Majlis Sukan Negara Malaysia
5 kejohanan buat Andre Anura cari tiket ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Pintu masih belum tertutup buat jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar dalam misi untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim, berkata anak didiknya itu masih ada lagi lima kejohanan untuk dia menembusi kelompok 32 terbaik sekali gus layak ke Paris.

Katanya, lima kejohanan itu adalah Terbuka Singapura pada April dan Kejohanan Jemputan Taiwan (Mei) selain tiga kejohanan pada Jun iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka Taiwan dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Indonesia.

“Namun, dia (Andre Anura) perlu mencatat lompatan yang konsisten dalam kelima-lima kejohanan itu, sekurang-kurangnya sejauh 16.40m (meter) sehingga 16.70m.

“Ia bagi membolehkan dia memperbaiki kedudukan rankingnya untuk berada dalam kelompok 32 terbaik sebelum tempoh kelayakan Road to Paris 24, berakhir 30 Jun ini,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Atlet Program Podium Fasa 1 di sini, semalam.

Berdasarkan ranking Road to Paris 2024, atlet berusia 24 tahun itu kini berada di kedudukan ke-48 dengan 1,081 mata.

Dalam pada itu, Ahmad Firdaus tidak bimbang dengan keputusan dicatat Andre Anura yang tewas mengejut di tangan atlet dari Sarawak Brendon Ting Li King pada Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers 2024 di Bukit Jalil, kelmarin.

Brendon mencatat 15.56m bagi meraih pingat emas manakala Andre Anura yang merakam 15.39m terpaksa berpuas hati dengan perak manakala gangsa milik Andrew George Medina dari Sekolah Sukan Singapura (15.29m).

Ahmad Firdaus, berkata hanya Andre Anura perlu melakukan sedikit perubahan untuk mengimbangi kekuatan ototnya sekali gus dapat kembali ke prestasi terbaiknya sebelum kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 berakhir.-Berita Harian

Peluang pemain negara uji gelanggang Olimpik

KUALA LUMPUR: Barisan pemain utama negara berpeluang menguji gelanggang rasmi badminton bagi Sukan Olimpik Paris 2024 apabila beraksi di Terbuka Perancis yang bermula hari ini.

Kejohanan bertaraf Super 750 itu buat julung kalinya akan berlangsung Arena Porte de la Chapelle yang dibuka awal bulan lalu.

Arena Porte de la Chapelle adalah dewan serbaguna yang dibina dengan kos 125 juta euro (RM641.50 juta) dan mempunyai kapasiti sebanyak 8,000 tempat duduk bagi penganjuran acara sukan manakala 9,000 untuk tujuan konsert.

Saingan Terbuka Perancis tahun ini diawalkan berbanding kebiasaannya yang berlangsung pada Oktober bagi membolehkan penganjur menguji gelanggang sebelum Olimpik Paris membuka tirai dari 26 Julai hingga 11 Ogos depanSituasi itu membuka peluang buat pemain negara untuk merasai suasana dan menyesuaikan diri dengan gelanggang baharu itu sebelum mereka beraksi di temasya terbesar dunia berkenaan

Antara pemain utama negara yang bakal beraksi adalah gandingan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan membuka tirai saingan menentang beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel di pusingan pertama.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang kembali ke Paris dengan misi untuk merampas gelaran juara dimenangi pada 2022 akan berdepan wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Turut menjadi sandaran negara adalah beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang akan memulakan cabaran menentang rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Sementara itu, kelibat pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia pastinya akan menjadi tumpuan dengan dia menjadi wakil tunggal negara beraksi dalam acara berkenaan di Paris.

Ini selepas Ng Tze Yong terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan baru-baru ini susulan kecederaan belakang dialaminya.Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia akan membuka tirai aksi menentang pemain Denmark, Magnus Johannesen.

“Sesi latihan pertama di gelanggang kejohanan berjalan dengan baik,” kata jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng yang memuat naik video latihan Zii Jia ketika menguji gelanggang di Arena Porte de la Chapelle di laman Instagram miliknya, hari ini.-Berita Harian

Paris pentas pemanas badan skuad badminton

KEJOHANAN badminton Terbuka Perancis bakal menjadi medan pemanas badan terbaik buat barisan pemain negara untuk berdepan ujian sebenar pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahu para pemain menjadikan kejohanan tersebut sebagai pentas untuk menyerlahkan potensi mereka sebelum ke Paris Julai depan.

Beliau berkata, para pemain sudah bersedia dan menuntut mereka meningkatkan prestasi, selain berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca panas di Malaysia dan sejuk di Perancis.

“Persiapan berjalan dengan lancar. Mereka perlu terus kekal fokus untuk kekalkan prestasi dan corak permainan. Saya juga harap mereka tak terkesan dengan perubahan cuaca serta perjalanan yang jauh.

“Apa yang penting berikan yang terbaik. Capai prestasi yang ditetapkan dan tingkatkan keyakinan diri sebelum Olimpik,” katanya.

Cabaran negara bakal digalas oleh pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia yang akan membuka tirai aksi menentang pemain Denmark, Magnus Johannesen.

Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia akan menjadi wakil tunggal beraksi dalam acara itu selepas Ng Tze Yong terpaksa berehat selepas menjalani pembedahan kecederaan belakang baru-baru ini.

Turut beraksi ialah beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dijadual menentang pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel pada pusingan pertama.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang kembali ke Paris dengan misi untuk merampas gelaran juara dimenangi pada 2022 akan berdepan wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Dalam aksi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan memulakan saingan berdepan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.-Sinar Harian

Skuad lawn bowl Pahang sasar dua emas Sukma

Kuantan: Pasukan lawn bowl Pahang meletakkan sasaran membawa pulang dua pingat emas dan satu perak serta satu gangsa di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Ogos nanti.

Pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur, mereka hanya mampu membawa pulang satu pingat gangsa dalam acara individu wanita menerusi Nik Asma Ifatul Aisya Bahari.

Pada Sukma kali ini, 12 pemain lelaki dan wanita akan membawa cabaran Pahang bersaing dalam sembilan acara.

Nik Asma Ifatul Aisya yang kini menjadi jurulatih pasukan berkata, sasaran mereka di Sarawak nanti tidak mustahil boleh dicapai.

“Kelebihan Pahang pada Sukma kali ini ialah kita mempunyai sekurang-kurangnya enam atlet senior yang beraksi pada Sukma 2022 dan pengalaman mereka menjadi kelebihan.

“Gandingan pemain baharu dan senior diharap dapat menghasilkan keputusan terbaik dan kami kini menjalani latihan di laman lawn bowl Majlis Sukan Pahang (MSP),” katanya.-Harian Metro

Selangor turunkan 1,138 atlet untuk Sukma Sarawak

Shah Alam: Kontinjen Selangor menurunkan 1,138 atlet yang akan mengambil bahagian dalam semua 37 jenis sukan di Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak, bermula 17 hingga 24 Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, kontinjen Selangor optimis untuk berada pada kedudukan ketiga teratas dalam temasya sukan dwi tahunan itu.

“Kita sasarkan penyertaan kali ini untuk menjadi kelompok tiga terbaik kerana di Sukma edisi lalu, kami berada di tempat keempat dan hendak memperbaiki kedudukan itu.

“Sukma di Sarawak pada Ogos depan ini akan membabitkan 37 sukan dan penganjuran kali ini membabitkan jumlah sukan sukan tertinggi (banyak) dalam sejarah.

“Bagi persediaan atlet, untuk tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM8 juta bagi program pembangunan sukan dan persediaan kontinjen Sukma,” katanya ketika menggulung Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Selangor di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (PH-Seri Serdang) berhubung persediaan kontinjen Selangor bagi menghadapi Sukma Sarawak, Ogos nanti.

Beliau berkata, meskipun pada relatifnya jumlah peruntukan untuk persediaan kontinjen Sukma Selangor lebih rendah berbanding negeri pencabar, persediaan Selangor lebih baik.

“Bagi Sabah (RM27.2 juta), Sarawak (RM23.1 juta) dan Terengganu (RM20 juta), Johor (RM15 juta), namun kita akan menggunakan mekanisme dengan meminta tajaan daripada anak syarikat kerajaan negeri.

“Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengambil tanggungjawab untuk menjadi PBT angkat kepada persatuan tertentu,” katanya.-Harian Metro

Rafiq sasar juara Tenpin Boling Asia

KUALA LUMPUR: Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail memburu gelaran juara di Kejohanan Tenpin Boling Asia 2024 di Bangkok, Thailand pada September depan bagi mengukuhkan kedudukannya selaku pemain nombor satu Asia.

Selain juara dalam acara perseorangan, atlet berusia 26 tahun itu turut mengintai peluang untuk mempertahankan kejuaraan bagi acara berpasukan yang dimenangi tahun lalu di Hong Kong bersama Syafiq Ridhwan, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol.

“KPI (petunjuk prestasi utama) saya tahun ini adalah Kejohanan Asia. Secara peribadi sudah tentu saya menyasarkan juara dalam acara perseorangan tetapi ia akan jadi lebih bermakna jika turut berjaya muncul juara acara berpasukan bersama rakan-rakan.

“Kalau bermain dalam acara berpasukan, semua dapat merasa dan menang sama-sama. Vibe happy dengan rakan-rakan lain berbanding berseorangan,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Atlet Program Podium Fasa 1, di sini, hari ini.

Selain acara berpasukan, Rafiq turut merangkul emas dalam tiga acara lagi di Hong Kong iaitu Masters, All Events serta trio bergandingan dengan Timmy dan Ahmad Muaz.

Mengulas mengenai persaingan dalam kejohanan di Bangkok nanti, Rafiq, berkata dia perlu berwaspada dengan peningkatan dipamerkan atlet dari Korea Selatan, Singapura dan Filipina.

“Filipina ada atlet yang meningkat naik. Kami juga tidak boleh memandang rendah negara lain, kadang-kadang kalau kita rasa negara itu tidak perform namun hari pertandingan mereka beraksi baik,” katanya.

Pada masa sama, Rafiq menegaskan dia perlu menampilkan prestasi terbaiknya dalam lima kejohanan sebelum Kejohanan Asia tahun ini bagi merebut tempat ke Bangkok.

Berdasarkan ranking Persekutuan Boling Asia, Muhammad Rafiq kini memegang status sebagai pemain nombor satu di Asia buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2021 dengan mengumpul 442 mata.-Berita Harian

FAZZA 13TH WORLD CUP PARA POWERLIFTING 2024, UAE, DUBAI

Tarikh: 25 Februari – 7 Mac 2024

Tempat: UAE, Dubai

Keputusan:

Best Lift

Gold: Aliakhbar (IRI) – 250kg

Silver: Enkhbayar (MGL) – 246kg

Bronze: Khalimov (UZB) – 221kg

Rank 5: Jong Yee Khie (MAS) – 210kg

Total Lift

Gold: Aliakhbar (IRI) – 496kg

Silver: Jong Yee Khie (MAS) – 410kg

Bronze: Khaled (UAE) – 330kg

Sukma 2024: Melaka sasar 20 pingat emas

KONTINJEN Melaka menyasarkan 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21, yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata, sasaran tersebut dilihat realistik dan sama seperti sasaran edisi lepas di Kuala Lumpur walaupun kontinjen Melaka ketika itu hanya berjaya meraih 17 emas, 11 perak dan 23 gangsa.

“Pada Sukma kali ini, kita percaya jumlah itu mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa atlet selain beberapa sukan yang dilihat mampu menghadiahkan pingat emas termasuk sukan wusyu yang kita sasarkan 11 pingat emas daripada keseluruhan sasaran.

“Sukan lain yang kita percaya boleh menghasilkan pingat emas ialah akuatik, gimnastik, gimrama dan silat…bagi persiapan kontinjen Melaka, setakat ini telah melepasi 60 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat (Sukan) sempena Sukma ke-21 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, penyerahan watikah itu membabitkan 27 bapa angkat dalam kalangan exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), 38 jabatan angkat dan 35 anak angkat daripada Persatuan Sukan Melaka.

Menurutnya, kontinjen Melaka akan menyertai kesemua 37 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada temasya itu nanti.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja bagi memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 juta bagi persiapan atlet negeri itu.

“Sebelum ini kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta sebagai persediaan kontinjen Melaka pada pembentangan Bajet 2024, namun jumlah itu dilihat perlu ditambah bagi membiayai elaun atlet dan jurulatih,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf dalam ucapannya berharap penerima watikah dapat memainkan peranan masing-masing bagi membantu negeri itu mencapai kecemerlangan di Sukma nanti.

Beliau juga mencadangkan kempen promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) turut diperluaskan dalam kalangan atlet yang mewakili negeri itu seperti dengan meletakkan logo kempen pada pakaian rasmi kontinjen Melaka.

“Memandangkan Sukma di Sarawak masih dalam tempoh TMM2024, maka kita lihat kempen seperti ini boleh dibawa ke Sarawak…walaupun Melaka negeri yang kecil, kita mahu menunjukkan satu semangat negeri ini yang dinamik,” katanya. – Bernama

MAJLIS PERHIMPUNAN ATLET PROGRAM PODIUM FASA 1

YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan telah hadir menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Atlet Podium Fasa 1 pada 4 Februari 2024 bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Seramai 238 orang atlet serta jurulatih dari penglibatan 17 sukan program PODIUM telah hadir ke majlis tersebut.

Turut hadir sama, YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN dan YBrs. Encik Faedzal Md Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif ISN.

Bertrand-Enrique tangga kesembilan terjun dunia

KUALA LUMPUR: Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises-Enrique Harold gagal menyerlah dalam acara 10 meter platform seirama lelaki apabila menduduki tempat kesembilan pada Piala Dunia Terjun siri pertama di Montreal, Kanada awal pagi tadi.

Bertrand-Enrique mengumpul 353.67 mata selepas enam terjunan dengan Yang Hao-Lian Junjie dari China dinobat sebagai juara dengan meraih 457.23 mata pada pertandingan di Pusat Sukan Olympic Park.

Gandingan dari Mexico, Kevin Berlin Reyes-Randal Willards Valdez meraih perak dengan 428.97 mata dan pasangan Britain, Noah Williams-Tom Daley mengumpul 417.93 mata bagi gangsa.

Kelmarin, Bertrand yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 memperoleh 389.85 mata untuk menduduki tempat ke-10 daripada 11 penerjun dalam acara akhir 10m platform lelaki.

Piala Dunia Terjun 2024 berlangsung dalam tiga siri.

Selepas Montreal, saingan akan diadakan di Berlin dari 21 hingga 24 Mac ini diikuti dengan pusingan akhir super di Xi’an, China dari 19 hingga 21 April depan. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia