Komisioner FIFA tak benarkan berlatih di Stadium Nasional atas faktor cuaca – Hannah

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil menjelaskan bahawa komisioner perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak membenarkan Malaysia dan Oman berlatih di Stadium Nasional, Bukit Jalil atas faktor cuaca.

Perkara itu dimaklumkan Hannah menerusi laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) sambil mengesahkan gelanggang keramat Harimau Malaya itu sudah mendapat kelulusan komisioner perlawanan untuk digunakan bagi aksi menentang Oman, malam esok.

Beliau turut memuat naik gambar terkini padang di Stadium Nasional menjelang aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

“FIFA Match Commissioner (komisioner perlawanan) tidak benarkan pasukan Malaysia dan Oman berlatih di SNBJ (Stadium Nasional) kerana hujan pada waktu petang kebelakangan ini.

“Padang SNBJ sudah mendapat mendapat kelulusan MC (komisioner perlawanan) untuk perlawanan. Penyokong Harimau Malaya digesa turun ke SNBJ untuk berikan sokongan paling padu,” tulis Hannah.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac di ruangan Instagram Story miliknya turut memuat naik gambar padang Stadium Nasional dengan kapsyen: “Kita jumpa esok kawan-kawan. 10 malam Stadium Nasional Bukit Jalil.”

Terdahulu, ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy dalam sidang media praperlawanan pagi tadi, memaklumkan bahawa pihaknya sudah sedia maklum mengenai keadaan padang Stadium Nasional yang kurang baik.

Beliau berkata, malangnya pihaknya dimaklumkan dengan cuaca di Malaysia yang kerap hujan dan mungkin padang tidak bersedia dengan baik.

“Pemain mengetahuinya dan akan bersedia dari segi fizikal, taktikal dan psikologi. Semalam kami dimaklumkan bahawa kami tidak akan berlatih di sana (Stadium Nasional) kerana padang tidak dalam keadaan baik untuk latihan, untuk Malaysia ataupun Oman, situasi tidak bagus untuk kedua-dua pasukan,” katanya.

Berdasarkan maklumat disediakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Harimau Malaya akan menjalani latihan di Wisma FAM, manakala Oman pula di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Sementara itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon berharap padang berkenaan berada dalam keadaan baik seperti dijanjikan sebelum ini.-Berita Harian