Rexy beri pilihan kepada Tze Yong

KUALA LUMPUR: Jadi juara BAC (Kejohanan Badminton Asia) atau lupakan Sukan Olimpik!

Itu reaksi Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berhubung peluang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Rexy, berkata semuanya kini terletak di tangan Tze Yong jika dia benar-benar mempunyai keinginan tinggi untuk beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Tze Yong ketika ini masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan, bulan lalu susulan kecederaan belakang dialaminya dan dijangka menyertai BAC yang menjadi kejohanan terakhir pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Semuanya terpulang kepada Tze Yong, sama ada dia yakin atau tidak untuk bermain di BAC.

“Jika tidak, lebih baik lupakan BAC dan fokus kepada Piala Thomas atau kejohanan lain.

“Jalan paling selamat untuk dia layak ke Olimpik adalah menjadi juara BAC.

“Jadi, semuanya terletak di tangannya, sama ada dia benar-benar dahagakan untuk beraksi di Olimpik,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di sini, hari ini.

Selepas terlepas banyak kejohanan awal musim ini susulan kecederaan belakang dialaminya, peluang tampak tipis buat Tze Yong untuk layak ke Sukan Olimpik apabila dia ketika ini berada di kedudukan ke-17 ranking kelayakan ke Paris.

Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia secara tidak rasminya sudah mengesahkan tiket ke Paris apabila dalam keadaan selesa di kedudukan ke-10 ranking kelayakan sebelum tarikh tutup pada 28 April depan.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan proses pemulihan Tze Yong, Rexy memaklumkan pergerakan pemain itu masih lagi terbatas di dalam gelanggang.

Katanya, perkara utama yang perlu dilakukan Tze Yong adalah mengatasi trauma susulan kecederaan dialaminya dalam usaha untuk mengembalikan semula keyakinannya.

“Datuk Tey Seu Bock (jurulatih perseorangan lelaki) juga ada beritahu saya ketika latihan di gimnasium Tze Yong ada rasa sedikit ‘fed up’, mahu buat ini tidak boleh, itu tidak boleh. 

“Kita semua mahu Tze Yong cergas sepenuhnya tetapi apapun berbalik kepada dirinya sendiri sama ada mahu push atau tidak kerana dia lebih memahami keadaan badannya, kami hanya pantau dan jaganya dari luar,” katanya.

BAC akan berlangsung di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini.-Berita Harian