Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 30, 2024

Shah Firdaus tetap berlumba di Adelaide

KUALA LUMPUR: Atlet berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tetap menyertai saingan Piala Negara-Negara di Adelaide, Australia bermula Jumaat hingga Ahad ini meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Shah Firdaus yang cedera akibat kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai baru-baru ini, bakal mengharungi perlumbaan berkenaan bersama-sama Datuk Azizulhasni Awang bagi memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, menerusi perbincangan dengan Pengarah Teknikal PKBM, John Beasley, mereka berpandangan yang Shah Firdaus akan ke kejohanan berkenaan sebelum mengharungi perlumbaan seterusnya di Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi dari 21 hingga 26 Februari nanti.

“Dia mengalami luka-luka tetapi nasib tak patah. Apapun selepas berbincang dengan John, John kata dia masih bercadang membawa Shah ke Adelaide untuk Piala Negara-Negara tetapi mungkin prestasinya tidak akan begitu baik, tidak 100 peratus.

“Namun adalah penting untuk membawa Shah Firdaus ke sana dan kita pun tengah cuba melakukan yang terbaik untuknya apatah lagi Datuk Azizul pun ada di sana nanti.

“Namun saya percaya bahawa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia nanti, Shah Firdaus akan kembali di tahap prestasinya. Walaupun mengalami kecederaan, dia sepatutnya sudah dapat kembali pulih (pada ketika itu di New Delhi).

“Di New Delhi, itu juga kejohanan kelayakan tetapi selepas berbincang dengan pasukan, dia percaya dalam tempoh tiga minggu lagi, Shah Firdaus boleh kembali pulih. Selepas itu, pada Mac, ada Piala Negara-Negara di Hong Kong (15-17 Mac) dan kemudian di Milton, Kanada (juga Piala Negara-Negara pada 12-14 April).

“Jadi kita pastinya perlu mengambil kesempatan yang ada untuk menyertai semua Piala Negara-Negara supaya kita berada di kedudukan yang sepatutnya (ke Paris 2024),” kata Amarjit.

Tempoh kelayakan Paris 2024 bagi sukan berbasikal trek bermula sejak 19 Julai lalu sehingga 14 April ini.

Sebelum ini, Shah Firdaus yang dikenali sebagai ‘The Terminator Shah’ itu terbabit dalam satu kemalangan berkelajuan tinggi selepas tayar basikalnya meletup ketika memecut untuk mengejar motosikal di hadapannya – insiden yang sama seperti dilalui Azizulhasni sebelum Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu.

Akibat daripada kemalangan itu, atlet berusia 28 tahun berkenaan mengalami kecederaan di bahagian bahu kirinya, luka di keseluruhan bahagian paha dan bengkak di buku lali menyebabkan beliau tidak mampu untuk berjalan.

-Berita Harian

Jantung Azizulhasni belum stabil, Beasley perlu pantau di Adelaide

KUALA LUMPUR: Datuk Azizulhasni Awang akan dipantau oleh Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley pada penyertaan jaguh berbasikal trek negara itu pada Kejohanan Piala Negara-Negara di Adelaide, Australia yang bermula Jumaat ini.

Beasley memaklumkan yang Azizulhasni pada ketika ini perlu mengambil ubat perikarditis – ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Perikarditis adalah keradangan perikardium dan boleh menyebabkan cecair berkumpul di dalam karung perikardium.

Cecair yang berlebihan itu boleh mengakibatkan tamponad kardium dengan menghalang jantung daripada berdegup dengan betul atau menekan pembuluh jantung secara fizikal.

Begitupun, Beasley memaklumkan yang tahap keadaan dihadapi Azizulhasni tidak serius namun ia harus dipantau bagi mengelak daripada keadaan bertambah serius.

“Pada mulanya, kami menyangka ia adalah kesan dari virus yang dialaminya sebelum ini. Tapi selepas saya membawanya menyertai perlumbaan minggu lalu, dia mengalami sakit dan sesak di dada. Dia tidak berada dalam keadaan yang baik selepas perlumbaan itu. Azizul kemudiannya menjalani pemeriksaan lanjut berhubung keadaannya itu,” katanya.

Beasley dalam pada itu berkata, dia masih tidak pasti sama ada Azizulhasni akan beraksi dalam acara pecut individu di Adelaide kerana keutamaannya ketika ini adalah mengukuhkan mata kelayakan Olimpik Paris dalam acara keirin.

“Tidak pasti (untuk acara pecut) kerana dia masih belum 100 peratus pulih akibat perikarditis. Ubat yang dia ambil, sedikit mengganggu kondisi badannya. Perancangannya adalah untuk acara keirin dahulu dan kemudian kita lihat bagaimana reaksi tubuhnya,” katanya.

Untuk rekod, Azizulhasni pada 2022 menjalani pembedahan jantung terbuka selepas disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) sejak kecil.

Dia menghabiskan sebahagian besar untuk musim 2022 menjalani rawatan pemulihan dan kembali semula tahun lalu dengan memenangi emas berganda di Kejohanan Asia di Nilai (Jun).-Berita Harian

Skuad hoki 5s pasang impian ke final

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan hoki 5 sebelah (5s) negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib berharap pemain kekal merendah diri meskipun sudah menempah tempat ke separuh akhir Piala Dunia 2024 di Muscat, Oman hari ini.

Skuad kendalian Wallace Tan mara selepas menewaskan Trinidad & Tobago 5-4 di suku akhir dan bagi Sukri, pasukan kini mengharapkan dapat menjejakkan kaki ke pentas final dengan meraih kemenangan ke atas Poland pada aksi separuh akhir awal pagi esok.

“Untuk bertemu Poland, kita akan balik dan buat analisis tentang kekuatan dan kelemahan pasukan lawan. Penting untuk pemain dapat pulih bagi mempersiapkan diri bertemu Poland dan kita nak pergi sejauh boleh, kalau ke final itu lebih baik.

“Apa yang mustahak, pemain harus kekal merendah diri, tidak mendongak langit dan fokus untuk separuh akhir.

“Sudah pasti di separuh akhir, kita nak atasi Poland untuk ke final, tetapi pemain perlu tenang, merendah diri walaupun sudah ke separuh akhir,” katanya.

Pada aksi suku akhir hari ini, pasukan lawan terlebih dulu menjaringkan gol menerusi Akim Taussaint pada minit keenam sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian.

Mickell Pierre meletak pasukan di hadapan pada minit ke-10 sebelum Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran menyamakan kedudukan pada minit ke-12.

Namun keputusan terikat 2-2 itu tidak bertahan lama apabila Tariq Marcano kembali meletakkan Trinidad&Tobago di hadapan (m-14).

Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee mengikat kembali kedudukan selang tiga minit kemudian sebelum Kamarulzaman Kamaruddin meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-22.

Malaysia terus mengorak langkah meledakkan gol kelima menerusi jaringan Syarman Mat Tee pada minit ke-25 namun Trinidad & Tobago nyata masih tidak berputus asa sebelum meraih gol keempat mereka, hasil jaringan Teague Marcano.

“Syukur, Alhamdulillah, pasukan mara ke separuh akhir dan kita dapat lihat komitmen tinggi daripada pemain. Setiap pemain berusaha untuk buat yang terbaik hari ini. Persefahaman yang baik antara pemain dan jurulatih,” kata Sukri.-Berita Harian

Azeem belum jumpa rentak sebenar

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dirundung malang apabila gagal menempah slot di pentas final dalam acara 60 meter (m) pada Kejohanan Jemputan Razorback di Fayetteville, Amerika Syarikat kelmarin.

Pada kejohanan olahraga dalam dewan itu, Azeem sekadar menamatkan aksi saringan di tempat kesembilan keseluruhan selepas melakukan catatan masa 6.70 saat (s), sekali gus meleburkan hasratnya melangkah ke final.

Meskipun tidak dapat beraksi di final, namun pemegang rekod 60m kebangsaan itu berjaya memperbaiki catatan 6.76s yang dilakukan pada Harvey Glance Tide versus Tigers Dual Meet di Alabama dua minggu lalu.

Jika dibandingkan ­pencapaian dilakukan Azeem dalam dua kejohanan dalam dewan itu, ia masih jauh dengan rekod kebangsaan 6.62s dicatatnya sewaktu Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Clemson, Amerika Syarikat pada Februari tahun lalu.

Azeem, 20, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou tahun lalu percaya dia perlu bersabar dalam usahanya untuk terus memburu catatan masa terbaik.

“Belum lagi. Belum tiba lagi. Sabar,” kata atlet yang pernah mencipta sensasi apabila me­leburkan rekod 100m kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan selepas melakukan catatan 10.09s dua tahun lalu.

Sementara itu, atlet kelahiran Perak berkenaan turut menggalas misi besar tahun ini apabila meletakkan sasaran untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara 100m dan dia masih berpeluang melakukannya sehingga Jun depan.

Sekiranya mahu layak secara merit, penuntut Universiti Auburn, Alabama itu perlu melakukan catatan masa 10.00s iaitu 0.09s lebih pantas berbanding rekod kebangsaan yang dipegang­nya ketika ini.- Kosmo

Peluang ke suku akhir cerah

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky ternyata boleh menarik nafas lega dan gembira apabila skuad negara tidak diundi dalam kumpulan maut bagi saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang bermula 13 hingga 18 Februari depan.

Menurut Rexy, berdasarkan undian dijalankan secara atas talian hari ini, ia sudah pasti membuka peluang cerah buat skuad lelaki mara ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei.

“Sudah pasti kita akan ke suku akhir berdasarkan undian sebentar tadi. Ia akan membolehkan penganjur menjual tiket mereka dan penonton harus datang beramai-ramai memberi sokongan serta menyaksikan kejohanan menarik ini,” kata bekas pemain beregu lelaki Indonesia itu.

Ujarnya, beliau sudah memberitahu pemain supaya fokus kepada kejohanan ini dengan memberikan keputusan membanggakan serta berjuang habis-habisan selepas aksi buruk di Terbuka Malaysia.

“Berikan kegembiraan dan banggakan negara. Semua pemain sudah mempersiapkan diri dengan baik sekali walaupun kita dihimpit masalah kecederaan apabila perseorangan lelaki Justin Hao terpaksa diketepikan dan digantikan dengan Leong Jun Hao.

“Kita membariskan barisan terkuat dengan kehadiran perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Jun Hao, Ng Tze Yong dan pemain sedang meningkat naik, Eugen Owe.

“Beregu pula akan dibarisi gandingan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani serta Choong Hon Jian-Haikal Nazri,” katanya.

Bagi saingan wanita, Rexy juga yakin srikandi negara mampu melayakkan diri ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan Y bersama Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Skuad wanita diundi bersama Thailand dan UAE juga saya rasa kita akan ke suku akhir. Cuma kita harus realistik dalam perseorangan kerana ia sukar, sekurang-kurangnya seorang harus menang.

“Bagi beregu saya rasa 50-50 dengan Pearly Tan-Thinaah selalu berdepan pasangan nombor satu Thailand. Beregu kedua pula lebih menarik untuk dilihat, apa pun kita perlu menang untuk berada di tangga teratas kumpulan seterusnya mengelak bertemu China dan Jepun di suku akhir,” katanya.

Bagi skuad wanita pula empat pemain perseorangan dipertaruhkan iaitu Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching, manakala beregu dibarisi Pearly-Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Teoh Mei Xing-Tan Zhing Yi.

Tambah Rexy, kejohanan itu akan menjadi lebih menarik kerana menawarkan mata untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris.

“Saya sudah pasti China tidak menghantar skuad utama tetapi pemain lain mereka tetap perlu mencari mata untuk ke Olimpik. Mereka akan terus menggunakan ‘gear enam’ seawal saingan apabila bakal bertemu India, Hong Kong.

“Lagi pun sudah tidak banyak kejohanan yang menawarkan mata Olimpik kerana selepas ini hanya tinggal Seluruh England, Terbuka Perancis dan Swizterland. Ia akan berlangsung menarik di sini, kita akan melihat perlawanan berkualiti,” katanya.

-Harian Metro

BENGKEL PENYELARASAN PROGRAM BAKAT DAN PELAPIS 2024 BERSAMA MAJLIS SUKAN NEGERI

Satu Bengkel Penyelarasan Program Bakat dan Pelapis 2024 bersama Majlis Sukan Negeri sedang berlangsung pada 29 hingga 31 Januari ini bertempat di Hotel Mandurah, Pahang.

Seramai 63 orang peserta telah terlibat yang terdiri daripada Ketua Penyelaras dan penyelaras negeri dari 14 Majlis Sukan Negeri.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk menyampaikan halatuju kepada semua Majlis Sukan Negeri berkaitan perancangan Program Bakat & Pelapis tahun 2024 serta cadangan pelaksanaan Program Bakat & Pelapis di peringkat negeri.

Selain itu juga bengkel ini dijadikan sebagai medium perbincangan dan penambahbaikkan program bakat dan pelapis di peringkat negeri masing masing.

Akuatik Dunia medan buru tiket Olimpik

PETALING JAYA: Kejohanan Akuatik Dunia yang membuka tirai pada 2 hingga 18 Februari ini akan menjadi medan terakhir untuk skuad terjun negara memburu tiket ke Olimpik Paris.

Pengarah Teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Bryan Nickson Lomas bagaimanapun optimis dengan peluang penerjun-penerjun untuk meraih slot ke Olimpik Paris yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Jelasnya, antara penerjun yang berpotensi meraih tiket ke Paris kali ini adalah ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee dan Ooi Tze Liang.

“Ada beberapa atlet yang kita rasa tak ada masalah untuk layak. Macam Dhabitah, Wendy, Tze Liang, dan Datuk Pandelela.

“Kalau ikut latihan di China dan skor (markah) mereka masa sesi latihan di sana, tak ada masalah untuk layak.

“Cuma kita harapkan boleh layak lebih ramai lagi macam Jellson/ Enrique di 10m (meter) platform. Syafiq di 3m, dan semestinya acara yang paling susah nk layak acara terjun seirama.

“Tapi kita nk cuba fight untuk 10m dan 3m seirama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bertrand Rhodict Lises muncul penerjun pertama negara menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024, setakat ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik selepas meraih slot berkenaan susulan mara ke final acara 10 meter (m) platform individu lelaki individu pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lepas.

Pada kejohanan di Doha itu, 12 penerjun terbaik acara individu dan empat gandingan terbaik acara seirama akan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. – UTUSAN

Pasukan Hoki Wanita N. Sembilan azam pertahan pencapaian treble

SEREMBAN: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan berazam untuk mempertahankan pencapaian merangkul tiga piala tahun lalu iaitu semasa Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2023 pada pertandingan edisi tahun ini pula.

Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan (NSHA), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kejayaan mencipta sejarah sebagai pasukan pertama di negara ini yang melakar kejuaraan `treble’ iaitu memenangi Piala Sumbangsih, Piala Liga Hoki Wanita Malaysia dan Piala Vivian May Soars tahun lalu telah mengukuhkan semangat pasukan untuk mencatatkan pencapaian sama tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihak pengurusan pasukan telah membuat beberapa perubahan terhadap pemilihan pemain yang bakal membarisi pasukan dalam edisi 2024.

“Antara muka muka baharu yang akan menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim 2024 ini ialah Fazillah Sylvester Silin yang bertindak sebagai ketua pasukan, Anith Humaira Baharudin, Zati Elyani Mohd. Zubir, Qhairunisya Mohd. Zanili dan Surizan Awang Noh.

“Pasukan ini juga diperkukuhkan dengan khidmat dua pemain dari negara China, Zing Zhen Zhen dan Li Mei Ling serta gandingan para pemain yang berasal dari negeri ini,” katanya dalam ucapan pada majlis memperkenalkan Pasukan Hoki Wanita Negeri Sembilan bagi Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2024 di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Presiden NSHA, Datuk Masri Razali.

Aminuddin menambah, antara anak jati Negeri Sembilan dalam pasukan itu ialah penjaga gol kebangsaan, Nur Hazlinda Zainal Abidin, kapten pasukan Piala Razak Negeri Sembilan, Nor Adilah Abdul Malik dan bekas pemain pasukan remaja Malaysia, Nurfatin Dizana Mohd. Zaidi.

Katanya, pemain termuda untuk edisi kali ini ialah Nur Zariefah Dania Mazlan, 14, yang berasal dari Tampin dan kini bersekolah di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Jelasnya, kejohanan tahun ini akan membuka tirai pada 1 Februari ini dan Negeri Sembilan akan menjadi tuan rumah menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 5 petang di Stadium Hoki Seremban 2.

“Saya pasti Negeri Sembilan akan berjaya memulakan saingan musim ini dengan langkah kanan berdasarkan persediaan rapi yang telah dibuat oleh barisan kejurulatihan pasukan itu yang diterajui jurulatih berpengalaman, K. Rajan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pasukan itu juga akan memulakan tugasan mempertahankan Piala Sumbangsih yang mula diperkenalkan pada kejohanan tahun lalu apabila bertemu pasukan Malaysian University pada 7 Februari ini di Stadium Hoki Bukit Jalil.

“Saya yakin pasukan kita akan dapat mempertahankan ketiga-tiga trofi yang dipertandingkan dalam kejohanan tahun ini,” katanya.-UTUSAN.

Majlis Sukan Negara Malaysia