Batrisyia permata harapan Selangor

Seremban: Hasrat Batrisyia Izzati Mohd Nasir untuk berada dalam senarai atlet yang akan mewakili Selangor pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak pada Ogos depan, semakin cerah.

Ini selepas atlet berusia 18 tahun itu meraih pingat emas kategori sanda 48 kilogram (kg) pada Kejohanan Terbuka Wushu Sanda King Kebangsaan 2024, yang berlangsung di Dewan NS Chin Woo, di sini, semalam.

Pada final acara itu, Batrisyia Izzati menewaskan atlet sepasukan, Vancy Lee Chee.

“Saya berharap kemenangan di kejohanan kebangsaan ini menjadi tiket terbaik untuk menempatkan diri dalam senarai atlet yang akan menggalas cabaran Selangor pada Sukma di Sarawak, Ogos nanti.

“Kejohanan Sukma sememangnya sasaran utama saya apabila menyertai cabaran dalam kejohanan ini, kerana ia sebahagian medan pemilihan atlet ke temasya sukan berkenaan.

“Alhamdulillah, saya berjaya memenangi pingat emas dan kejayaan ini akan membuka pintu untuk berjuang di peringkat lebih tinggi iaitu di Sukma,” katanya selepas diumumkan pemenang, semalam.

Batrisyia Izzati yakin kejayaan itu membuktikan tahap prestasi dan persediaannya untuk beraksi di Sukma semakin menjadi kenyataan.

Tambahan pula katanya, dia berjaya mempertahankan kejuaraan itu untuk kali kedua berturut-turut sekali gus merakamkan emas ketiga yang pernah dimenanginya melalui penyertaan dalam lima kejohanan sejak 2021.

“Saya tidak menyangka cabaran di peringkat akhir kali ini agak mudah walaupun belum pernah menentang Lee Chee sebelum ini. Namun, saya puas hati dengan kejayaan ini dan terus berusaha meningkatkan lagi tahap prestasi untuk memastikan impian beraksi di pentas Sukma dan menyumbang pingat buat Selangor, tercapai,” katanya.-Berita Harian