Silat mungkin pertandingkan 15 acara di Sukan Dalam Dewan dan Sukan Tempur Asia 2024

KUALA LUMPUR: Sukan silat di Sukan Dalam Dewan dan Sukan Tempur Asia 2024 yang dijadual berlangsung di Thailand pada November ini mungkin berlangsung sebanyak 15 acara berbanding 11 yang dicadangkan sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) , Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mengesahkan mesyuarat Ketua Kontinjen baru-baru ini membentangkan usul berkenaan dan ia juga merangkumi acara sukan yang lain.

Megat yang juga ketua kontinjen negara ke temasya berkenaan berkata, perkara berkenaan akan sekali lagi dibawa dalam mesyuarat ketua kontinjen kedua, tidak lama lagi.

“Memang dalam mesyuarat PESAKA tadi, kita membincangkan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan banyak program kita bentangkan dan persetujui bersama antaranya menyertai pertandingan persabahatan di Bali sebelum menyertai Kejuaraan Terbuka Uzbekistan pada Mei.

“Seterusnya kita akan buat persediaan untuk buat kejutan di Sukan Dalam Dewan dan Sukan Tempur Asia yang akan diadakan di Bangkok dan Pattaya pada November. Silat tersenarai dalam 35 jenis sukan dalam temasya itu,” kata Megat kepada media selepas Majlis Iftar Ramadan dan sumbangan hari raya Aidilfitri PESAKA hari ini.

Ditanya mengenai sasaran kontinjen negara di temasya berkenaan, Megat berkata, pihaknya masih belum dapat membuat keputusan memandangkan jumlah acara sukan dipertandingkan masih belum dimuktamadkan.

“Masih awal… dalam mesyuarat ketua kontinjen dihadiri di Bangkok baru-baru ini, kita ada buat sedikit rayuan mengenai jumlah acara dan kategori dipertandingkan. Ada kemungkinan mesyuarat ketua kontinjen kedua nanti, kita akan putuskan jumlah acara dan ini juga terpakai untuk silat.

“Sekiranya ada perubahan atau kekal, itu kemudian kita akan buat pengumuman mengenai sasaran pingat,” kata Megat.-Berita Harian