Jun Hao rujuk Zii Jia cara tumbangkan Ka Long

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berkata dia perlu melakukan sesuatu dalam usaha memberi mata kemenangan pasukan negara apabila turun pada perlawanan pertama menentang Hong Kong, Sabtu ini.

Katanya, apa yang akan dilakukan adalah cuba untuk mendapatkan ilmu dari jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia bagaimana cara terbaik untuk menjinakkan pemain Hong Kong yang kini berada di ranking ke-26, Ng Ka Long.

Bekas juara remaja Asia itu yang akan turun sebagai pemain perseorangan kedua dijangka akan berdepan Ka Long dan mereka tidak pernah bertemu di mana-mana kejohanan sebelum ini.

Namun Zii Jia sudah berdepan Ka Long tujuh kali dan meraih tiga kemenangan termasuk dua pertemuan terakhir mereka di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu dan Masters Indonesia pada Januari lalu.

Justeru Jun Hao berkata dia akan mengorek ilmu dan memikirkan cara terbaik untuk menundukkan lawan itu.

“Skuad Piala Thomas negara kali ini lebih seimbang kerana kita mempunyai ramai pemain yang berpengalaman.

“Jadi saya mahu berikan yang terbaik untuk negara dan akan berusaha sehabis baik untuk memberikan mata.

“Saya akan bertemu dengan Zii Jia sebaik saja dia menyertai kem latihan negara nanti. Mungkin dia boleh bantu.

“Saya juga akan bincang dengan jurulatih untuk mencari strategi dan mengenai corak permainan Ka Long sebagai persiapan nanti,” katanya.

Terdahulu Zii Jia memilih untuk tidak bersama kem latihan negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) minggu lalu kerana mempunyai program bersama jurulatihnya Wong Tat Meng.

Dia bagaimanapun dijangka akan bersama skuad negara setibanya di Chengdu hari ini.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, skuad negara turut menyenaraikan Cheam June Wei dan Justin Hoh dalam acara perseorangan.

Beregu pula dibarisi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.-Harian Metro