Majlis Sukan Negara Malaysia
Johnathan raih perak Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR: Atlet menembak negara Johnathan Wong, menamatkan siri latihannya di Denmark dengan memenangi pingat perak acara 10 meter (m) pistol angin lelaki pada Kejohanan Terbuka Denmark 2024, semalam.

Penembak berusia 31 tahun itu mengutip 234.7 mata, untuk menamatkan saingan di belakang juara dari India Arjun Singh, yang mencatatkan 239 mata pada pertandingan berlangsung di Vildbjerg Sports-og Kulturcenter.

Penembak tuan rumah Hansen Jonas Kofoed, menang gangsa (213.1 mata).

Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Hayati Shamsuri berkata mereka gembira atas kejayaan Johnathan itu, selepas beliau menduduki tempat kedua pada pusingan kelayakan dengan 576 mata.

“Johnathan telah berada di Denmark sejak 14 Januari, bagi menjalani latihan yang merupakan sebahagian daripada persiapannya ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ini merupakan keputusan yang baik buat Johnathan, kita mahu membantu beliau layak ke final dengan lebih banyak, rasai pengalaman dan seterusnya mampu kurangkan perasaan kekok sekiranya layak ke pentas final dalam kejohanan besar selepas ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hayati berkata Johnathan yang dijangka tiba dari Denmark Selasa ini (20 Februari) akan meneruskan latihan di sini sebelum bertanding pada dua siri Piala Dunia di Baku, Azerbaijan (1-12 Mei) dan diikuti Munich, Jerman (31 Mei- 7 Jun). – BERNAMA

Zii Jia buat kejutan, sah beraksi menentang Jepun

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara kembali menarik nafas lega apabila perseorangan utama, Lee Zii Jia kembali beraksi menjelang aksi separuh akhir menentang Jepun di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), jam 4 petang ini.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan, pemain ranking ke-10 dunia itu akan menggalas tugas selaku perseorangan pertama menentang Kenta Nishimoto.

Semalam, Zii Jia tidak dapat diturunkan ketika aksi suku akhir menentang Singapura susulan masalah resdung yang dialaminya.

Ketiadaan bekas juara Seluruh England itu menyaksikan Ng Tze Yong diturunkan tetapi terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh selepas kecederaan belakang dialaminya sebelum ini kembali menghantuinya.

Situasi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai siapa yang bakal diturunkan pada pertemuan dengan Jepun dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat pemain beregu bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan.

Bagaimanapun, kehadiran semula Zii Jia pastinya memberi nafas semula kepada skuad negara yang dalam misi mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu.

Aksi hari ini menyaksikan tugas selaku perseorangan kedua akan digalas Leong Jun Hao yang akan berdepan Koki Watanabe manakala Eogene Ewe turun sebagai perseorangan ketiga menentang Kento Momota.

Malaysia mempertaruhkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai beregu pertama menentang Akira Koga-Taichi Saito sementara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze yang turun selaku beregu kedua bertemu Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura.-Berita Harian

DENMARK SHOOTING OPEN 2024

15 – 18 Feb 2024
RESULT (DAY 1)
Event : 10M Air Pistol Men
Stage : Qualification
Athlete : Johnathan Wong Guanjie
Result : 576 points
Rank : 2 / 23
Qualify to final


Event : 10M Air Pistol Men
Stage : Final
Athlete : Johnathan Wong Guanjie
Result : 234.7 points
Final Rank : 2nd / 8
🥇- Cheema Arjun Singh (IND)
🥈- Johnathan Wong (MAS)
🥉- Hansen Jonas Kofoed (DEN)

Megan tekad bentuk skuad renang mantap

PENGARAH Teknikal baharu Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Megan Oesting optimis mampu membantu untuk mengembalikan kegemilangan sukan itu pada masa depan.

Beliau yang berasal dari Amerika Syarikat mempunyai kepakaran selama dua dekad dalam sukan renang dan kejurulatihan yang kompetitif bakal bergabung dengan jurulatih baharu skuad kebangsaan, Eric Anderson.

Megan berkata, satu penghormatan mendapat tawaran daripada MAS dan beliau percaya mempunyai misi serta visi sama dengan badan induk tersebut bagi melahirkan perenang bertaraf dunia.

“Saya memerlukan anda, seperti anda memerlukan saya.

“Saya yakin untuk projek jangka panjang ini kita semua perlu bersatu dalam mencari jalan terbaik meningkat tahap perenang di setiap peringkat bukan hanya di bahagian atas sahaja,” ujar Pemilik MOSTswimtech Inc itu.

Beliau tiba di Malaysia pada 8 Februari lalu.

Sebagai jejak pertama Megan berharap dapat menyeragamkan dan menyokong setiap langkah yang bakal dilakukan selepas ini.

“Kita akan cuba mengatasi segala kelemahan dan meningkatkan kemahiran perenang bagi membentuk skuad renang yang lebih konsisten.

“Saya sudah membincangkan perkara ini dengan beberapa perenang seperti Steven (Khiew Hoe Yean) dan Wilson (Sim). Malah mereka teruja dengan peralihan ini demi masa depan sukan renang negara,” katanya.

Beliau yang juga bekas ketua jurulatih kelab Bend Swim itu turut berharap kepada perenang utama seperti Hoe Yean dan Wilson agar bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi, sebaliknya perlu mempunyai daya kepimpinan.

“Memang mereka sangat penting untuk mempamerkan prestasi sebenar demi negara tetapi saya menyatakan bahawa mereka juga adalah suri teladan untuk masa depan sukan ini,” katanya.

MAS dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut kepakaran dan kepimpinan kedua-dua individu itu diharapkan membawa perubahan transformatif kepada program renang negara dan memacu perenang untuk meningkatkan prestasi di persada antarabangsa.

Selepas meraih lima emas di laman sendiri pada Sukan SEA 2017, pungutan berkenaan menurun dengan skuad renang negara hanya membawa pulang dua emas ketika di Filipina (2019), serta satu emas ketika di Hanoi (2021) dan Kemboja (2023).-Sinar Harian

MESYUARAT PENYELARASAN PROGRAM KERJASAMA BERSAMA BADAN BERUNIFORM

YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Kerjasama Bersama Badan Beruniform pada 16 Februari 2024 bertempat di Bilik Rajawali, MSN.

Tujuan mesyuarat tersebut adalah untuk membincangkan penyelarasan program pembangunan sukan dalam kalangan anggota badan-badan beruniform seperti ATM, PDRM dan BOMBA dalam sukan-sukan perlu dipertingkatkan dan digerakkan seiringan bagi mewujudkan satu ekosistem sukan berprestasi tinggi.

Turut hadir sama YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan (MSN).

BENGKEL PENYELARASAN PELAKSANAAN PROGRAM KHAS DAN BAKAT MSN 2024

Satu Bengkel Penyelarasan Pelaksanaan Program Khas dan Bakat MSN telah diadakan pada 15 hingga 16 Februari 2024 bertempat di The Pearl Hotel, Kuala Lumpur.

Bengkel yang diadakan selama dua hari itu telah dihadiri oleh Encik Mohd Safrushahar Yusof, Pengarah Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita serta pegawai Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian KPM dan 16 Ketua Timbalan Pengarah Unit Pembangun Bakat Murid (JPN).

Tujuan bengkel tersebut diadakan adalah untuk berkongsi perancangan program serta membincangkan isu pelaksanaan program bagi tahun 2024.

KEJOHANAN 15TH FAZZA DUBAI GRAND PRIX 2024 (7-16 FEB 2024)

Day 3 – 15 Feb 2024 (Khamis)
Men’s Long Jump (Combine T11/T12
Emas – Wong Kar Gee (MAS/T12) – 6.80m
Perak – Chen Shichang (CHI/T11) – 6.39m
Gangsa – Maksim Shavrikov (RUS/T11) – 6.08m

Women’s Shot Put (Combine F11/F12/F20) – Raza Point System
Emas – Brigila Clair (MAU/F20) – 11.70m (781 points)
Perak – Noor Imanina Idris (MAS/F20) – 10.66m (655 points)
Gangsa – Gulbakhyt Kaiyrzhanova (KAZ/F12) – 6.84m (164 points)

Men’s Shot Put (Combine F54/F55)
Emas – Hamed Amiri (IRI/F55) – 12.43m
Perak – Olokhan Musayev (AZB/F55) – 10.92m
Gangsa – Mohammad Zikri Zakaria (MAS/F55) – 9.69m


Pencapaian Pingat Keseluruhan:
4 Emas, 2 Perak & 2 Gangsa
4 Emas:

  1. Men’s Long Jump (T20) – Datuk Abdul Latif Romly
  2. Men’s Shot Put (F20) – Muhammad Ziyad Zolkefli
  3. Men’s 400m (T38) – Muhammad Faiz Haizat Rosdi
  4. Men’s Long Jump (T12) – Wong Kar Gee
    2 Perak:
  5. Men’s 400m (T20) – Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi
  6. Women’s Shot Put (F20) – Noor Imanina Idris
    2 Gangsa:
  7. Men’s Long Jump (T44) – Eddy Bernard
  8. Men’s Shot Put (F55) – Mohammad Zikri Zakaria
Harimau Malaya ada ramai ‘ubi muda’

PEMINAT bola sepak tanah air tidak perlu risau dengan peningkatan usia tonggak utama Harimau Malaya kerana ramai ‘ubi muda’ bersedia dipanggil pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti.

Sebagai rekod, skuad kendalian Kim Pan-gon yang mewakili Malaysia di pentas Piala Asia antara yang tertua dalam kejohanan itu apabila ramai pemain sudah mencecah angka 30-an.

Antara pemain terbabit adalah Afiq Fazail dan Mohamadou Sumareh yang berusia 30 tahun, Ahmad Khuzaimi Piee (31), Shahrul Saad (31), Daniel Ting (32), Junior Eldstal (33), La’Vere Corbin-Ong (33) dan Darren Lok (34).

Bintang naturalisasi, Paulo Josue pula sudah berusia 35 ­tahun, Brendan Gan (36) dan Natxo Insa (38).

Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell percaya usia sekadar ‘angka’, tetapi menegaskan FAM tetap mengambil serius dan berharap pemain-pemain muda bersedia jika dipanggil pada kempen kelayakan akan datang.

“Sudah tentu kita sekali lagi mahu menikmati pengalaman beraksi di Piala Asia. Kita juga mahu ke Piala Dunia, tetapi ­untuk berbuat demikian, kita harus sentiasa melayakkan diri ke pertandingan peringkat Asia.

“Saya rasa kelompok pemain seterusnya (skuad bawah 23 ­tahun) terdiri dalam kalangan pemain yang bagus, tetapi mereka kena yakinkan Pan-gon bahawa mereka layak bermain bersama pasukan senior.

“Pemain ini perlu menunjukkan prestasi yang bagus dalam Liga Super, beraksi sekerap mungkin supaya dapat dipanggil dan harap kita dapat layak lagi ke Piala Asia 2027,” katanya.

Harimau Malaya dijadualkan menjalani kem latihan pusat dalam masa terdekat sebagai persiapan mengharungi dua perlawanan kelayakan menentang Oman bulan depan.-Kosmo

Malaysia jumpa Singapura suku akhir BATC

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara diundi bertemu Singapura pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), esok.

Terdahulu, Malaysia menewaskan Taiwan 3-2 untuk muncul juara Kumpulan B pada aksi di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan sebelum ini sudah pun mengesahkan tiket ke suku akhir dengan aksi hari ini adalah bagi penentuan gelaran juara dan naib juara kumpulan.

Malaysia tampil dengan penuh meyakinkan bermula dengan kemenangan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang mengatasi Lin Chun Yi 21-16, 21-13.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagaimanapun tewas di tangan Lee Jhe Huei-Lee Yang 21-23, 17-21.

Namun, perseorangan kedua, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi kemenangan ke atas Lee Chia Hao 21-19, 21-17.

Beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei memastikan kemenangan awal skuad negara apabila menyumbang mata ketiga dengan menewaskan Wang Chi Lin-Yang Po Han 21-19, 21-14.

Taiwan berjaya mendapat mata kedua menerusi perseorangan ketiga mereka, Chi Yu Jen yang menewaskan Eogene Ewe

Sementara itu, lain-lain perlawanan suku akhir dalam saingan lelaki menyaksikan China menentang Indonesia, Korea Selatan bertemu Taiwan manakala India berdepan Jepun.

Bagi saingan wanita pula, skuad negara diundi bertemu juara bertahan, Indonesia bagi perebutan tiket ke separuh akhir.

Aksi lain membabitkan pertemuan antara Jepun dengan China, India menentang Hong Kong manakala Taiwan berdepan Thailand.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir layak secara automatik ke saingan Piala Thomas/Uber di Chengdu, China pada April depan.-Berita Harian

Skuad hoki 5S terima durian runtuh RM96,000

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan. Hannah Yeoh menunaikan janjinya apabila meluluskan insentif kemenangan sebanyak RM96,000 kepada skuad Hoki 5 sebelah (5s) lelaki kebangsaan.

Insentif itu sebagai imbuhan buat pasukan berkenaan yang muncul naib juara edisi sulung Piala Dunia 5s, di Muscat, Oman, bermula 28-31 Januari lalu.

Perkara itu diumumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam kenyataan ringkas menerusi media sosialnya hari ini, sambil mengucapkan terima kasih kepada Hannah dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas insentif itu.

Ketika menyambut kepulangan skuad kendalian Wallace Tan dari Muscat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 2 Februari, Hannah berkata skuad berkenaan mereka bakal menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM80,000.

Beliau berkata pihaknya juga akan membayar semula wang yang telah dibelanjakan KHM bagi kempen piala dunia itu.

Malaysia muncul naib juara edisi Piala Dunia Hoki 5s 2024 selepas tewas 2-5 di tangan pasukan gergasi Eropah, Belanda pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Oman.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia