FAM tingkat kawalan keselamatan pemain Harimau Malaya semasa tugasan rasmi

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memastikan kawalan keselamatan terhadap barisan pemain kebangsaan dipertingkatkan sepanjang tugasan rasmi bersama skuad Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kawalan keselamatan itu merangkumi ketika kem latihan pusat dan perjalanan sewaktu hari perlawanan di dalam mahupun luar negara.

Beliau berkata ia sebagai langkah memastikan keselamatan para pemain berada pada tahap optimum berikutan serangan jenayah melibatkan dua pemain kebangsaan iaitu Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Mohamad Faisal Abdul Halim atau dikenali Faisal Halim yang berlaku baru-baru ini.

“Kami sudah maklumkan kepada pegawai polis yang bertanggungjawab jaga pasukan semasa tugasan pasukan kebangsaan untuk betul-betul peka dengan pergerakan pemain. Tidak kira di dalam ataupun luar negara, perkara itu mesti jadi keutamaan.

“Perkara sama juga perlu dilakukan semasa kem latihan pusat. Selama ini memang kita ada pegawai polis yang menjaga pasukan tetapi mungkin kita perlukan lebih lagi selepas ini,” katanya dalam sesi temu bual khas bersama Bernama di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini. hari ini.

Mengenai insiden membabitkan dua pemain kebangsaan itu, Hamidin enggan membuat sebarang spekulasi termasuk kemungkinan terdapat unsur penglibatan sindiket mengatur perlawanan.

“Saya tidak pasti adakah ia secara kebetulan ataupun terancang. Perkara ini di luar pengetahuan saya. Saya kesal dengan apa yang berlaku,” kata Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Mengulas perkembangan Faisal Halim, Hamidin berkata pemain Selangor FC itu bakal terlepas baki dua perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada awal Jun ini.

“Berdasarkan lawatan dan maklumat yang saya terima semalam, beliau (Faisal Halim) mungkin memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan untuk pulih,” katanya.

– BERNAMA