Yakeb santuni dua beradik sempena Tahun Baharu Cina

Petaling Jaya: Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini disifatkan istimewa buat pasangan adik-beradik perempuan, Lim Geok Wah dan Lim Yoke Che @ Lim Yok Tee, yang juga bekas perenang dan penembak negara apabila menerima kunjungan Yayasan Bekas Kebajikan Atlet (Yakeb) di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima bantuan berupa wang tunai dan barangan F&N, Geok Wah, 75, terharu disantuni Yakeb di rumah mereka di sini buat julung kalinya, walaupun beliau dan kakaknya Yoke Che, 93, tidak lagi aktif dalam dunia sukan.

“Ini Tahun Baharu Cina yang bermakna buat kami dan terima kasih kepada Presiden Yakeb Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed kerana terus menghubungi kami bekas atlet dan membantu kami,” katanya.

Sementara itu, Noorul Ariffin berkata sebanyak 10 bekas atlet berbangsa Cina menerima bantuan hasil kerjasama Yakeb dan F&N yang diwakili pengurus tajaan dan acara syarikat itu Muhammad Fauzi Ahmad serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Sumbangan ini tidak akan berhenti di sini, kita ada Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan lain-lain. Saya berharap pihak F&N dan MSN akan beri kerjasama untuk mengiktiraf jasa bekas atlet yang telah mengharumkan nama negara,” katanya.

Tahun Baharu Cina bakal disambut Sabtu ini.-Harian Metro