Pasukan Hoki Wanita N. Sembilan azam pertahan pencapaian treble

SEREMBAN: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan berazam untuk mempertahankan pencapaian merangkul tiga piala tahun lalu iaitu semasa Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2023 pada pertandingan edisi tahun ini pula.

Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan (NSHA), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kejayaan mencipta sejarah sebagai pasukan pertama di negara ini yang melakar kejuaraan `treble’ iaitu memenangi Piala Sumbangsih, Piala Liga Hoki Wanita Malaysia dan Piala Vivian May Soars tahun lalu telah mengukuhkan semangat pasukan untuk mencatatkan pencapaian sama tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihak pengurusan pasukan telah membuat beberapa perubahan terhadap pemilihan pemain yang bakal membarisi pasukan dalam edisi 2024.

“Antara muka muka baharu yang akan menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim 2024 ini ialah Fazillah Sylvester Silin yang bertindak sebagai ketua pasukan, Anith Humaira Baharudin, Zati Elyani Mohd. Zubir, Qhairunisya Mohd. Zanili dan Surizan Awang Noh.

“Pasukan ini juga diperkukuhkan dengan khidmat dua pemain dari negara China, Zing Zhen Zhen dan Li Mei Ling serta gandingan para pemain yang berasal dari negeri ini,” katanya dalam ucapan pada majlis memperkenalkan Pasukan Hoki Wanita Negeri Sembilan bagi Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2024 di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Presiden NSHA, Datuk Masri Razali.

Aminuddin menambah, antara anak jati Negeri Sembilan dalam pasukan itu ialah penjaga gol kebangsaan, Nur Hazlinda Zainal Abidin, kapten pasukan Piala Razak Negeri Sembilan, Nor Adilah Abdul Malik dan bekas pemain pasukan remaja Malaysia, Nurfatin Dizana Mohd. Zaidi.

Katanya, pemain termuda untuk edisi kali ini ialah Nur Zariefah Dania Mazlan, 14, yang berasal dari Tampin dan kini bersekolah di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Jelasnya, kejohanan tahun ini akan membuka tirai pada 1 Februari ini dan Negeri Sembilan akan menjadi tuan rumah menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 5 petang di Stadium Hoki Seremban 2.

“Saya pasti Negeri Sembilan akan berjaya memulakan saingan musim ini dengan langkah kanan berdasarkan persediaan rapi yang telah dibuat oleh barisan kejurulatihan pasukan itu yang diterajui jurulatih berpengalaman, K. Rajan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pasukan itu juga akan memulakan tugasan mempertahankan Piala Sumbangsih yang mula diperkenalkan pada kejohanan tahun lalu apabila bertemu pasukan Malaysian University pada 7 Februari ini di Stadium Hoki Bukit Jalil.

“Saya yakin pasukan kita akan dapat mempertahankan ketiga-tiga trofi yang dipertandingkan dalam kejohanan tahun ini,” katanya.-UTUSAN.