Hajat Aaron-Wooi Yik sebelum Olimpik

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berharap dapat menguji kekuatan dengan pasangan utama dunia sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan nombor empat dunia itu sekurang-kurangnya akan beraksi dalam tiga kejohanan sebelum temasya di Paris bermula Masters Malaysia dari 21 hingga 26 Mei diikuti Terbuka Singapura (28 Mei hingga 2 Jun) dan Terbuka Indonesia (4 hingga 9 Jun).

Saingan Terbuka Indonesia dijangka menghimpunkan semua pasangan utama dunia memandangkan ia kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000.

Bekas juara dunia itu perlu menghasilkan keputusan positif dalam ketiga-tiga kejohanan berkenaan untuk sekurang-kurangnya kekal berada dalam kelompok empat terbaik dunia bagi mendapat kedudukan selaku pilihan di Olimpik Paris nanti.

Aaron, berkata masih banyak lagi ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan bagi meningkatkan prestasi mereka.

“Sekarang ini, prestasi kami perlahan-lahan meningkat tetapi kami belum mencapai kemuncak lagi.

“Kami masih ada beberapa kejohanan lagi untuk disertai dan berharap dapat menentang pasangan utama dunia. Jadi, kami boleh buat persiapan sebelum Olimpik.

“Sebelum temasya bermula, ada tempoh rehat empat hingga enam minggu, jadi penting untuk kami kekalkan momentum dan suasana beraksi dalam kejohanan,” katanya.

Aaron-Wooi Yik yang membantu skuad negara meraih pingat gangsa pada saingan Piala Thomas di Chengdu yang berakhir, Ahad lalu berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang ketika aksi separuh akhir.

Pada aksi berkenaan, Aaron-Woo Yik menang dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-12, 21-17 sekali gus menamatkan badi kekalahan di tangan Wei Keng-Wang Chang selepas tewas dalam tiga pertemuan terakhir sebelum itu.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya mencipta kejutan apabila memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.-Berita Harian