Skuad wanita mahu juara kumpulan Y

Kuala Lumpur: Skuad badminton wanita negara melaungkan keyakinan mampu menjuarai kumpulan Y sekali gus mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam yang membuka tirai hari ini.

Menurut pemain perseorangan, K Letshanaa, diletakkan dalam kumpulan Y bersama Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), tidak bermakna mereka perlu menyerah untuk muncul pasukan kedua terbaik di belakang Thailand.

“Thailand kali ini tidak datang dengan barisan terkuat mereka, namun mereka masih lagi kuat dengan barisan pemain yang ada. Bagaimanapun, kami yakin ada kemampuan untuk menewaskan mereka,” katanya.

Ujarnya, tidak ada apa untuk ditakutkan ketika berdepan Thailand kerana mereka tetap yakin akan ke suku akhir meskipun sebagai naib juara kumpulan.

“Setiap pemain dalam pasukan wanita tidak boleh terlalu memikirkan ranking individu ketika berhadapan lawan, kerana ia boleh melemahkan semangat melawan.

“Jika kita fikirkan kedudukan ranking, saya pasti kami tertekan dan memberi tekanan kepada pasukan, kerana akan berasa tidak cukup bagus untuk bersaing dalam kejohanan ini.

“Setiap pemain mempunyai peluang sama rata sebaik memasuki gelanggang, hanya turun beraksi dengan prestasi terbaik tanpa memikirkan apa keputusan di penghujungnya,” ujar Letshanaa lagi.

Tambahnya, pada perlawanan acara berpasukan sebelum ini, dia sudah melihat banyak keputusan mengejutkan apabila pemain di ranking yang rendah mengejutkan pemain ranking dunia yang lebih tinggi.

“Apabila bermain dalam acara berpasukan, ranking individu sekadar nombor kerana yang penting adalah perseteruan dalam gelanggang, antara dua pemain bukan perlawanan antara ranking.

“Semangat sepasukan berada di tahap yang tinggi, meskipun ada yang merasakan masih baru dalam pasukan ini. Bagi saya, walaupun baru untuk pasukan ini, kebanyakan pemain senior mengenali saya dan kami amat rapat.

“Kami bersama-sama pergi ke banyak kejohanan, di Eropah dan sebagainya,” kata pemain kelahiran Selangor itu yang kini berada di ranking ke-56 dunia.

Skuad wanita negara akan memulakan aksi dengan berdepan UAE esok.-Harian Metro