Misi kejutkan Thailand

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara mengintai peluang untuk muncul juara kumpulan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.

Malaysia akan membuka tirai aksi Kumpulan Y menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di Shah Alam, esok.

Selain UAE, barisan pemain wanita negara turut diundi bersama Thailand yang diletakkan sebagai pilihan bagi menjuarai saingan kumpulan.

ADVERTISING

Bagaimanapun, pemain perseorangan wanita, K Letshanaa, berkata meskipun atas kertas Thailand memiliki kelebihan tetapi itu tidak bermakna mereka perlu menyerah kalah awal dan menjadi pasukan kedua terbaik di belakang lawan berkenaan.

“Thailand kali ini tidak datang dengan barisan terkuat mereka, namun mereka masih lagi kuat dengan barisan pemain yang ada.

“Bagaimanapun, kami yakin ada kemampuan untuk menewaskan mereka.

“Tiada apa untuk ditakutkan ketika berdepan Thailand kerana saya tetap yakin kami akan ke suku akhir meskipun sebagai naib juara kumpulan,” kata Letshanaa.

Juara dan naib juara kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati.

Pemenang dalam aksi kelompok lapan terbaik akan layak secara automatik ke saingan Piala Uber di Chengdu, China pada April depan.

Dalam pada itu, Letshanaa menyuntik semangat rakan sepasukan supaya tidak gentar untuk berdepan lawan yang mempunyai ranking dunia yang lebih tinggi kerana ia boleh melemahkan semangat setiap pemain.

“Jika kita fikirkan kedudukan ranking, saya pasti kami tertekan dan memberi tekanan kepada pasukan, kerana akan berasa tidak cukup bagus untuk bersaing dalam kejohanan ini.

“Setiap pemain mempunyai peluang sama rata sebaik memasuki gelanggang, hanya turun beraksi dengan prestasi terbaik tanpa memikirkan apa keputusan di penghujungnya,” katanya.

Tambah pemain berasal dari Selangor itu, pada perlawanan acara berpasukan sebelum ini, dia sudah melihat banyak keputusan mengejutkan apabila pemain di ranking yang rendah mengejutkan pemain ranking dunia yang lebih tinggi.-Berita harian