Majlis Sukan Negara Malaysia
PEARLY DAN THINAAH DAPATKAN RAWATAN KIROPRAKTIK DI MALAYSIA HOUSE

Beregu wanita utama negara, Pearly Tan – M.Thinaah dapatkan rawatan kiropraktik di Malaysia House hari ini.

Perkhidmatan sokongan ini disediakan Sekretariat Road To Gold bagi membantu pemulihan atlet negara di Sukan Olimpik Paris 2024 selain menampung kakitangan perkhidmatan sokongan yang terhad di dalam perkampungan sukan.

Selain rawatan kiropraktik, antara perkhidmatan lain disediakan termasuk tukang urut, fisioterapi, psikologi dan pakar pemakanan yang semuanya memainkan peranan penting dalam proses pemulihan atlet.

Azeem tak gentar jumpa jaguh Olimpik

OLIMPIAN negara, Nazmizan Muhammad meletakkan harapan cukup tinggi kepada jaguh pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi untuk menyinar di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas raja pecut Asia Tenggara itu percaya bahawa pelari muda berusia 20 tahun tersebut mampu mengulangi catatan masa 10.09 saat (s) ketika mencipta rekod 100 meter (m) Malaysia pada 2022 apabila turun bersaing di Stade de France bermula 3 Ogos nanti.

“Fokus kepada larian, lihat balik video ketika lari dengan catatan 10.09s itu. Inilah masanya untuk dia tunjukkan kepada dunia, kewujudun Azeem Fahmi di Olimpik,” kata Nazmizan yang pernah beraksi di Olimpik Athens 2004 dalam acara 200m.

Dalam pada itu, Nazmizan cukup percaya pelari berusia 20 tahun itu tidak akan gugup ketika turun menggegarkan Stade de France kerana mempunyai pengalaman bersaing dengan pelari-pelari yang memiliki catatan terpantas dunia sepanjang berada di Amerika Syarikat.

“Gugup itu penting kerana ia akan membantu seseorang atlet beraksi dengan baik tetapi saya yakin Azeem tidak akan berdepan perasaan yang terlalu melampau.

“Dia sudah berlari bersama pelari pantas dunia ketika beraksi di NCAA (Amerika Syarikat), malah di peringkat Asia juga dia berjaya memenangi pingat gangsa. Jadi gugup hingga menjejaskan prestasi itu tidak akan berlaku,” ujarnya.

Azeem yang meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 berpeluang mencipta sejarah baharu sebagai pelari pertama dari rantau Asia Tenggara berjaya mencipta masa bawah 10s sekiranya dapat melakukan catatan itu di Paris nanti.

Seandainya berjaya, penuntut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat itu juga akan menjadi pelari ke-10 dari benua Asia berjaya merekodkan masa mengagumkan tersebut.

Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana dua seteru Asia Tenggara iaitu bekas juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri dan bintang pecut Thailand, Puripol Boonson juga berpeluang menafikan peluang Azeem.

Sebagai rekod, Lalu dianggap sebagai pelari terpantas Asia Tenggara berdasarkan rekod peribadinya 10.03s diikuti Puripol 10.06s dan Azeem di tempat ketiga dengan masa 10.09s.-Kosmo

Enam atlet negara sertai acara pembukaan Paris 2024

PARIS: Seramai enam atlet dan empat pegawai akan mewakili kontinjen Malaysia pada acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 malam ini (awal pagi Sabtu di Malaysia).

Ketua kontinjen negara, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata barisan atlet negara bakal diketuai oleh dua pembawa Jalur Gemilang – penerjun Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif.

Turut menyertai acara yang akan diadakan di Sungai Seine secara besar-besaran adalah Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang).

Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama atlet terjun negara, Bertrand Rhodict Lises. - Foto NSTP
Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama atlet terjun negara, Bertrand Rhodict Lises. – Foto NSTP

Kontinjen Malaysia turut disertai oleh Hamidin, timbalannya Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia).

Majlis perasmian Olimpik Paris 2024 dijadualkan bermula jam 7.30 malam (Sabtu,1.30 pagi waktu Malaysia), dengan atlet akan menaiki bot.

Malaysia menghantar 26 atlet dan 40 pegawai ke temasya sukan itu.

Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi media sosialnya mengumumkan kontinjen negara akan menggayakan busana bernama ‘The Malaya’ berwarna hijau zaitun dengan motif keemasan rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini untuk perasmian esok.

Atlet wanita akan memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga.

Sementara itu, Hamidin yakin dengan keselamatan atlet dan pegawai dalam kontinjen negara berikutan laporan media beberapa insiden seperti rompakan dan jenayah seksual.

“Saya tidak bimbang dengan atlet kerana mereka sentiasa berada di Perkampungan Sukan dan hanya keluar ke venue latihan atau pertandingan. Tahap keselamatan ketat untuk masuk ke Perkampungan Sukan dengan pemeriksaan rapi.

“Tetapi saya bimbang sedkit tentang keselamatan ahli keluarga dan rakan atlet di luar sana dan juga rakyat Malaysia yang lain di sini bagi temasya ini. Harap mereka menjaga keselamatan.

“Buat masa ini iada apa-apa masalah dihadapi oleh atlet negara,” kata Hamidin ketika ditemui di Invalides, venue bagi acara memanah. – BERNAMA

TPM, Menteri Kabinet ucap selamat maju jaya kepada atlet

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen negara yang bersaing di temasya Sukan Olimpik 2024 yang akan dibuka secara rasmi esok dan berlangsung hingga 11 Ogos ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu percaya seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong para atlet yang berjuang mewakili negara.

“Anda semua menunjukkan dedikasi yang tiada tandingan dan semangat juang yang kental dalam menuju ke Olimpik Paris 2024. Saya yakin dan percaya anda semua telah melakukan persiapan terbaik demi mencapai kejayaan gemilang sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Ingat, anda tidak bersendirian, kami semua bersama anda. Anda adalah inspirasi dan kebanggaan kepada Malaysia,” kata beliau menerusi video berdurasi satu minit 12 saat di laman Facebook hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut mengucapkan selamat maju jaya kepada para atlet serta berharap mereka akan membawa pulang kegemilangan buat negara tercinta.

“Misi Malaysia untuk mengakhiri penantian selama hampir tujuh dekad bagi mendapatkan pingat emas Olimpik pertama akan bermula dengan pertandingan memanah yang dijadualkan pada petang ini.

“Yakinlah pada kemampuan diri sendiri dan ingatlah bahawa seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang anda, memberikan sokongan dan doa yang tidak berbelah bahagi.

“Berjuanglah dengan penuh semangat dan dedikasi. Ayuh Malaysia, kita mampu melakar sejarah. Kita semua Team MAS,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut mendoakan kejayaan para atlet ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dan menyeru orang ramai agar mengikuti liputan langsung RTM (Radio Televisyen Malaysia) selaku penyiar rasmi di saluran TV Okey, saluran Sukan RTM dan enam saluran tambahan di RTMKLIK secara percuma.

“Do your very best, Malaysia is with you. Kami semua mendoakan kejayaan anda. Kita semua Team MAS,” katanya menerusi video berdurasi 23 saat di laman Facebook.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet kebanggaan Malaysia di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal membuka tirainya esok. – BERNAMA

Cuaca Paris bantu Syaqiera catat pencapaian peribadi terbaik

PARIS: Keadaan cuaca sederhana sekitar 24 darjah celsius antara faktor yang membantu atlet memanah negara, Syaqiera Mashayikh mendapatkan permulaan positif dengan menempatkan diri dalam kedudukan 15 teratas pada pusingan ranking individu acara recurve wanita Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Atlet berusia 23 itu yang beraksi di pentas Olimpik buat kali kedua berkata, keadaan itu berjaya membantunya dalam mencatatkan prestasi terbaiknya dengan catatan 663 mata di Invalides yang berlatar belakangkan monumen bersejarah kota ini.

“Alhamdulillah, keadaan cuaca berpihak kepada kita, tidak begitu panas dan angin pun tak kuat sangat untuk mengatasi catatan peribadi terbaik 649 mata sebelum ini yang dibuat di Piala Dunia bulan lepas,” katanya selepas acara berkenaan.

Dua lagi wakil negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi (633 mata) dan Nurul Azreena Mohamad Fazil (622 mata) masing-masing menamatkan saingan hari ini di kedudukan ke-50 dan 60.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara meraih kedudukan ke-10 bagi acara berpasukan dengan 1,918 mata secara keseluruhan untuk mencabar trio Indonesia, Diananda Choirunisa, Syifa Nurafifah Kamal dan Rezza Octavia (1,960 mata) yang menduduki ranking ketujuh dalam perebutan slot bagi suku akhir, Ahad ini.3

Bagi acara individu, Syaqiera akan bertemu Alexandra Mirca dari Moldova pada Selasa ini manakala Ariana Nur Dania dan Nurul Azreena akan berdepan cabaran sengit masing-masing daripada pemanah di kedudukan ke-15, Chiara Rebagliati dari Itali dan kedudukan kelima, Elif Berra Gokkır dari Turkiye sehari selepas itu.

Mengulas mengenai cabaran di pusingan penyingkiran, Syaqiera berkata mereka akan melakukan persiapan lebih spesifik menjelang beberapa hari lagi selepas mengetahui pencabar bagi pusingan kalah mati itu.

“Untuk acara berpasukan, kita ada beberapa pengalaman bertemu Indonesia dan kita pastinya akan cuba untuk buat lebih baik pada kali ini dengan persiapan yang lebih teratur.

“Bagi acara individu, saya tidak pernah bertemu Mirca sebelum ini, jadi akan lawan sehabis yang boleh dan terima apa jua keputusan yang dapat. Saya tidak letakkan sasaran kerana tidak mahu terlalu tertekan…apa yang kita boleh kita buat adalah persiapan dan insya-Allah tunggu hari pertandingan,” katanya.

Sementara itu, Ariana Nur Dania yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan 669 mata, berkata gugup beraksi buat kali pertama di Olimpik, mungkin menjadi punca prestasinya tidak berada pada tahap tertinggi hari ini.

“Walaupun cuaca tidak terlalu panas atau sejuk, ada sesuatu yang tidak kena dengan kondisi badan saya. Perkara ini memang tak pernah jadi pada saya masa latihan dan pertandingan, saya pun agak terkejut, mungkin gementar.

“Namun, saya ambil ini sebagai pengajaran untuk masa depan dan ia tidak akan memberikan kesan kepada saya dalam aksi penyingkiran individu dan berpasukan selepas ini,” katanya. – BERNAMA

The Malaya barakan semangat juang atlet Malaysia di Paris

THE Malaya, hasil cetusan ilham dihasilkan pereka fesyen tanah air, Rizman Ruzaini untuk kontinjen Malaysia di upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024 di Paris dijangka menjadi tumpuan dunia pada 27 Julai ini.

Menurut Rizman Nordin, gaya sopan busana itu dipadankan dengan kelubung yang sinonim dengan wanita Malaya.

ADVERTISING

Inspirasi baju teluk belanga pula dipilih sebagai tanda junjungan kasih buat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang berasal dari Johor.

“Dari segi warna pula, kami memilih warna hijau zaitun dengan motif keemasan untuk menjentik aura klasik dan apabila berada di bawah pantulan cahaya, ia memancarkan kesan keemasan sebagai tanda simbolik harapan untuk para atlet kita membawa pulang pingat emas untuk Malaysia.

“Ia bagaikan melihat sebutir belian yang digilap berkilau dan kemudiannya diikat dengan emas dan dijadikan cincin di jari.. sungguh cantik dan sangat sempurna,” ujar Rizman.

Warna hijau zaitun dengan motif keemasan dipilih untuk menjentik aura klasik dan apabila berada di bawah pantulan cahaya.

Warna hijau zaitun dengan motif keemasan dipilih untuk menjentik aura klasik dan apabila berada di bawah pantulan cahaya.

Menurut Rizman, koleksi The Malaya turut menekankan cetakan motif songket sebagai tanda pengiktirafan kepada atlet-atlet Malaysia kerana songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung turun-temurun.

“Rizman Ruzaini meletakkan nilai atlet negara pada kedudukan yang tertinggi.. setinggi perjuangan mereka untuk membawa pulang pingat emas nanti. Kami turut mempersembahkan cetakan motif songket ke atas busana sebagai pengiktirafan kami buat mereka,” katanya.

Menurut Rizman, songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung turun-temurun, kehalusan tenunan dan kerumitan motif songket menggambarkan pangkat dan kedudukan bangsawan.

“Scarf yang kami cipta mewakili semangat patriotik sebagai rakyat Malaysia dan (kami) taburkan tudung ini dengan corak nukilan khas tentang Malaysia,” katanya yang antara merujuk kepada tarikh kemerdekaan negara dan Hari Kebangsaan.

Koleksi itu juga adalah satu dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat beberapa tokoh pahlawan Melayu termasuk Penghulu Naning, Datuk Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Mat Kilau.

Acara gilang-gemilang pembukaan Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung di Sungai Seine, Paris dan akan dibarisi oleh 26 atlet.

Tumpuan Malaysia juga menyasarkan atlet seperti Datuk Azizulhasni Awang, Lee Zii Jia sebagai menjadi harapan utama untuk mencapai sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Kontinjen Malaysia akan menggalas cabaran negara pada temasya sukan berprestij itu menerusi penyertaan dalam sembilan jenis sukan iaitu akuatik terjun, akuatik renang, pelayaran, menembak, berbasikal trek, berbasikal lebuh raya, angkat berat, badminton, golf, memanah dan olahraga. – Astro Awani

Saingan ranking individu dan berpasukan Sukan Olimpik Paris 2024 di Les Invalides.

Aksi atlet memanah negara, Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil dalam saingan ranking individu dan berpasukan Sukan Olimpik Paris 2024 di Les Invalides.

Syaqiera mengumpul 663 mata untuk menduduki tangga ke 14 keseluruhan sekaligus berjaya mencatat rekod peribadi terbaik.

Ariana Nur Dania pula meraih 633 mata manakala Nurul Azeera mencatat 622 mata.

Syaqiera mulakan aksi di kedudukan ke-14 terbaik

KUALA LUMPUR: Pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh memulakan kempen Sukan Olimpik Paris 2024 dengan positif apabila mengakhiri saingan penentuan ranking individu di kedudukan ke-14 daripada 64 peserta.

Lebih manis, Syaqiera yang membuat penampilan kedua di Paris 2024 selepas Tokyo 2020 berjaya mencipta catatan peribadi baharu dengan 663 mata di Invalides.

Dua pemanah dari Korea Selatan, Lim Sihyeon dan Nam Suhyeon mengungguli saingan apabila masing-masing berada di ranking pertama dan kedua dengan catatan 694 dan 688 mata.

Sihyeon turut mencipta rekod dunia baharu sekali gus memadam rekod 692 mata rakan senegaranya, Kang Chaeyoung yang dilakukan pada 2019.

Dalam pada itu, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi menamatkan saingan di tempat ke-50 dengan 633 mata manakala Nurul Azreena Mohamad Fazil mengumpul 622 mata untuk berada di ranking ke-60.

Pusingan ranking individu ini adalah untuk menentukan kedudukan bagi pusingan kalah mati yang dijadual bermula pada Selasa ini.

Pemanah yang menduduki ranking teratas akan bertemu dengan pemanah di kedudukan tercorot pada pusingan kalah mati menuju ke final.

Bagi acara berpasukan, trio menamatkan saingan ranking di kedudukan ke-10 daripada 12 negara dengan mengumpul 1918 mata dan dijadual bertemu Indonesia pada aksi saringan 1/8 pada Ahad ini.

Korea Selatan berada di ranking pertama dengan 2046 sekali gus memperbaharui rekod mereka 2032 mata di Tokyo 2020 manakala China di kedudukan kedua, 1996 mata.-Berita Harian

Olimpik Paris: Saya mahu atlet buat yang terbaik supaya tidak kecewa – Hannah

KUALA LUMPUR: Genggam bara api biar sampai jadi arang.

Itu perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan pesanan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kepada 26 atlet negara supaya mengeluarkan ‘taring sebenar’ ketika berhadapan pihak lawan di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai secara rasmi esok dan berlangsung hingga 11 Ogos ini.

Hannah berkata, atlet perlu bersedia menempuh adat bersukan dengan kebarangkalian 50 peratus memenangi perlawanan dan sebaliknya, justeru beliau tidak mahu mereka keluar dari ‘gelanggang’ dengan perasaan kecewa apabila tidak memberikan yang terbaik.

“Apa yang kita nak ialah tetapkan satu sasaran iaitu negara berjalan ke arah matlamat yang sama… oleh itu, kita umum nak dapatkan emas pertama. Sekarang kontinjen, agensi, Majlis Olimpik Malaysia, atlet dan jurulatih, semua ada sasaran sama yang saja. Kita nak bawa balik satu pingat emas.

“Namun ini adalah sukan, bermaksud bila kita masuk ke gelanggang, ada peratusan (menang atau kalah). Apa yang saya nak atlet buat (ialah) usahakan yang terbaik supaya bila mereka keluar ke gelanggang, mereka tak ada rasa kecewa kerana tak buat yang terbaik. Itu saja,” katanya menerusi program bual bicara Misi D’OR 2024 terbitan Bernama TV malam ini.

Menyentuh mengenai jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Hannah berkata beliau tidak pernah mempersoal keyakinan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu apabila pelumba berusia 36 tahun itu disifatkan sebagai ‘dahaga’ merangkul pingat emas pada temasya empat tahun sekali itu.

Hannah turut memaklumkan bahawa pakar institut jantung akan bersama Mohd Azizulhasni setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa Road To Gold bagi memastikan beliau dalam keadaan selamat.

“Awal tahun ini, saya ada di Australia bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan sempat melawat Mohd Azizulhasni di tempat latihan beliau, beliau tunjukkan ekosistem beliau di Australia.

“Saya gembira kerana saya dengar daripada Mohd Azizulhasni sendiri persiapan beliau cukup baik dan beliau juga ada keyakinan,” katanya yang akan berangkat ke Paris pada 31 Julai ini.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia telah menetapkan sasaran satu pingat emas di Paris 2024 selari dengan impian Mohd Azizulhasni yang sebelum ini menyatakan hasrat mengakhiri penyertaan beliau dalam temasya itu dengan kilauan emas. – BERNAMA

Kehadiran keluarga semarak semangat Ariana Nur Dania

PARIS: Kehadiran keluarga telah menyemarakkan lagi semangat pemanah muda negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi apabila turun beraksi dengan sasaran memperbaiki rekod kebangsaannya dalam acara recurve wanita Sukan Olimpik Paris 2024, esok.

Atlet berusia 19 tahun itu membuat penampilan sulung Olimpik dan bakal beraksi pada pusingan penentuan ranking individu di Invalides, berlatarkan monumen bersejarah dan museum Perancis.

Bercakap kepada Bernama semasa sesi latihan rasmi di venue pertandingan, Ariana Nur Dania berkata, kesemua ahli keluarganya telah tiba di sini pada Selasa untuk memberikan sokongan kepadanya.

“Kehadiran ibu bapa, kakak serta abang telah meningkatkan semangat saya untuk capai keputusan yang lebih baik kerana mereka datang dari jauh. Saya mengambilnya sebagai motivasi buat saya esok.

“Harapan untuk pecahkan rekod kebangsaan lagi itu ada, tetapi tidak terlalu tertekan kerana tahu prestasi semasa dan kaedah latihan. Kalau ada rezeki, kita (pasukan memanah wanita) adalah pingat, tapi yang penting kita dah beri prestasi terbaik kita,” katanya.

Ariana Nur Dania sebelum ini berjaya mencatatkan rekod 669 mata pada kejohanan Kelayakan Olimpik di Antalya, Turkiye, mengatasi rekod terdahulunya, 649 mata pada pusingan Kelayakan Asia di Bangkok, Thailand, tahun lepas.

Mengulas mengenai cabaran di Paris, beliau berkata telah berjaya menyesuaikan dengan keadaan cuaca dan angin sejuk di sini selepas beberapa sesi latihan sejak Sabtu lalu.

“Mula-mula agak mencabar kerana keadaan angin agak mencabar, di sini lebih kuat dan ke satu arah pada satu masa (berbanding Malaysia yang kiri, kanan). Tetapi semalam dah serasi dan tahu apa yang boleh dijangkakan.

“Apabila hadir ke pentas Olimpik, memang boleh merasa perbezaan berbanding kejohanan lain seperti Piala Dunia kerana slot Olimpik adalah terhad dan pastinya ada nama-nama besar,” katanya.

Beliau berkata rakan sepasukan Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh, yang turut beraksi dalam acara individu dan berpasukan wanita pada Ahad ini berada pada keadaan positif untuk membuka cabaran negara, esok.

Seramai 64 pemanah yang layak bagi acara recurve akan beraksi dalam pusingan ranking esok untuk menentukan kedudukan bagi pusingan kalah mati yang bermula pada Selasa depan.

Pemanah yang menduduki ranking teratas akan bertemu dengan pemanah di kedudukan tercorot pada pusingan kalah mati menuju ke final. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia