Kuala Lumpur: Prestasi terkini Datuk Azizulhasni Awang membuktikan legenda berbasikal trek negara itu masih belum ‘kehabisan tenaga’, malah dilihat menyimpan hasrat untuk beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, walaupun keputusan akhir bergantung kepada Azizulhasni dan keluarganya, namun beliau melihat The Pocket Rocketman masih mahu meneruskan perjuangan ke Olimpik.
“Apa yang saya lihat, dia belum menemui titik penamat. Mungkin dia tidak mahu cakap secara terbuka, tetapi naluri saya kata dia masih mahu ke LA.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak dia, tetapi jika dia masih ada kemampuan dan kuasa kayuhan, kita tidak sepatutnya menafikan peluang itu,” katanya ketika ditemui media di Velodrom Nasional, Nilai semalam.
Menurutnya, PKBM perlu memberi ruang dan sokongan sepenuhnya kepada Azizulhasni, apatah lagi negara mempunyai kelompok pelumba Olimpik yang terhad.
“Kita kena akui pilihan atlet kita tidak ramai. Azizulhasni masih figura utama, selain Shah Firdaus Sahrom.
“Saya mahu lihat Azizulhasni di LA 2028. Harap kita boleh yakinkan dia untuk terus fokus, bermula dengan Sukan Komanwel, Sukan Asia dan seterusnya Olimpik,” katanya.
Mengulas sama ada Azizulhasni mampu beraksi sebagai pelumba profesional, beliau berkata, kerajaan perlu tampil memberi sokongan jika atlet itu terus membawa cabaran negara.
“Kalau dia dipilih ke Olimpik, kita perlu beri sokongan berbeza. Jika bergerak secara individu, kerajaan perlu bantu dari segi kewangan dan peralatan.
“Kita tidak boleh mengaku dia wakil Malaysia, tetapi tidak menyokongnya. Sokongan penuh perlu diberikan,” katanya.
Sementara itu, rakan sepasukan, Shah Firdaus, menegaskan dia sentiasa menyokong apa jua keputusan yang bakal dibuat Azizulhasni.
“Saya sebagai rakan sepasukan sentiasa sokong. Latihan dia sekarang pun berbeza sebab faktor pengalaman dan umur. Apa pun keputusan dia, saya sokong. Secara peribadi saya mahu dia kekal dalam pasukan hingga LA 2028,” katanya.
Menurut Shah Firdaus, status sebagai pelumba profesional juga memberi kelebihan dari segi tekanan.
“Saya rasa bila dia jadi profesional, tekanan kurang sebab tiada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) atau majikan. Dia lebih bebas dan berlumba sebab minat. Kesihatan mental itu penting untuk prestasi,” katanya.
Mengulas peranannya sebagai ‘ketua’ pasukan ketika ini, Shah Firdaus berkata, dia tidak tertekan untuk menandingi pencapaian Azizulhasni.
“Saya tak rasa tertekan. Saya tahu kemampuan saya. Saya tak perlu kejar dia kerana rezeki masing-masing berbeza.
“Malah dia menjadi pembakar semangat kepada saya. Kalau dia yang pernah jalani pembedahan jantung pun boleh berjaya, saya yang hanya jalani pembedahan lutut kecil ini pun boleh,” katanya.
