Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 26, 2024

Silat mungkin pertandingkan 15 acara di Sukan Dalam Dewan dan Sukan Tempur Asia 2024

KUALA LUMPUR: Sukan silat di Sukan Dalam Dewan dan Sukan Tempur Asia 2024 yang dijadual berlangsung di Thailand pada November ini mungkin berlangsung sebanyak 15 acara berbanding 11 yang dicadangkan sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) , Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mengesahkan mesyuarat Ketua Kontinjen baru-baru ini membentangkan usul berkenaan dan ia juga merangkumi acara sukan yang lain.

Megat yang juga ketua kontinjen negara ke temasya berkenaan berkata, perkara berkenaan akan sekali lagi dibawa dalam mesyuarat ketua kontinjen kedua, tidak lama lagi.

“Memang dalam mesyuarat PESAKA tadi, kita membincangkan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan banyak program kita bentangkan dan persetujui bersama antaranya menyertai pertandingan persabahatan di Bali sebelum menyertai Kejuaraan Terbuka Uzbekistan pada Mei.

“Seterusnya kita akan buat persediaan untuk buat kejutan di Sukan Dalam Dewan dan Sukan Tempur Asia yang akan diadakan di Bangkok dan Pattaya pada November. Silat tersenarai dalam 35 jenis sukan dalam temasya itu,” kata Megat kepada media selepas Majlis Iftar Ramadan dan sumbangan hari raya Aidilfitri PESAKA hari ini.

Ditanya mengenai sasaran kontinjen negara di temasya berkenaan, Megat berkata, pihaknya masih belum dapat membuat keputusan memandangkan jumlah acara sukan dipertandingkan masih belum dimuktamadkan.

“Masih awal… dalam mesyuarat ketua kontinjen dihadiri di Bangkok baru-baru ini, kita ada buat sedikit rayuan mengenai jumlah acara dan kategori dipertandingkan. Ada kemungkinan mesyuarat ketua kontinjen kedua nanti, kita akan putuskan jumlah acara dan ini juga terpakai untuk silat.

“Sekiranya ada perubahan atau kekal, itu kemudian kita akan buat pengumuman mengenai sasaran pingat,” kata Megat.-Berita Harian

50 bekas atlet terima bantuan Ramadan, Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Seramai 50 bekas atlet dipilih menerima sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dengan kerjasama Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM) sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata bantuan berkenaan membabitkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000 berserta barangan keperluan asas bernilai RM200 hingga RM300 setiap seorang.

Beliau berterima kasih kepada DPMUM kerana meneruskan jalinan kerjasama ini sejak tahun 2022 lagi.

“Saya berada sedikit lega apabila masih ada yang hadir menghulurkan bantuan dan bertanya khabar. Mendengar keluh kesah bekas atlet seperti mana yang dilakukan YAKEB

“Baik bekas atlet normal mahupun para, kesemuanya dipantau dan mendapat segala yang diperlukan mengikut kesesuaian semasa,” kata Noorul ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan di sini, hari ini.

Sementara itu, bekas pelumba berbasikal negara, Rosman Alwi yang menjadi salah seorang penerima sumbangan, menzahirkan rasa syukur di atas keprihatinan YAKEB dan DPMUM menghulurkan sumbangan sempena Ramadan dan Syawal yang akan menjelang tiba.

“Saya mewakili semua bekas atelt mengucapkan terima kasih kepada YAKEB dan DPMUM di atas insentif mereka menghargai dan mengingati ahli-ahli sukan.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu bekas atlet meringankan beban keperluan harian.

“Saya harap bantuan ini akan berterusan. Tidak kira banyak atau sikit ia sekurang-kurangnya membantu belanja harian kami,” katanya.-Berita Harian

Jurulatih kebangsaan ‘korek’ ilmu pakar Jepun

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil langkah proaktif dalam usaha meningkatkan ilmu jurulatih kebangsaan menerusi penganjuran ‘High Performance Coach Education Series 2024’ dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan Institut Sukan Negara (ISN) yang bermula hari ini.

Program selama empat hari itu membabitkan jurulatih-jurulatih di bawah Program Podium, para, pelapis kebangsaan dan pelapis negeri dikendalikan oleh pakar-pakar daripada Nippon Sport Science University (NSSU) Jepun, diketuai Pengarah Akademi Pembangunan Kejurulatihan NSSU, Professor Masamitsu Ito.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir merasmikan program pada hari ini, berkata inisiatif terbaru itu membuktikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serius untuk memperkasakan bidang kejurulatihan menerusi budaya latihan prestasi tinggi (high performance culture in training) supaya selari dengan negara-negara kuasa sukan di benua Asia.

“Saya menyeru semua jurulatih dan pengurus sukan supaya menjadi ejen perubahan, “change agent” kerana budaya sukan prestasi tinggi lebih mampan adalah sesuatu yang amat kita perlukan ketika ini.

“Banyak yang boleh kita pelajari hasil jalinan kerjasama dengan NSSU ini kerana sukan prestasi tinggi sudah sebati dengan penggiat sukan di Jepun yang sentiasa meletakkan sasaran pencapaian tertinggi ketika mula melatih bakat-bakat muda di peringkat awal,” katanya.

Lima jurulatih tempatan daripada siri kursus kali ini bakal dipilih untuk menimba ilmu secara lebih mendalam mengenai budaya latihan prestasi tinggi secara tindikan (attachment) di universiti sains sukan terulung di Jepun itu yang mempunyai rekod menyumbang 41 pingat emas keseluruhan kepada kontinjen Jepun daripada temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.-Berita Harian

Rexy beri pilihan kepada Tze Yong

KUALA LUMPUR: Jadi juara BAC (Kejohanan Badminton Asia) atau lupakan Sukan Olimpik!

Itu reaksi Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berhubung peluang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Rexy, berkata semuanya kini terletak di tangan Tze Yong jika dia benar-benar mempunyai keinginan tinggi untuk beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Tze Yong ketika ini masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan, bulan lalu susulan kecederaan belakang dialaminya dan dijangka menyertai BAC yang menjadi kejohanan terakhir pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Semuanya terpulang kepada Tze Yong, sama ada dia yakin atau tidak untuk bermain di BAC.

“Jika tidak, lebih baik lupakan BAC dan fokus kepada Piala Thomas atau kejohanan lain.

“Jalan paling selamat untuk dia layak ke Olimpik adalah menjadi juara BAC.

“Jadi, semuanya terletak di tangannya, sama ada dia benar-benar dahagakan untuk beraksi di Olimpik,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di sini, hari ini.

Selepas terlepas banyak kejohanan awal musim ini susulan kecederaan belakang dialaminya, peluang tampak tipis buat Tze Yong untuk layak ke Sukan Olimpik apabila dia ketika ini berada di kedudukan ke-17 ranking kelayakan ke Paris.

Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia secara tidak rasminya sudah mengesahkan tiket ke Paris apabila dalam keadaan selesa di kedudukan ke-10 ranking kelayakan sebelum tarikh tutup pada 28 April depan.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan proses pemulihan Tze Yong, Rexy memaklumkan pergerakan pemain itu masih lagi terbatas di dalam gelanggang.

Katanya, perkara utama yang perlu dilakukan Tze Yong adalah mengatasi trauma susulan kecederaan dialaminya dalam usaha untuk mengembalikan semula keyakinannya.

“Datuk Tey Seu Bock (jurulatih perseorangan lelaki) juga ada beritahu saya ketika latihan di gimnasium Tze Yong ada rasa sedikit ‘fed up’, mahu buat ini tidak boleh, itu tidak boleh. 

“Kita semua mahu Tze Yong cergas sepenuhnya tetapi apapun berbalik kepada dirinya sendiri sama ada mahu push atau tidak kerana dia lebih memahami keadaan badannya, kami hanya pantau dan jaganya dari luar,” katanya.

BAC akan berlangsung di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini.-Berita Harian

MAJLIS PERASMIAN ‘HIGH PERFORMANCE COACH EDUCATION SERIES’

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah menyempurnakan Majlis Perasmian ‘High Performance Coach Education Series’ pada Selasa bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Bengkel yang diadakan pada 26 hingga 29 Mac 2024 itu bertujuan untuk mewujudkan budaya prestasi tinggi dalam latihan supaya jurulatih dan pengurus sukan tahu cara untuk mengendalikan sesi dan berkomunikasi dengan berkesan demi mencapai sasaran latihan yang dimahukan.

Seramai 172 orang yang hadir terdiri daripada Pengarah Teknikal / Kejurulatihan, Jurulatih Luar Negara, Jurulatih Program Kebangsaan, Jurulatih Negeri dan Pengurus Sukan.

Turut hadir sama YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dan YBhg. Datuk Marina Chin, Pengerusi Lembaga ISN dan Pengerusi Panel Advisory AKK.

PEMBELIAN PERALATAN LATIHAN DAN PERTANDINGAN SUKAN PARA POWERLIFTING 2024-Tutup

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

030501– PERALATAN SUKAN

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/022 /2024 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN PERALATAN LATIHAN DAN PERTANDINGAN SUKAN PARA POWERLIFTING 2024
TARIKH BUKA : 26 MAC 2024 (SELASA)
TARIKH TUTUP : 3 APRIL 2024 (SELASA)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang)
Bangunan Pentadbiran
Majlis Sukan Negara Malaysia
Kompleks Sukan Negara
57000 Bukit Jalil
Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
Wan Muhd Iskandar (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929973

Muat Turun: <Iklan><Spesifikasi><Maklumat Penyebutharga><Akuan Pembida>

Batrisyia permata harapan Selangor

Seremban: Hasrat Batrisyia Izzati Mohd Nasir untuk berada dalam senarai atlet yang akan mewakili Selangor pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak pada Ogos depan, semakin cerah.

Ini selepas atlet berusia 18 tahun itu meraih pingat emas kategori sanda 48 kilogram (kg) pada Kejohanan Terbuka Wushu Sanda King Kebangsaan 2024, yang berlangsung di Dewan NS Chin Woo, di sini, semalam.

Pada final acara itu, Batrisyia Izzati menewaskan atlet sepasukan, Vancy Lee Chee.

“Saya berharap kemenangan di kejohanan kebangsaan ini menjadi tiket terbaik untuk menempatkan diri dalam senarai atlet yang akan menggalas cabaran Selangor pada Sukma di Sarawak, Ogos nanti.

“Kejohanan Sukma sememangnya sasaran utama saya apabila menyertai cabaran dalam kejohanan ini, kerana ia sebahagian medan pemilihan atlet ke temasya sukan berkenaan.

“Alhamdulillah, saya berjaya memenangi pingat emas dan kejayaan ini akan membuka pintu untuk berjuang di peringkat lebih tinggi iaitu di Sukma,” katanya selepas diumumkan pemenang, semalam.

Batrisyia Izzati yakin kejayaan itu membuktikan tahap prestasi dan persediaannya untuk beraksi di Sukma semakin menjadi kenyataan.

Tambahan pula katanya, dia berjaya mempertahankan kejuaraan itu untuk kali kedua berturut-turut sekali gus merakamkan emas ketiga yang pernah dimenanginya melalui penyertaan dalam lima kejohanan sejak 2021.

“Saya tidak menyangka cabaran di peringkat akhir kali ini agak mudah walaupun belum pernah menentang Lee Chee sebelum ini. Namun, saya puas hati dengan kejayaan ini dan terus berusaha meningkatkan lagi tahap prestasi untuk memastikan impian beraksi di pentas Sukma dan menyumbang pingat buat Selangor, tercapai,” katanya.-Berita Harian

Naik taraf semua fasiliti Sukma Sarawak 2024 siap Jun

SEMUA fasiliti sukan yang sedang dinaik taraf di Sarawak akan siap menjelang bulan Jun ini sebagai persediaan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukam) edisi ke-21 yang dijadualkan dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, persiapan Sukma 2024 berjalan dengan lancar, dengan beberapa fasiliti yang sedang dibaik pulih sudah hampir siap sepenuhnya.

“Semalam saya pergi ke tiga fasiliti, antaranya Dewan Wushu baharu yang sedang dalam pembinaan dan mereka (kontraktor) beri jaminan Dewan Wushu itu akan siap Jun ini.

“Selain itu, saya juga melawat Stadium Sarawak yang akan digunakan untuk acara balapan dan acara padang, serta Kampung Sukan, tempat kontinjen Sarawak akan berkampung,” katanya selepas Majlis Pelancaran EV Motorcycles MYUS Autotech X Ebixon di Kuching, pada Selasa.

Abdul Karim berkata Sarawak antara negeri yang memberikan penekanan terhadap pembangunan sukan dan perkara itu telah mendapat perhatian pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau berkata, Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Isnin telah menyatakan hasrat beliau untuk berusaha membawa lebih banyak sukan peringkat antarabangsa ke Sarawak.

“Kita mempunyai kemudahan yang cukup, baik dari segi fasiliti akuatik dan stadium. Ini adalah sesuatu yang baik dalam usaha saya serta pasukan saya untuk menjadikan Sarawak negeri sukan berprestasi tinggi,” katanya. – Bernama

Lahir ‘Magic Boy’: Sudah sampai masa Muay Thai diberi tumpuan

JURULATIH Muay Thai negara, Bernard Radin optimis Malaysia mampu melahirkan lebih ramai jaguh Muay Thai negara seperti Mohammad Rifdean Masdor untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Beliau berkata, misi melahirkan atlet berbakat seperti Rifdean tidak boleh terhenti separuh jalan malah perlu dipergiat dari masa ke masa.

Menurutnya, sudah sampai masa untuk negara menumpukan kepada pembangunan sukan yang dilihat mampu menyerlah seperti Muay Thai dengan mengeluarkan bajet besar dan memberi fokus kepada pembangunan sukan tersebut.

“Mungkin sebelum ini atlet muda kita tidak mendapat peluang untuk beraksi dalam kejohanan berprestij iaitu ONE Championship, namun apabila peluang itu muncul mereka membuktikan anak Malaysia mampu cemerlang dalam sukan Muay Thai.

“Ini era baharu arena Muay Thai negara dan terbukti rakyat Malaysia mampu mencipta nama di kejohanan besar cumanya kebanyakan yang mempunyai bakat belum ada peluang untuk menyinar dalam peringkat antarabangsa,” kata Bernard ketika ditemui di Headhunter Academy Ipoh di sini hari ini.

Rifdean, 21, memulakan langkah sulungnya dalam ONE Championship dengan penuh bergaya apabila menumbangkan lawannya dari Thailand, Pichai Lookbanmai dalam tempoh 78 saat menerusi Technical Knockout (TKO) dalam pertarungan ONE Friday Fights 56.

Diberi nama jolokan ‘Magic Boy’, atlet Muay Thai kelahiran Sarawak yang mewakili kelab Sor Sommai membawa pulang bonus 350,000 baht (RM45,700) berikutan kemenangan dikecapinya di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok, Sabtu lalu.

Sementara itu Bernard berkata, pihaknya berharap pembabitan lebih banyak penyumbang dan penaja termasuk syarikat korporat dalam usaha untuk memajukan sukan itu.

“Rifdean telah mempamerkan kemahiran dan keazaman tinggi dalam penampilan sulungnya dan itulah yang saya nampak pada beliau sejak mula berlatih tujuh tahun lalu.

“Hanya mereka yang terlibat dalam sukan ini akan memahami betapa besarnya pengorbanan yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap tertinggi dan beliau (Rifdean) telah membuktikannya,” katanya.

Apa yang lebih membanggakan katanya, lebih banyak kelab Muay Thai berpangkalan di Thailand kini sedang mencari bakat baharu tempatan selepas mengetahui banyak atlet Thailand tumbang awal disebabkan penangan wakil negara.

Rifdean, menempa nama di pentas antarabangsa sejak remaja dan merupakan juara dunia bawah 23 tahun sebanyak tiga kali berturut-turut bermula daripada edisi 2021 di Thailand diikuti 2022 di Emiriah Arab Bersatu dan 2023 di Thailand.

Pada 2019, beliau telah merangkul kejuaraan remaja dunia di Turkiye selain turut memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Filipina pada tahun yang sama. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia