Skuad hoki 5s pasang impian ke final

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan hoki 5 sebelah (5s) negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib berharap pemain kekal merendah diri meskipun sudah menempah tempat ke separuh akhir Piala Dunia 2024 di Muscat, Oman hari ini.

Skuad kendalian Wallace Tan mara selepas menewaskan Trinidad & Tobago 5-4 di suku akhir dan bagi Sukri, pasukan kini mengharapkan dapat menjejakkan kaki ke pentas final dengan meraih kemenangan ke atas Poland pada aksi separuh akhir awal pagi esok.

“Untuk bertemu Poland, kita akan balik dan buat analisis tentang kekuatan dan kelemahan pasukan lawan. Penting untuk pemain dapat pulih bagi mempersiapkan diri bertemu Poland dan kita nak pergi sejauh boleh, kalau ke final itu lebih baik.

“Apa yang mustahak, pemain harus kekal merendah diri, tidak mendongak langit dan fokus untuk separuh akhir.

“Sudah pasti di separuh akhir, kita nak atasi Poland untuk ke final, tetapi pemain perlu tenang, merendah diri walaupun sudah ke separuh akhir,” katanya.

Pada aksi suku akhir hari ini, pasukan lawan terlebih dulu menjaringkan gol menerusi Akim Taussaint pada minit keenam sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian.

Mickell Pierre meletak pasukan di hadapan pada minit ke-10 sebelum Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran menyamakan kedudukan pada minit ke-12.

Namun keputusan terikat 2-2 itu tidak bertahan lama apabila Tariq Marcano kembali meletakkan Trinidad&Tobago di hadapan (m-14).

Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee mengikat kembali kedudukan selang tiga minit kemudian sebelum Kamarulzaman Kamaruddin meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-22.

Malaysia terus mengorak langkah meledakkan gol kelima menerusi jaringan Syarman Mat Tee pada minit ke-25 namun Trinidad & Tobago nyata masih tidak berputus asa sebelum meraih gol keempat mereka, hasil jaringan Teague Marcano.

“Syukur, Alhamdulillah, pasukan mara ke separuh akhir dan kita dapat lihat komitmen tinggi daripada pemain. Setiap pemain berusaha untuk buat yang terbaik hari ini. Persefahaman yang baik antara pemain dan jurulatih,” kata Sukri.-Berita Harian