Majlis Sukan Negara Malaysia

Search results for peta

KURSUS PEGAWAI TEKNIKAL BOLA JARING 2024

Tarikh : 4 – 6 Mac 2024

Masa : 8.00 pagi – 6.00 petang

Tempat : Stadium Juara Bukit Kiara, KL

Peserta : 21 orang wanita

Tenaga Pengajar :

1. Pn Zainon Md Noh

2. Pn Amnah Noran

3. Cik Noorulhuda Yaakub

Kursus ini telah dianjurkan oleh Cawangan Wanita Dalam Sukan melalui Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita, MSN dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Malaysia.

Majlis Penutup Kursus tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Datin Ellis Suriyati Hj. Omar, Naib Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia

Tujuan kursus adalah untuk melahirkan lebih ramai Pegawai Teknikal Bola Jaring yang berkelayakan dan bertauliah serta mempunyai pengetahuan dan kemahiran teknikal terkini dalam bidang kepegawaian sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ia juga merupakan salah satu usaha pemerkasaan wanita dalam Program Wanita Dalam Sukan.

Biasiswa OUM bakar semangat Thinaah

PETALING JAYA: Biasiswa daripada Open University Malaysia (OUM) menjadi pembakar semangat buat pemain beregu wanita utama negara M Thinaah, menjelang Terbuka Perancis di Paris pada 5 hingga 10 Mac ini.

Thinaah yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua – TESL) di OUM sejak Mei 2020 berkata biasiswa berkenaan menjadi pendorong untuknya memenangi kejohanan itu bersama gandingannya Pearly Tan.

“Saya percaya (biasiswa) merupakan motivasi terbaik untuk saya. Ya, (kejayaan di Terbuka Perancis) adalah sasaran saya.

“Saya rasa persiapan kita sangat baik. Kita harapkan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menerima biasiswa itu hari ini.

Gandingan di ranking ke-15 dunia itu akan memulakan kempen di Terbuka Perancis berdepan pasangan China yang juga beregu kelima dunia Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Pearly-Thinaah muncul beregu wanita Malaysia pertama meraih gelaran di Terbuka Perancis selepas menewaskan juara dunia dua kali Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 21-19, 18-21, 21-15 pada final edisi 2022.

Mengulas mengenai pengajiannya, pemain berusia 26 tahun itu berkata Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL menjadi pilihan kerana beliau sangat meminati bahasa Inggeris sejak kecil.

“Memandangkan saya sering mengembara, bahasa Inggeris sangat penting,” katanya.

Thinaah berkata pengajian tidak menjejaskan kerjaya sukannya, kerana OUM menyediakan pembelajaran secara dalam talian yang lebih fleksibel.

Presiden dan Naib Canselor OUM Prof Dr Ahmad Izanee Awang berkata universiti berkenaan menyediakan sokongan kewangan penuh kepada Thinaah bagi tempoh Januari 2023 hingga Mei 2024.

Ahmad Izanee berkata OUM memutuskan untuk menawarkan biasiswa itu kepada Thinaah kerana kagum dengan prestasi akademiknya pada masa sama menunjukkan pencapaian luar biasa dalam sukan badminton. – BERNAMA

Gelaran ‘The Pocketrocketwoman’ penghormatan besar – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Gelaran ‘The Pocketrocketwoman’ yang diberikan kepada Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dianggap sebagai satu penghormatan yang begitu besar oleh bintang berbasikal trek negara itu.

Pelumba berusia 21 tahun itu mencipta sensasi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 selepas berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan juga 500 (m) ujian masa pada saingan yang berlangsung di New Delhi itu.

Pelumba kelahiran Sungai Petani itu turut merangkul pingat perak dalam acara pecut berpasukan dan juga pingat gangsa dalam acara pecut.

“Saya tumpang gembira dengan gelaran yang diberikan oleh John (Beasley) itu dan gelaran itu dipegang oleh Datuk Azizulhasni Awang. Tetapi perjalanan saya masih jauh untuk menjadi seperti beliau.

“Saya harap gelaran itu dapat membantu memberi motivasi yang lebih baik dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk masa depan,” kata Izzah.

Mengulas lanjut prestasinya bagi edisi kali ini, Izzah mengakui dia agak berpuas hati dengan pencapaian yang diraih namun menegaskan dia tidak boleh cepat selesa sekali gus perlu terus meningkatkan lagi prestasinya.

“Masih banyak yang perlu dipelajari selepas saya memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa. Saya harap saya dapat mengekalkan prestasi selepas ini.

“Selain itu, saya mahu meningkatkan lagi pengalaman dan persembahan saya supaya dapat lebih maju di hadapan. Terima kasih juga pada ibu bapa saya yang banyak menyokong saya sejak dari awal dalam sukan berbasikal.

“Begitu juga kepada jurulatih saya di Kedah dan Majlis Sukan Negara (MSN). Tidak lupa juga kepada penyokong di Malaysia yang banyak memberi kata-kata positif sebagai semangat untuk terus berjaya,” katanya.-Berita Harian

Bagus untuk Malaysia – Hamidin

PETALING JAYA – Kejayaan Faisal Halim memenangi jaringan terbaik Piala Asia 2023 jadi satu pengiktirafan positif dan wajar dibanggakan oleh semua pihak dalam industri bola sepak di Malaysia.

Walaupun tidak mampu melepasi aksi Kumpulan E, kemenangan Faisal ini secara tidak langsung akan beri publisiti meluas kepada arena bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa khususnya di benua Asia.

“Kalau dia menang baguslah untuk rakyat Malaysia,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Jaringan Mickey itu terhasil selepas bintang Selangor itu pamer ketenangan untuk memperdaya bintang Korea Selatan dan Bayern Munich, Kim Min-jae sekaligus menyaksikan perlawanan terakhir Kumpulan E, 25 Januari lalu berakhir seri 3-3.

Mickey mencatatkan undian 85 peratus diikuti penyerang Jordan, Mousa Al Tamari yang merekodkan sembilan peratus, Son Heug-min (Korea Selatan) tiga peratus manakala Supachok Sarachat (Thailand) dan Sardar Azmoun (Iran) meraih satu peratus.

Tiga lagi pemain iaitu Abdulrahman Ghareeb dari Arab Saudi, Keito Nakamura (Jepun), Hassan Al Haydos (Qatar) tidak mendapat sebarang markah. – KOSMO! ONLINE

Zii Jia buat kejutan, sah beraksi menentang Jepun

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara kembali menarik nafas lega apabila perseorangan utama, Lee Zii Jia kembali beraksi menjelang aksi separuh akhir menentang Jepun di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), jam 4 petang ini.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan, pemain ranking ke-10 dunia itu akan menggalas tugas selaku perseorangan pertama menentang Kenta Nishimoto.

Semalam, Zii Jia tidak dapat diturunkan ketika aksi suku akhir menentang Singapura susulan masalah resdung yang dialaminya.

Ketiadaan bekas juara Seluruh England itu menyaksikan Ng Tze Yong diturunkan tetapi terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh selepas kecederaan belakang dialaminya sebelum ini kembali menghantuinya.

Situasi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai siapa yang bakal diturunkan pada pertemuan dengan Jepun dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat pemain beregu bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan.

Bagaimanapun, kehadiran semula Zii Jia pastinya memberi nafas semula kepada skuad negara yang dalam misi mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu.

Aksi hari ini menyaksikan tugas selaku perseorangan kedua akan digalas Leong Jun Hao yang akan berdepan Koki Watanabe manakala Eogene Ewe turun sebagai perseorangan ketiga menentang Kento Momota.

Malaysia mempertaruhkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai beregu pertama menentang Akira Koga-Taichi Saito sementara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze yang turun selaku beregu kedua bertemu Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura.-Berita Harian

Kriket ACC: Pemain wanita negara kena serangan panik

PADA ketika perlawanan sedang diraikan dengan kejayaan bagi kem kriket wanita negara dalam Piala Perdana Wanita (ACC) menewaskan Jepun, muncul tragedi ngeri.

Ia melibatkan pemain bernama Arianna Natasya apabila terkena serangan panik dalam aksi yang berlangsung di Bayuemas Oval, Kuala Lumpur, petang semalam.

Menurut pengurus pasukan, Vijayalingam Vythiyalingam, dia turut terkejut apabila suasana tiba-tiba bertukar tragedi buat pemain tersebut setelah Malaysia meraikan kejayaan itu.

“Atlet perlu mendapatkan minuman yang secukupnya untuk mengelakkan daripada dehidrasi.

“Kami juga menyediakan khidmat fisioterapi dan jurulatih tapi kita hanya boleh mengetahui lanjut selepas pemeriksaan lanjut,” katanya di Nadi Arena malam tadi.

Sementara itu, Dr Veinoth mengesahkan bahawa Arianna mempunyai episod serangan panik dalam rekod perubatan sebelum ini dan telah diberikan ubatan bagi mengawal gejala tersebut berulang.

“Arianna memang ada mengambil ubat bagi mengurangkan tahap tekanan dan gemuruhnya.

“Kadangkala tekanan emosi dan fizikal boleh mengundang serangan panik.

“Dia juga mempunyai asma tetapi ia memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Dia terpaksa dikejarkan ke hospital menaiki ambulans setelah dikatakan tiba-tiba sesak nafas dan berada dalam keadaan sangat lemah.

Pasukan kriket wanita negara berjaya mara ke peringkat separuh akhir bertemu Nepal hari ini setelah menundukkan Jepun dengan keputusan 101 larian dan tiga wicket dalam 20 over berbanding Jepun dengan 85 larian 7 wicket dalam 20 over. – Astro Arena

Berikan sepenuh jiwa demi Malaysia

SKUAD negara perlu tampil lebih baik dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 berbanding ketika aksi di Kejuaraan Terbuka Malaysia – kejohanan pembukaan kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) pada Januari lalu.

Itu harapan legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek terhadap pemain negara yang akan membuka gelanggang kempen di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada Selasa.

“Menang kalah itu adat pertandingan, akan tetapi tampilkanlah satu persembahan yang membolehkan rakyat Malaysia bangga melihat semangat juang anda (pemain) semasa bertarung di gelanggang.

“Saya percaya peminat-peminat badminton negara mengetahui sejauh mana tahap keupayaan pemain-pemain yang diberikan kepercayaan menggalas cabaran negara.

“Kepada pemain-pemain senior bermainlah sepenuh jiwa manakala kepada pemain-pemain junior train hard dan work hard. Ketepikan perkara-perkara yang tidak penting di luar gelanggang, sebaliknya fokus kepada misi mengharumkan nama negara Malaysia,” katanya pada Isnin.

Sebagai rekod, edisi 2022, pasukan lelaki negara yang diketuai bekas juara juara Seluruh England, Lee Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik, merangkul gelaran BATC sulung masing-masing selepas menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir, manakala pasukan wanita pula mara ke separuh akhir.


Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024)

SKUAD LELAKI

Perseorangan

Lee Zii Jia

Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!

Ng Tze Yong

Leong Jun Hao

Eogene Ewe

Beregu

Aaron Chia-Soh Wooi Yik

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani

Choong Hon Jian-Haikal Nazri

KUMPULAN B

Malaysia

Taiwan

Kazakhstan

Brunei

JADUAL PERLAWANAN

Selasa (13 Februari)

Malaysia lwn Brunei, 5 petang

Rabu (14 Februari)

Malaysia lwn Kazakhstan, 5 petang

Khamis (15 Februari)

Malaysia lwn Taiwan, 5 petang

* Semua aksi di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam

SKUAD WANITA

Perseorangan

Goh Jin Wei

K Letshanaa

Wong Ling Ching

Siti Nurshuhaini Azman

Beregu

Pearly Tan-M Thinaah

Teoh Mei Xing-Go Pei Kee

Low Yeen Yuan-Tan Zhing Yi

KUMPULAN Y

Thailand

Malaysia

Emiriah Arab Bersatu (UAE)

JADUAL PERLAWANAN

Rabu (14 Februari)

Malaysia lwn UAE, 9 pagi

Khamis (15 Februari)

Malaysia lwn Thailand, 9 pagi

* Semua aksi di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam

-Sinar Harian

Aaron-Wooi Yik pendam ‘senjata rahsia’

SHAH ALAM: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan mendedahkan rejim latihan baharu dalam menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.

Aaron, juara dunia 2022 bersama Wooi Yik berkata, corak latihan baharu yang diperkenalkan adalah bagi mempersiapkan diri menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Aaron-Wooi Yik ketika ini berada di kedudukan kelima dalam ranking dunia dan ‘Race to Paris’.

“Saya rasa semuanya berjalan lancar ketika kami menjalani program latihan untuk persediaan Sukan Olimpik, jadi kami sedang menyesuaikan diri dengan program latihan baharu… tetapi kami tidak boleh ceritakan.

“Ini mungkin kejohanan berpasukan kali ke-10 atau lebih yang kami sertai. Saya rasa bahagian beregu lebih seronok, sebab kami boleh main scratch pair dan rakan sepasukan ada di belakang untuk beri sokongan,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

BATC akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City bermula esok hingga 18 Februari.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata mereka masih berbincang mengenai pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan pertama Kumpulan B esok.

Beliau berkata, perancangan rapi perlu memandangkan Malaysia terlebih dahulu akan bertemu dua negara mudah iaitu Brunei (esok), Kazakhstan (14 Februari), sebelum bertemu lawan sebenar Taiwan (15 Februari).

“Tadi ada perbincangan dari kumpulan perseorangan siapa yang akan diturunkan. Kami tengok dulu kalau Lee Zii Jia mahu main dan uji gelanggang, jadi kami akan turunkan.

“Pemain beregu pula mungkin kami akan bincang petang ini, sebab mungkin mahu sesuaikan diri dengan gelanggang… lagipun kami bukan cakap Kazakhstan dan Brunei itu mudah, tapi kalau boleh menang 5-0 pasti mahu yang terbaik,” katanya.

Cabaran Malaysia yang turun sebagai juara bertahan digalas empat pemain perseorangan – Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe – manakala Aaron-Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri bagi saingan beregu. – BERNAMA

Yakeb santuni dua beradik sempena Tahun Baharu Cina

Petaling Jaya: Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini disifatkan istimewa buat pasangan adik-beradik perempuan, Lim Geok Wah dan Lim Yoke Che @ Lim Yok Tee, yang juga bekas perenang dan penembak negara apabila menerima kunjungan Yayasan Bekas Kebajikan Atlet (Yakeb) di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima bantuan berupa wang tunai dan barangan F&N, Geok Wah, 75, terharu disantuni Yakeb di rumah mereka di sini buat julung kalinya, walaupun beliau dan kakaknya Yoke Che, 93, tidak lagi aktif dalam dunia sukan.

“Ini Tahun Baharu Cina yang bermakna buat kami dan terima kasih kepada Presiden Yakeb Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed kerana terus menghubungi kami bekas atlet dan membantu kami,” katanya.

Sementara itu, Noorul Ariffin berkata sebanyak 10 bekas atlet berbangsa Cina menerima bantuan hasil kerjasama Yakeb dan F&N yang diwakili pengurus tajaan dan acara syarikat itu Muhammad Fauzi Ahmad serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Sumbangan ini tidak akan berhenti di sini, kita ada Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan lain-lain. Saya berharap pihak F&N dan MSN akan beri kerjasama untuk mengiktiraf jasa bekas atlet yang telah mengharumkan nama negara,” katanya.

Tahun Baharu Cina bakal disambut Sabtu ini.-Harian Metro

Kemunculan David Beckham suntik motivasi pemain wanita negara

PETALING JAYA – Bekas kapten skuad England, David Beckham meluangkan masa bersama pemain bola sepak wanita negara dalam Program Bola Sepak Wanita Malaysia (AMGFP) di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, hari ini.

Beckham yang pernah mewakili kelab Manchester United itu turut memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada pelatih bola sepak wanita yang sedang melakukan sesi latihan ringan bersama pemain kebangsaan, Steffi Sarge Kaur.

Program yang dijalinkan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bertujuan untuk memastikan kualiti dan imej bola sepak wanita di negara ini terus meningkat di pentas antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, program terbabit sememangnya baik dalam usaha meningkatkan lagi semangat pemain bola sepak wanita negara.

“Bola sepak wanita menghadapi pelbagai cabaran daripada memerangi stigma masyarakat, diskriminasi, kekurangan akses dan mengharungi laluan yang sukar di negara kita.

“Saya jangkakan program ini dapat mencungkil bakat bola sepak wanita khususnya menjadi platform buat pemain muda mengembangkan bakat masing-masing,” katanya ketika majlis pelancaran AMGFP hari ini.

Difahamkan, Beckham yang telah tiba di Kuala Lumpur sejak malam tadi bakal menghadiri satu lagi majlis pelancaran di TRX The Exchange pada petang ini. – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia