Jurulatih kebangsaan ‘korek’ ilmu pakar Jepun

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil langkah proaktif dalam usaha meningkatkan ilmu jurulatih kebangsaan menerusi penganjuran ‘High Performance Coach Education Series 2024’ dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan Institut Sukan Negara (ISN) yang bermula hari ini.

Program selama empat hari itu membabitkan jurulatih-jurulatih di bawah Program Podium, para, pelapis kebangsaan dan pelapis negeri dikendalikan oleh pakar-pakar daripada Nippon Sport Science University (NSSU) Jepun, diketuai Pengarah Akademi Pembangunan Kejurulatihan NSSU, Professor Masamitsu Ito.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir merasmikan program pada hari ini, berkata inisiatif terbaru itu membuktikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serius untuk memperkasakan bidang kejurulatihan menerusi budaya latihan prestasi tinggi (high performance culture in training) supaya selari dengan negara-negara kuasa sukan di benua Asia.

“Saya menyeru semua jurulatih dan pengurus sukan supaya menjadi ejen perubahan, “change agent” kerana budaya sukan prestasi tinggi lebih mampan adalah sesuatu yang amat kita perlukan ketika ini.

“Banyak yang boleh kita pelajari hasil jalinan kerjasama dengan NSSU ini kerana sukan prestasi tinggi sudah sebati dengan penggiat sukan di Jepun yang sentiasa meletakkan sasaran pencapaian tertinggi ketika mula melatih bakat-bakat muda di peringkat awal,” katanya.

Lima jurulatih tempatan daripada siri kursus kali ini bakal dipilih untuk menimba ilmu secara lebih mendalam mengenai budaya latihan prestasi tinggi secara tindikan (attachment) di universiti sains sukan terulung di Jepun itu yang mempunyai rekod menyumbang 41 pingat emas keseluruhan kepada kontinjen Jepun daripada temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.-Berita Harian