Tat Meng mungkin ‘tinggalkan’ Zii Jia selepas Paris 2024

SEPANG: Jurulatih Lee Zii Jia, Wong Tat Meng mengakui yang dia tidak menolak kemungkinan akan bersara selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024.

Tat Meng, 57, berkata selepas lebih 20 tahun bergelar jurulatih, dia sememangnya sudah memikirkan mengenai bila masa yang sesuai untuk dia bersara daripada kejohanan antarabangsa.

Katanya, dia juga sudah menyuarakan hasratnya itu sebelum mengambil tanggungjawab selaku jurulatih Zii Jia.

“Sebelum bekerjasama dengan Zii Jia, saya sudah berkongsi perancangan saya ini dengan dia. Sebab itu, kami berdua mencapai persefahaman bahawa Olimpik tahun ini adalah projek ‘hidup mati’ untuk kami.

“Buat masa sekarang, fokus saya adalah untuk membantu Zii Jia mengharungi fasa akhir persiapannya menghadapi Sukan Olimpik.

“Apa yang akan berlaku atau tidak akan berlaku selepas Olimpik saya belum fikirkan secara mendalam lagi,” katanya kepada BH Sukan.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan Tat Meng yang mula menjadi jurulatih pada 2002 memberi bayangan yang dia akan bersara.

Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, dia memaklumkan yang saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China yang berakhir Ahad lalu adalah yang terakhir dalam kerjayanya selaku jurulatih.

Perkembangan itu menyaksikan tiada lagi kelibat jurulatih berkenaan pada edisi 2026 di Horsens, Denmark.

Ketika ini, dia masih lagi mempunyai kontrak bersama Team LZJ dan akan tamat selepas berakhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Tat Meng mula membimbing pemain perseorangan profesional lelaki negara itu pada Julai tahun lalu.

Sebelum itu, dia menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan Hong Kong selama setahun selepas empat tahun bersama Persatuan Badminton Korea (BKA) yang menyaksikan dia turut membimbing perseorangan wanita nombor satu dunia ketika ini, An Se Young.

Tat Meng juga pernah bergelar jurulatih kebangsaan sebanyak dua kali bermula 2003 hingga 2011 dan 2013 hingga 2016.-Berita Harian