Majlis Sukan Negara Malaysia

Search results for peta

Terengganu sasar 75 emas di Sukma Sarawak

Kuala Terengganu: Terengganu meletakkan sasaran 75 pingat emas dalam misi merampas semula gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-21 di Sarawak pada Ogos depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran diletakkan itu mengatasi pencapaian kontinjen negeri pada temasya sama di Kuala Lumpur, dua tahun lalu apabila memperoleh 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa untuk berada di tempat kedua.

Beliau berkata, misi meraih 75 pingat emas dilihat realistik berdasarkan kepada persiapan rapi yang diatur Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sejak dua tahun lalu.

“Cita-cita Terengganu tahun ini cukup besar iaitu untuk merampas gelaran juara keseluruhan yang kali terakhir dimenangi enam tahun lalu di Perak dan sasaran awal 75 pingat emas telah diletakkan.

“Antara jenis sukan yang dilihat mampu menjadi penyumbang pingat emas terbesar sudah tentu acara berbasikal, pelayaran, judo, kenu, petanque dan ‘ibu’ segala pingat iaitu bola sepak.

“Selain itu, ada beberapa jenis sukan baharu yang berpotensi menghadiahkan pingat emas seperti olahraga kerana kita memiliki atlet prospek yang mampu menyinar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pentauliahan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan sempena Temasya Sukma XXI Sarawak 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut diumumkan pada majlis sama adalah pelantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai ketua kontinjen ke Sarawak.

Ahmad Samsuri berkata, kontinjen Terengganu di Sukma Sarawak nanti akan diwakili 1,076 atlet, pengurus dan jurulatih dalam 36 jenis sukan yang disertai daripada 37 yang dipertandingkan.

Beliau berkata, MSNT akan meningkatkan kerjasama dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) bagi mengekang isu doping daripada berlaku dalam kalangan atletnya.

Katanya, kontinjen Terengganu tidak boleh terpalit dengan isu penyalahgunaan bahan terlarang dan persatuan-persatuan sukan dinasihatkan memantau atlet di bawah kendalian mereka.

Ketika ditanya mengenai insentif kepada atlet Terengganu, Ahmad Samsuri berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya membuat pengumuman berkenaan.-Harian Metro

FAM tingkat kawalan keselamatan pemain Harimau Malaya semasa tugasan rasmi

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memastikan kawalan keselamatan terhadap barisan pemain kebangsaan dipertingkatkan sepanjang tugasan rasmi bersama skuad Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kawalan keselamatan itu merangkumi ketika kem latihan pusat dan perjalanan sewaktu hari perlawanan di dalam mahupun luar negara.

Beliau berkata ia sebagai langkah memastikan keselamatan para pemain berada pada tahap optimum berikutan serangan jenayah melibatkan dua pemain kebangsaan iaitu Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Mohamad Faisal Abdul Halim atau dikenali Faisal Halim yang berlaku baru-baru ini.

“Kami sudah maklumkan kepada pegawai polis yang bertanggungjawab jaga pasukan semasa tugasan pasukan kebangsaan untuk betul-betul peka dengan pergerakan pemain. Tidak kira di dalam ataupun luar negara, perkara itu mesti jadi keutamaan.

“Perkara sama juga perlu dilakukan semasa kem latihan pusat. Selama ini memang kita ada pegawai polis yang menjaga pasukan tetapi mungkin kita perlukan lebih lagi selepas ini,” katanya dalam sesi temu bual khas bersama Bernama di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini. hari ini.

Mengenai insiden membabitkan dua pemain kebangsaan itu, Hamidin enggan membuat sebarang spekulasi termasuk kemungkinan terdapat unsur penglibatan sindiket mengatur perlawanan.

“Saya tidak pasti adakah ia secara kebetulan ataupun terancang. Perkara ini di luar pengetahuan saya. Saya kesal dengan apa yang berlaku,” kata Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Mengulas perkembangan Faisal Halim, Hamidin berkata pemain Selangor FC itu bakal terlepas baki dua perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada awal Jun ini.

“Berdasarkan lawatan dan maklumat yang saya terima semalam, beliau (Faisal Halim) mungkin memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan untuk pulih,” katanya.

– BERNAMA

Azimuddin, Che Sharul dalam senarai 18 pemain hoki negara

Kuala Lumpur: Dua pemain muda, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Che Sharul Azmi Che Saupi antara 18 pemain disenaraikan bagi menggalas cabaran skuad hoki lelaki negara ke Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, bermula Sabtu ini.

Azimuddin yang beraksi di posisi penyerang dan Che Sharul Azmi di posisi penjaga gol bakal meraih penampilan antarabangsa pertama mereka bersama skuad kebangsaan.

Menurut ketua jurulatih negara, Sarjit Singh, pemilihan 18 pemain yang diumumkan hari ini mengambil kira pelbagai aspek termasuk prestasi semasa pemain, komitmen semasa sesi latihan serta pemahaman konsep yang diterapkan pasukan.

“Kami barisan kejurulatihan berharap persefahaman antara pemain muda atau pemain baharu di dalam pasukan bersama pemain yang lebih senior dapat dibentuk dengan cepat sewaktu dalam perlawanan.

“Kami berharap pasukan ini dapat berkembang serta menjadi lebih matang dengan secepat mungkin terutamanya ketika bersaing di peringkat antarabangsa.

“Barisan kejurulatihan mengharapkan pemain dapat memberikan aksi konsisten dalam setiap perlawanan selain keyakinan tinggi serta sikap baik dapat ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung.

“Kejohanan pertama ini seharusnya digunakan oleh pemain lebih muda untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin daripada pemain lebih berpengalaman,” katanya.

Semalam, Malaysia menewaskan New Zealand 3-2 dalam aksi persahabatan sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan, petang tadi.

Skuad negara yang turun selaku juara bertahan selepas menjuarai edisi 2022 akan membuka tirai saingan menentang Pakistan, Sabtu ini.

Empat lagi pasukan yang menyertai edisi kali ini adalah Kanada, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

SENARAI PEMAIN HOKI KE PIALA SULTAN AZLAH SHAH

1. MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMAN – PENJAGA GOL

2. CHE SHARUL AZMI CHE SAUPI – PENJAGA GOL

3. MUHAMMAD MARHAN JALIL (KAPTEN) – PERTAHANAN

4. SYED MOHAMAD SYAFIQ SYED CHOLAN – PERTAHANAN

5. MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZHAR – PERTAHANAN

6. MUHAMAD SHAFIQ HASSAN – PERTAHANAN

7. MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN – PERTAHANAN

8. SYARMAN MAT TEE – PERTAHANAN

9. MOHD FITRI SAARI – TENGAH

10. NIK MUHAMMAD AIMAN NIK ROZEMI – TENGAH

11. SHELLO SILVERIUS – TENGAH

12. NORSYAFIQ SUMANTRI – TENGAH

13. ALFARICO LANCE LIAU JR – TENGAH

14. FAIZAL SAARI – PENYERANG

15. MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL – PENYERANG

16. MUHAJIR ABDU RAUF – PENYERANG

17. MOHAMAD AKHIMULLAH ANUAR ESOOK – PENYERANG

18. AZIMUDDIN SYAKIR KAMARUDDIN – PENYERANG

-Harian Metro

Malaysia jumpa Jepun di suku akhir

KUALA LUMPUR: Skuad Piala Thomas negara diundi bertemu Jepun pada aksi suku akhir petang ini selepas satu majlis undian berlangsung di Chengdu, China sebentar tadi.

Dalam majlis undian berkenaan, juara 14 kali Indonesia yang memimpin Kumpulan C diundi bertemu naib juara Kumpulan A, Korea Selatan manakala tuan rumah China (juara 10 kali) diundi bertemu India.

Kelmarin, Malaysia menamatkan saingan Kumpulan D selaku naib juara selepas tewas 3-2 di tangan Denmark yang selepas ini bakal turun ke gelanggang bertemu Taiwan untuk satu lagi saingan suku akhir.

Laluan peringkat awal menyaksikan Malaysia berjaya menewaskan Hong Kong dan Algeria, masing-masing dengan keputusan 5-0 sebelum akur tewas 3-2 di tangan Denmark pada perlawanan terakhir kumpulan.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia muncul selaku naib juara kumpulan manakala Denmark yang dibarisi pemain perseorangan nombor satu dunia, Viktor Axelsen meraih gelaran juara.

Pada edisi ke-32 di Nonthaburi, Thailand dua tahun lalu, skuad Piala Thomas negara menamatkan kempen di suku akhir apabila tewas 3-2 di tangan India, pasukan yang muncul juara selepas menewaskan Indonesia di pentas final.

Undian suku akhir Piala Thomas

China mln India

Jepun mln MALAYSIA

Korea Selatan mln Indonesia

Taiwan mln Denmark

-Berita Harian

Sarawak belanja RM300 juta anjurkan SUKMA, Para SUKMA 2024

SEREMBAN: Kerajaan Sarawak membelanjakan sebanyak RM300 juta bagi menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perbelanjaan itu termasuk membabitkan naik taraf gelanggang sukan, logistik dan penganjuran temasya sukan terbesar negara itu.

“Keseluruhannya Kerajaan Sarawak membelanjakan hampir RM300 juta yang merangkumi kos menaik taraf gelanggang sukan, logistik dan penganjuran temasya berkenaan.

“Kita masih lagi menunggu daripada Kerajaan Pusat berapa banyak yang hendak diberikan subsidi,” katanya kepada pemberita pada majlis Kunjungan Hormat Delegasi SUKMA dan Para SUKMA Sarawak 2024 di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di sini, lewat petang tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Exco Pembangunan Sukan negeri, Mustapha Nagoor; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, kali ini penganjuran temasya dwitahunan itu dianggap yang terbesar kerana membabitkan 37 jenis sukan membabitkan 484 acara.

“Bagi memastikan kejohanan itu dapat dirasai keseluruhan rakyat Sarawak, ia akan berlangsung di sembilan bahagian di negeri itu.

“Antaranya Kuching yang membabitkan 25 jenis sukan, Miri (enam) Samarahan (dua), masing-masing tiga jenis sukan di Bintulu, Sibu dan Mukah serta Senan (satu) dan Sri Aman (satu).

“Secara amnya, kita sudah bersedia dari segala aspek untuk pengelolaan dan penganjuran SUKMA dan Para SUKMA tahun ini,” katanya.

Sebagai rekod ini adalah kali ketiga Sarawak dipilih sebagai tuan temasya sukan berkenaan selepas tahun 1990 dan 2016.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan akan menghantar seramai 500 atlet dan pegawai dengan penyertaan dalam 30 acara sukan.

Beliau berkata, Negeri Sembilan tidak mengambil bahagian dalam tujuh acara sukan iaitu angkat berat, kriket, golf, judo, bola jaring, ping pong dan pelayaran.

“Kita mensasarkan untuk meraih pencapaian lebih baik sekurang-kurangnya di tempat kesembilan dengan kutipan pingat emas melebihi daripada 19 pingat,” katanya.-Berita Harian

Harimau Malaya B-23 mahu kejutkan Uzbekistan

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun (B-23) turun ke Piala Asia B-23 tanpa sebarang tekanan memandangkan mereka ‘sedar diri’ dengan kemampuan mereka untuk berentap pada saingan yang sudah membuka tirainya di Qatar, hari ini.

Pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar menegaskan beliau selalu mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu tertekan terutama selepas mengambil kira reputasi pencabar lain pada Kumpulan D.

Bagi edisi kali ini, skuad bimbingan Juan Torres Garrido bakal berdepan juara 2018, Uzbekistan, Rabu ini disusuli naib juara 2018, Vietnam pada 20 April dan menutup aksi peringkat kumpulan menentang Kuwait, tiga hari kemudian.

“Sejak bermulanya kem latihan pusat, saya selalu katakan kepada pemain supaya jangan tertekan kerana kita sentiasa akan menjadi pasukan bukan pilihan. Jadi dengan status seperti ini, kita tidak berdepan banyak tekanan.

“Kita tahu Uzbekistan memiliki kelebihan tetapi kita akan cuba memberi tentangan. Aksi pertama sememangnya penting kerana ia boleh dianggap sebagai motivasi terbaik. Kalau dapat menang ataupun seri, itu sudah bonus.

“Berdasarkan perkembangan ditunjukkan sepanjang tiga minggu menjalani latihan, saya optimis kita mampu memberikan cabaran yang terbaik kepada Uzbekistan,” kata Shahril.

Dalam perkembangan lain, Shahril juga melihat anak buahnya sudah mula menyesuaikan diri dengan cuaca di Qatar selepas sebelum ini hanya menjalani sesi latihan pada sebelah malam susulan bulan Ramadan.

“Pemain perlu sesuaikan diri dengan cuaca pada sebelah petang kerana kita ada dua perlawanan pada sebelah petang. Ada lagi beberapa hari sebelum aksi pertama (lawan Uzbekistan) jadi kita melihat ada perkembangan positif daripada pemain.

“Saya fikir cuaca di Malaysia lebih panas lagi berbanding di Qatar, cuma di sini cuacanya panas dan kering jadi pemain perlu pandai-pandai untuk ‘ambil angin’ ketika bermain nanti,” katanya.

Piala Asia B-23

Kumpulan D

Rabu

Uzbekistan mln Malaysia, 9 mlm

Sabtu

Malaysia mln Vietnam, 9 mlm

23 April

Kuwait mln Malaysia, 11.30 mlm

-Berita Harian

Komisioner FIFA tak benarkan berlatih di Stadium Nasional atas faktor cuaca – Hannah

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil menjelaskan bahawa komisioner perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak membenarkan Malaysia dan Oman berlatih di Stadium Nasional, Bukit Jalil atas faktor cuaca.

Perkara itu dimaklumkan Hannah menerusi laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) sambil mengesahkan gelanggang keramat Harimau Malaya itu sudah mendapat kelulusan komisioner perlawanan untuk digunakan bagi aksi menentang Oman, malam esok.

Beliau turut memuat naik gambar terkini padang di Stadium Nasional menjelang aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

“FIFA Match Commissioner (komisioner perlawanan) tidak benarkan pasukan Malaysia dan Oman berlatih di SNBJ (Stadium Nasional) kerana hujan pada waktu petang kebelakangan ini.

“Padang SNBJ sudah mendapat mendapat kelulusan MC (komisioner perlawanan) untuk perlawanan. Penyokong Harimau Malaya digesa turun ke SNBJ untuk berikan sokongan paling padu,” tulis Hannah.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac di ruangan Instagram Story miliknya turut memuat naik gambar padang Stadium Nasional dengan kapsyen: “Kita jumpa esok kawan-kawan. 10 malam Stadium Nasional Bukit Jalil.”

Terdahulu, ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy dalam sidang media praperlawanan pagi tadi, memaklumkan bahawa pihaknya sudah sedia maklum mengenai keadaan padang Stadium Nasional yang kurang baik.

Beliau berkata, malangnya pihaknya dimaklumkan dengan cuaca di Malaysia yang kerap hujan dan mungkin padang tidak bersedia dengan baik.

“Pemain mengetahuinya dan akan bersedia dari segi fizikal, taktikal dan psikologi. Semalam kami dimaklumkan bahawa kami tidak akan berlatih di sana (Stadium Nasional) kerana padang tidak dalam keadaan baik untuk latihan, untuk Malaysia ataupun Oman, situasi tidak bagus untuk kedua-dua pasukan,” katanya.

Berdasarkan maklumat disediakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Harimau Malaya akan menjalani latihan di Wisma FAM, manakala Oman pula di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Sementara itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon berharap padang berkenaan berada dalam keadaan baik seperti dijanjikan sebelum ini.-Berita Harian

Bertahan bukan pilihan Harimau Malaya

Petaling Jaya: Pertukaran formasi atau rentak permainan akan dilakukan bagi mempertajamkan jentera serangan skuad Harimau Malaya untuk menghadapi Oman dalam perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Pertahanan skuad kebangsaan, Mohd Shahrul Mohd Saad berkata, ketika menentang Oman di tempat lawan, pasukan lebih banyak bertahan agar tidak mudah dibolosi dan kali ini di gelanggang sendiri, skuad bimbingan Kim Pan-gon itu akan lebih agresif memburu jaringan.

“Semestinya bermain di tempat kita, saya rasa akan ada pertukaran formasi terutama dari segi serangan. Kita tidak boleh hilang mata untuk perlawanan seterusnya, kita akan bagi all out untuk perlawanan di tempat kita.

“Perlawanan di Oman kita harus bertahan, di sini tidak boleh terus bertahan terlalu lama, kita mahu mata. Kita mahu lebih serangan dan berikan tekanan untuk mendapatkan kemenangan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu, Mohd Shahrul berkata berdasarkan perlawanan Jumaat lalu, mereka mengesan beberapa kelemahan pasukan Oman yang boleh dimanfaatkan pada perlawanan di Bukit Jalil nanti.

“Kita mampu melakukan sesuatu di tempat kita. Saya pasti kita mempunyai kekuatan sendiri bila bermain di tempat kita,” katanya.

Seorang lagi pemain pertahanan negara Corbin Ong berkata berdasarkan corak permainan Oman tempoh hari, beliau yakin skuad kebangsaan mampu melakukan sesuatu apabila berdepan pasukan di ranking ke-80 itu.

“Oman di ranking utama dalam pot (undian), jadi kita beri muka. Tapi saya yakin Malaysia boleh mencipta sesuatu menentang Oman Selasa ini. Lagipun, mereka bukan pasukan tanpa kalah atau apa-apa seperti itu,” katanya.

Pada aksi di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, Selasa lepas, skuad Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Oman, sekali gus hilang status pendahulu Kumpulan D apabila turun ke tangga ketiga walaupun berkongsi enam mata dengan Oman yang merampas kedudukan berdasarkan perbezaan gol.

Kyrgysztan di tempat kedua juga dengan enam mata manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.-Berita Harian

Prapemilihan atlet silat

PERTANDINGAN prapemilihan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sikamat, Negeri Sembilan yang dibatalkan baru-baru ini susulan kematian seorang pesilat Terengganu dijadual diadakan semula di Perlis bulan depan.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Bibi Aishah Golbal Shah, pihaknya perlu memilih 30 atlet dari setiap negeri pada kejohanan tersebut sebelum tarikh pendaftaran ke SUKMA 2024 di Sarawak ditutup Mei ini.

“Segala keputusan di Sikamat dibatalkan dan insya-Allah pertandingan prapemilihan SUKMA 2024 akan dilakukan sebelum Mei ini.

“Kami akan mencari 30 atlet dari setiap negeri bagi menyertai 26 acara dipertandingkan merangkumi lapan silat seni dan 18 silat olahraga pada SUKMA 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan,” ujar beliau.

Dalam kejadian pada kira-kira 5 petang Sabtu, pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin jatuh di atas gelanggang ketika pertandingan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.

Atlet berusia 20 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.20 pagi Ahad (3 Mac) dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Selising, Jertih, Terengganu kira-kira 10 malam pada hari sama. – WILAYAHKU

Prapemilihan atlet silat

PERTANDINGAN prapemilihan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sikamat, Negeri Sembilan yang dibatalkan baru-baru ini susulan kematian seorang pesilat Terengganu dijadual diadakan semula di Perlis bulan depan.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Bibi Aishah Golbal Shah, pihaknya perlu memilih 30 atlet dari setiap negeri pada kejohanan tersebut sebelum tarikh pendaftaran ke SUKMA 2024 di Sarawak ditutup Mei ini.

“Segala keputusan di Sikamat dibatalkan dan insya-Allah pertandingan prapemilihan SUKMA 2024 akan dilakukan sebelum Mei ini.

“Kami akan mencari 30 atlet dari setiap negeri bagi menyertai 26 acara dipertandingkan merangkumi lapan silat seni dan 18 silat olahraga pada SUKMA 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan,” ujar beliau.

Dalam kejadian pada kira-kira 5 petang Sabtu, pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin jatuh di atas gelanggang ketika pertandingan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.

Atlet berusia 20 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.20 pagi Ahad (3 Mac) dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Selising, Jertih, Terengganu kira-kira 10 malam pada hari sama. – WILAYAHKU

Majlis Sukan Negara Malaysia