Jantung Azizulhasni belum stabil, Beasley perlu pantau di Adelaide

KUALA LUMPUR: Datuk Azizulhasni Awang akan dipantau oleh Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley pada penyertaan jaguh berbasikal trek negara itu pada Kejohanan Piala Negara-Negara di Adelaide, Australia yang bermula Jumaat ini.

Beasley memaklumkan yang Azizulhasni pada ketika ini perlu mengambil ubat perikarditis – ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Perikarditis adalah keradangan perikardium dan boleh menyebabkan cecair berkumpul di dalam karung perikardium.

Cecair yang berlebihan itu boleh mengakibatkan tamponad kardium dengan menghalang jantung daripada berdegup dengan betul atau menekan pembuluh jantung secara fizikal.

Begitupun, Beasley memaklumkan yang tahap keadaan dihadapi Azizulhasni tidak serius namun ia harus dipantau bagi mengelak daripada keadaan bertambah serius.

“Pada mulanya, kami menyangka ia adalah kesan dari virus yang dialaminya sebelum ini. Tapi selepas saya membawanya menyertai perlumbaan minggu lalu, dia mengalami sakit dan sesak di dada. Dia tidak berada dalam keadaan yang baik selepas perlumbaan itu. Azizul kemudiannya menjalani pemeriksaan lanjut berhubung keadaannya itu,” katanya.

Beasley dalam pada itu berkata, dia masih tidak pasti sama ada Azizulhasni akan beraksi dalam acara pecut individu di Adelaide kerana keutamaannya ketika ini adalah mengukuhkan mata kelayakan Olimpik Paris dalam acara keirin.

“Tidak pasti (untuk acara pecut) kerana dia masih belum 100 peratus pulih akibat perikarditis. Ubat yang dia ambil, sedikit mengganggu kondisi badannya. Perancangannya adalah untuk acara keirin dahulu dan kemudian kita lihat bagaimana reaksi tubuhnya,” katanya.

Untuk rekod, Azizulhasni pada 2022 menjalani pembedahan jantung terbuka selepas disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) sejak kecil.

Dia menghabiskan sebahagian besar untuk musim 2022 menjalani rawatan pemulihan dan kembali semula tahun lalu dengan memenangi emas berganda di Kejohanan Asia di Nilai (Jun).-Berita Harian