Majlis Sukan Negara Malaysia
Piala Uber: Malaysia tewas, Jepun juara kumpulan

Kuala Lumpur: Skuad wanita negara terpaksa melupakan hasrat muncul juara kumpulan selepas tewas 1-4 kepada Jepun dalam aksi terakhir perlawanan peringkat kumpulan Piala Uber di Horsens, Denmark sebentar tadi.

Mereka yang sudah mengesahkan slot ke suku akhir terpaksa akur dengan kehebatan pemain negara Matahari Terbit itu ketika dalam perebutan juara Kumpulan B.

Tugas sukar itu bermula dengan perseorangan pertama K Letshanaa tumpas 19-21, 17-21 kepada pemain berpengalaman Jepun, Akane Yamaguchi.

Beregu pertama Ong Xin Yee–M Thinaah gagal menyaingi kepantasan pasangan Jepun, Yuki Fukushima–Mayu Matsumoto apabila tunduk mudah 9-21, 9-21.

Hasrat untuk melihat perseorangan kedua, Wong Ling Ching menghidupkan peluang skuad wanita negara tidak kesampaian apabila dia tewas di tangan Tomoka Miyazaki 16-21, 13-21, sekali gus mengesahkan kemenangan awal Jepun.

Bagaimanapun beregu kedua negara Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah Ramdan berjaya mencuri satu mata di atas kemenangan 21-17, 12-21, 21-19 ketika berdepan Rin Iwanaga–Kie Nakanishi.

Perseorangan ketiga Goh Jin Wei pula memberikan mata percuma selepas menarik diri ketika di kedudukan 21-19, 4-3 menentang Riko Gunji.

Jun Hao tewas, namun Malaysia ke suku akhir Piala Thomas

Kuala Lumpur: Skuad badminton lelaki negara mengesahkan slot ke suku akhir Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark selepas memenangi aksi kedua peringkat kumpulan dengan menumpaskan Finland 4-1, sebentar tadi.

Selepas menang tipis 3-2 ke atas England pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Sabtu lalu, Malaysia hanya perlu mencari kemenangan kedua untuk meloloskan diri.

Bagaimanapun, permulaan cemerlang yang diharapkan tidak berlaku pada aksi pembukaan apabila perseorangan pertama, Leong Jun Hao tumpas di tangan pemenang pingat gangsa Kejohanan Eropah 2024, Joakim Oldorff 17-21, 15-21.

Malaysia kembali mengikat kedudukan 1-1 apabila perseorangan kedua, Justin Hoh menghadiahkan mata sulung apabila mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-12 ketika berdepan Kalle Koljonen.

Perseorangan ketiga, Lee Zii Jia meletakkan Malaysia di depan buat kali pertama apabila mengalahkan Ananda Galvani Daniswara 21-19, 21-10.

Malaysia mengesahkan kemenangan apabila gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyumbang mata ketiga selepas mereka mengalahkan Eliel Melleri-Niilo Nyqvist 21-12, 21-15.

Beregu kedua negara, Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun melengkapkan aksi apabila menyumbang mata keempat selepas menundukkan Galvani Daniswara-Alvar Melleri 21-7, 21-14.

Aksi seterusnya buat pasukan lelaki negara ialah berdepan Jepun untuk persaingan merebut juara Kumpulan B, Rabu ini.

Shah Firdaus hormat, sokong apa jua keputusan Azizulhasni

Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menghormati apa jua keputusan Datuk Azizulhasni Awang sama ada meneruskan cabaran ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) atau sebaliknya.

Menurut Shah Firdaus, beliau secara peribadi berharap Azizulhasni terus kekal dalam skuad kebangsaan, namun menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada legenda berbasikal negara itu.

“Sebagai rakan sepasukan, saya memang berharap dia teruskan. Tapi apa pun keputusan dia, kita kena hormat.

“Saya tetap sokong apa saja yang dia buat,” katanya.

Shah Firdaus mengakui kehadiran Azizulhasni dalam pasukan memberi impak besar bukan sahaja dari segi prestasi, malah suasana dalam kem latihan.

“Saya nak dia ada dalam pasukan kalau boleh. Tak kisah sebagai pelumba atau peranan lain, sebab dia ada ‘good vibes’ dalam pasukan. Saya gembira dia kembali bersama kami,” katanya.

Pada masa sama, beliau melihat pengalaman luas dimiliki Azizulhasni menjadikan pendekatan latihan jaguh itu berbeza berbanding pelumba lain.

“Dia dah berpengalaman, jadi cara latihan pun lain.

“Dia tahu apa yang dia perlu buat, tak macam kita yang masih kurang berpengalaman,” katanya.

Mengulas perubahan prestasi Azizulhasni selepas bergerak sebagai pelumba profesional, Shah Firdaus berpandangan keputusan itu memberi kesan positif terutama daripada aspek mental.

“Saya rasa bila dia keluar daripada program, tekanan tu kurang untuk dia.

“Apabila dalam pasukan, kita ada KPI dan ‘expectation’ tinggi. Bila profesional, dia lebih bebas dan boleh urus diri sendiri,” katanya.

Sukma 2026 penting bagi persiapan atlet hadapi Sukan Sea 2027 – Taufiq

Kuching: Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 amat penting sebagai platform persediaan atlet negara ke arah Sukan Sea 2027, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufik Johari.

Beliau berkata, walaupun Sukma yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Ogos itu dilaksanakan secara berhemat, ia tidak akan menjejaskan jumlah sukan dipertandingkan.

“Sebarang perbincangan bersama Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) pada Rabu ini serta mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi pada Khamis akan datang, akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan penganjuran Sukma 2026 akan diteruskan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor.

Menurut KBS, Sultan Selangor memberi perkenan itu setelah menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, persiapan kemudahan sukan sempena Sukan Sea 2027 di negeri itu berjalan lancar walaupun berdepan cabaran.

Selangor teliti kos penganjuran Sukma 2026

Shah Alam: Kos penganjuran termasuk majlis pembukaan dan penutupan Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 antara perkara utama sedang diteliti kerajaan negeri bagi memastikan temasya itu dilaksanakan secara lebih berhemah tanpa pembaziran.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, langkah itu dibuat susulan titah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bersetuju agar penganjuran Sukma diteruskan, namun dengan pendekatan penjimatan kos.

Beliau berkata, perincian lanjut berkaitan penyesuaian perbelanjaan akan dibentangkan kepada Sultan Sharafuddin dalam sesi menghadap pada Rabu ini, sebelum diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 30 April ini.

“Kita junjung titah Tuanku yang memberi perkenan untuk teruskan penganjuran Sukma, namun dengan nasihat supaya kos dikurangkan.

“Jadi kita akan perincikan semula perbelanjaan termasuk cadangan ‘scale down’ bagi majlis pembukaan dan penutupan selain venue utama perasmian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Selangor sebelum ini mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk penganjuran sukan dwi tahunan dalam Bajet Khas Sukma XXII Selangor 2026.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bajet khas itu bagi memastikan penganjuran temasya itu berada di tahap terbaik.

Semalam, media melaporkan penganjuran Sukma Selangor akhirnya mendapat lampu hijau apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar penganjurannya diteruskan dengan pendekatan lebih berhemah dan berlandaskan penjimatan kos.

Perkenan itu diperoleh selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 April lalu bagi membincangkan kedudukan temasya berkenaan.

Mengulas berhubung perkenan Sultan Selangor, Mohd Najwan berkata, ia telah memberikan kelegaan kepada seluruh ekosistem sukan di negara ini dalam memberikan ruang kepada atlet menunjukkan bakat seterusnya mengenal pasti bakat baru untuk diketengahkan dalam sukan.

Beliau menegaskan, setakat ini tiada sukan digugurkan dengan 37 acara sukan termasuk penambahan silambam, muay thai dan petanque.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, proses naik taraf infrastruktur bagi penganjuran sukan itu hampir 80 peratus termasuk Pusat Akuatik Darul Ehsan, Seksyen 13 yang dijangka selesai bulan depan.

Mengulas berhubung suntikan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Mohd Najwan berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun saya akan bincang dengan pihak menteri (KBS) nanti dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 pada 30 April ini.

“Sekiranya di peringkat KBS tidak ada dana kewangan secara spesifik, kita mungkin boleh buat penyesuaian dari segi infrastruktur, kemudahan sukan atau dari hal-hal pentadbiran yang mungkin boleh dibantu di peringkat Persekutuan,” katanya.

Amarjit percaya Azizulhasni pilihan terbaik beraksi di LA 2028

Kuala Lumpur: Prestasi terkini Datuk Azizulhasni Awang membuktikan legenda berbasikal trek negara itu masih belum ‘kehabisan tenaga’, malah dilihat menyimpan hasrat untuk beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, walaupun keputusan akhir bergantung kepada Azizulhasni dan keluarganya, namun beliau melihat The Pocket Rocketman masih mahu meneruskan perjuangan ke Olimpik.

“Apa yang saya lihat, dia belum menemui titik penamat. Mungkin dia tidak mahu cakap secara terbuka, tetapi naluri saya kata dia masih mahu ke LA.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak dia, tetapi jika dia masih ada kemampuan dan kuasa kayuhan, kita tidak sepatutnya menafikan peluang itu,” katanya ketika ditemui media di Velodrom Nasional, Nilai semalam.

Menurutnya, PKBM perlu memberi ruang dan sokongan sepenuhnya kepada Azizulhasni, apatah lagi negara mempunyai kelompok pelumba Olimpik yang terhad.

“Kita kena akui pilihan atlet kita tidak ramai. Azizulhasni masih figura utama, selain Shah Firdaus Sahrom.

“Saya mahu lihat Azizulhasni di LA 2028. Harap kita boleh yakinkan dia untuk terus fokus, bermula dengan Sukan Komanwel, Sukan Asia dan seterusnya Olimpik,” katanya.

Mengulas sama ada Azizulhasni mampu beraksi sebagai pelumba profesional, beliau berkata, kerajaan perlu tampil memberi sokongan jika atlet itu terus membawa cabaran negara.

“Kalau dia dipilih ke Olimpik, kita perlu beri sokongan berbeza. Jika bergerak secara individu, kerajaan perlu bantu dari segi kewangan dan peralatan.

“Kita tidak boleh mengaku dia wakil Malaysia, tetapi tidak menyokongnya. Sokongan penuh perlu diberikan,” katanya.

Sementara itu, rakan sepasukan, Shah Firdaus, menegaskan dia sentiasa menyokong apa jua keputusan yang bakal dibuat Azizulhasni.

“Saya sebagai rakan sepasukan sentiasa sokong. Latihan dia sekarang pun berbeza sebab faktor pengalaman dan umur. Apa pun keputusan dia, saya sokong. Secara peribadi saya mahu dia kekal dalam pasukan hingga LA 2028,” katanya.

Menurut Shah Firdaus, status sebagai pelumba profesional juga memberi kelebihan dari segi tekanan.

“Saya rasa bila dia jadi profesional, tekanan kurang sebab tiada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) atau majikan. Dia lebih bebas dan berlumba sebab minat. Kesihatan mental itu penting untuk prestasi,” katanya.

Mengulas peranannya sebagai ‘ketua’ pasukan ketika ini, Shah Firdaus berkata, dia tidak tertekan untuk menandingi pencapaian Azizulhasni.

“Saya tak rasa tertekan. Saya tahu kemampuan saya. Saya tak perlu kejar dia kerana rezeki masing-masing berbeza.

“Malah dia menjadi pembakar semangat kepada saya. Kalau dia yang pernah jalani pembedahan jantung pun boleh berjaya, saya yang hanya jalani pembedahan lutut kecil ini pun boleh,” katanya.

PKBM idam anjur Kejohanan Dunia

Kuala Lumpur: Impian Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk membawa Kejohanan Berbasikal Trek Dunia ke Malaysia semakin hampir menjadi kenyataan selepas kejayaan menganjurkan pusingan akhir Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai.

Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill, memberi bayangan badan induk itu kini bersedia melangkah lebih jauh dengan membida hak penganjuran kejohanan dunia dalam tempoh terdekat.

“Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan. Ia membuktikan Malaysia dan PKBM ada kapasiti menganjurkan kejohanan bertaraf dunia.

“Kalau kita boleh anjur Piala Dunia, kita juga mampu anjur Kejohanan Dunia,” katanya pada hari terakhir Piala Dunia Trek 2026 semalam.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan proses bidaan perlu melalui kelulusan dalaman termasuk Ahli Jawatankuasa Eksekutif PKBM serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebelum permohonan rasmi dibuat.

Amarjit yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) melihat edisi 2029 atau 2030 sebagai sasaran paling realistik memandangkan hak penganjuran sehingga 2028 sudah diagihkan.

Dari segi kos, beliau menjelaskan acara trek lebih praktikal dengan anggaran sekitar €100,000 (RM464,180), jauh lebih rendah berbanding acara lebuh raya yang boleh mencecah kira-kira 7 juta Swiss Franc (RM35.2 juta).

Dalam perkembangan sama, skuad negara menamatkan kempen Piala Dunia Trek dengan satu emas dan satu gangsa hasil sumbangan Datuk Azizulhasni Awang bagi acara keirin serta pecut.

‘Banyak pengorbanan jika sertai LA 2028’ – Azizulhasni

Kuala Lumpur: Legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, belum bersedia membuat keputusan sama ada akan meneruskan karier hingga ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028, sambil menegaskan banyak faktor perlu dipertimbangkan.

Azizulhasni berkata, walaupun ramai pihak termasuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan agensi sukan tempatan mahu melihat dia beraksi di Olimpik keenam, pengorbanan peribadi menjadi keutamaan.

“Jika saya teruskan hingga LA 2028, banyak pengorbanan perlu dibuat. Saya kini bapa kepada empat anak dan sangat rapat dengan mereka.

“Isteri saya juga banyak berkorban. Walaupun dia memberi sokongan, masih banyak perkara perlu difikirkan,” katanya selepas meraih gangsa dalam acara pecut pusingan akhir Piala Dunia Trek 2026 semalam.

Menurut pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu, aspek kewangan turut menjadi pertimbangan utama kerana dia mahu bergerak sebagai pelumba profesional tanpa terlalu bergantung kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya perlukan penajaan kukuh jika mahu teruskan sebagai profesional. Selain itu, saya juga perlukan pasukan sains sukan untuk membantu terutama dari segi pemulihan kerana faktor usia,” katanya.

Pada usia 38 tahun, Azizulhasni masih membuktikan dia antara pelumba pecut terbaik dunia apabila meraih dua emas acara keirin dalam siri Piala Dunia Trek musim ini.

Dia menewaskan pencabar utama termasuk Matthew Richardson di Perth serta juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen di Velodrom Nasional, Nilai.

Lavreysen sendiri dilihat mendominasi sukan itu sejak lima tahun lalu dan dalam landasan untuk muncul antara pelumba terbaik sepanjang zaman.

Azizulhasni sebelum ini merancang bersara selepas Olimpik Paris 2024, namun membuat keputusan meneruskan karier sebagai pelumba profesional dengan sasaran menutup tirai selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Oktober ini.

Nora Lyana juara kategori wanita Terbuka Antarabangsa Thailand

Kuala Lumpur: Pemain boling wanita negara, Nora Lyana Nastasia Norkamal hari ini berjaya merangkul kejuaraan dalam kategori wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Thailand 2026.

Dalam aksi final stepladder yang mendebarkan di Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin, Bangkok, Nora Lyana menundukkan pemain Singapura New Hui Fen dengan 474 jatuhan pin bagi dua permainan.

Hui Fen hanya mencatatkan 353 jatuhan pin.

“Saya amat bersyukur kerana dapat meraih gelaran ini buat kali ketiga… ia begitu bermakna, lebih-lebih lagi kerana memberikan suntikan semangat menjelang Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) tahun ini.

“Keupayaan mengharungi keadaan lorong yang mencabar dan mara hingga ke penghujung benar-benar saya rasa bagaikan satu rahmat,” katanya ketika dihubungi.

Nora Lyana juga berharap dapat meneruskan momentum ini sepanjang tahun dan menampilkan prestasi cemerlang menjelang Kejohanan Asia 2026 pada November di Doha, Qatar.

PM terima kunjungan hormat Presiden OCA, bincang usaha perkukuh gerakan Olimpik

Kuala Lumpur: Usaha dan inisiatif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam memperkukuh Gerakan Olimpik di negara ini agar terus selari dengan kerangka kerjasama strategik bersama Majlis Olimpik Asia (OCA) menjadi tumpuan utama perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan delegasi OCA.

Anwar berkata, perkara itu dibincangkan semasa beliau menerima kunjungan hormat daripada Presiden Jawatankuasa Olimpik Qatar merangkap Presiden OCA Putera Sheikh Joaan Hamad Al Thani yang hadir bersama-sama delegasi dan wakil MOM dalam sesi pertemuan penuh bermakna.

Beliau berkata, dalam konteks perancangan jangka panjang, pertemuan itu turut menyentuh mengenai penganjuran Sukan Pantai, Sukan Belia dan Sukan Asia bagi tahun 2029.

“Insya-Allah, segala persiapan dan hala tuju akan dirangka secara kolektif bersama negara-negara anggota di bawah naungan OCA bagi memastikan penganjuran temasya sukan berprestij ini dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh negara tuan rumah kelak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.