Fokus penentuan tempat ketiga

Ipoh: Skuad hoki negara perlu segera melupakan kekalahan pahit di tangan Jepun dan memberi fokus sepenuhnya untuk memenangi perlawanan terakhir Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) menentang Korea Selatan esok.

Apa sahaja keputusan bakal diraih menentang Korea, tidak memberi sebarang makna untuk Speedy Tigers berikutan peluang ke final dan mempertahankan kejuaraan sudah tertutup rapat.

Mata maksimum yang mampu diraih Malaysia adalah sembilan mata jika menang ke atas Korea, ketika Pakistan dan Jepun sudah pun mengumpul 10 mata selepas berakhir perlawanan keempat semalam.

Justeru, Malaysia hanya perlu fokus untuk beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat, Sabtu ini.

Bagi ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh skuad berwajah baharu di bawah bimbingannya itu masih dapat mempamerkan aksi cemerlang ketika bertemu Jepun, namun nasib nyata tidak menyebelahi pasukan negara.

“Kita perlu terus mengekalkan semangat yang bagus dan kekal bermain seperti biasa. Perlawanan (menentang Jepun) semua pemain bermain baik dan anda dapat lihat minit terakhir perlawanan mereka inginkan gol.

“Tetapi apabila anda tidak dapat menjaringkan gol selepas semua usaha keras dilakukan, bermakna ia bukanlah hari anda dan ini adalah lumrah dalam sukan hoki.

“Kemenangan menentang Korea Selatan akan memberi kita sembilan mata dan bakal beraksi di penentuan ketiga dan keempat.

“Selepas beberapa tahun saya kembali semula sebagai jurulatih kebangsaan, ini adalah proses pembelajaran dan kita akan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada aksi semalam, Jepun memperoleh gol pertama selepas Kazumasa Matsumoto melakukan pukulan kilas yang menewaskan penjaga gol skuad hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman pada minit ke-2 sebelum penyerang sensasi negara, Faizal Saari menyamakan kedudukan, juga menerusi pukulan kilas pada minit ke-31.

Bagaimanapun, Jepun kembali di depan selepas Taiki Takade menjaringkan gol padang 10 minit sebelum berakhir perlawanan yang juga gol kemenangan untuk skuad Samurai.-Harian Metro