Prapemilihan atlet silat

PERTANDINGAN prapemilihan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sikamat, Negeri Sembilan yang dibatalkan baru-baru ini susulan kematian seorang pesilat Terengganu dijadual diadakan semula di Perlis bulan depan.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Bibi Aishah Golbal Shah, pihaknya perlu memilih 30 atlet dari setiap negeri pada kejohanan tersebut sebelum tarikh pendaftaran ke SUKMA 2024 di Sarawak ditutup Mei ini.

“Segala keputusan di Sikamat dibatalkan dan insya-Allah pertandingan prapemilihan SUKMA 2024 akan dilakukan sebelum Mei ini.

“Kami akan mencari 30 atlet dari setiap negeri bagi menyertai 26 acara dipertandingkan merangkumi lapan silat seni dan 18 silat olahraga pada SUKMA 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan,” ujar beliau.

Dalam kejadian pada kira-kira 5 petang Sabtu, pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin jatuh di atas gelanggang ketika pertandingan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.

Atlet berusia 20 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.20 pagi Ahad (3 Mac) dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Selising, Jertih, Terengganu kira-kira 10 malam pada hari sama. – WILAYAHKU