Majlis Sukan Negara Malaysia
Wei Chong–Kai Wun mara ke suku akhir Terbuka Perancis

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, melangkah ke suku akhir Terbuka Perancis 2025 selepas menewaskan pasangan England, Ben Lane–Sean Vendy, dalam aksi tiga set yang sengit sebentar tadi.

Pasangan pilihan ketujuh itu bermula perlahan apabila tewas 13-21 di set pertama, namun bangkit dengan corak permainan lebih agresif untuk memenangi dua set berikutnya 21-19, 21-14 bagi menamatkan pertarungan hampir sejam di Glaz Arena.

Kemenangan itu sekali gus memastikan kemaraan wakil negara ke kelompok lapan terbaik dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 itu.

Wei Chong–Kai Wun akan berdepan sama ada pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae atau beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh–Wang Chi Lin.

Nurul Izzah akur kepada juara Olimpik

Kuala Lumpur: Perjuangan wakil tunggal negara, Nurul Izzah Izzati Asri, dalam acara pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 berakhir selepas tewas di pusingan pertama kepada jaguh New Zealand, Ellesse Andrews, di Velodrom Penalolen, Santiago, Chile, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Izzah mengulangi pencapaian tahun lalu apabila turut terkandas di peringkat sama selepas tumpas kepada wakil Jerman, Alessa Catriona Propster, meskipun berjaya melepasi pusingan kelayakan.

Terdahulu, pelumba kelahiran Kedah berusia 22 tahun itu mencatat masa 11.019 saat (s) untuk menduduki tangga ke-26 daripada 34 pelumba pada pusingan kelayakan, sekali gus melayakkan diri ke pusingan pertama.

Namun catatan itu jauh daripada rekod kebangsaan 10.578s miliknya yang dilakukan di Kejohanan Piala Negara-Negara di Turkiye, Mac lalu.

Menentang Ellesse sememangnya satu ujian getir buat wakil negara, apatah lagi lawannya itu merupakan juara dunia pecut 2023 dan pemenang pingat emas berganda dalam acara pecut serta keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.

Tumpuan kini beralih kepada acara keirin yang bakal berlangsung Ahad ini, dengan Izzah berazam untuk menebus kekecewaan dan memperbaiki kedudukannya.

Tahun lalu, dia berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir sebelum menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan.

Tang Jie–Ee Wei ‘mandi peluh’ sebelum ke suku akhir

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, menempah slot ke suku akhir Terbuka Perancis selepas menundukkan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei–Nicole Chan, dalam aksi sengit di Arena Glaz sebentar tadi.

Tang Jie–Ee Wei terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 22-20, 17-21, 22-20 dalam pertarungan yang memakan masa 72 minit, apabila pasangan ranking ke-18 dunia itu memberikan tentangan hebat sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun, ketenangan dan ketahanan mental menjadi kunci kejayaan gandingan negara itu untuk memastikan tiket ke suku akhir menjadi milik mereka.

Tang Jie–Ee Wei bakal berdepan pasangan Hong Kong, Tang Chun Man–Tse Ying Suet, bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

Chun Man-Ying Suet sebelum itu menumpaskan gandingan Jepun,Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-23, 21-10, 21-14.

Sebelum ini, satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai, turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Scotland, Alexander Dunn–Julie Macpherson, 21-13, 21-10, dalam masa hanya 27 minit.

Pasangan suami isteri itu dijadual berdepan pilihan kedua dari China, Feng Yanzhe–Huang Dongping, pada aksi seterusnya.

Gabungan pemain skuasy senior, junior ke Sukan Sea Thailand – Cross

Kuala Lumpur: Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) menyifatkan persiapan skuad negara ke Sukan Sea Thailand, Disember depan berada pada landasan tepat dengan semua pemain menunjukkan prestasi positif.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Andrew Cross berkata, kebanyakan pemain kini sedang bersaing dalam kejohanan siri Persatuan Pemain Skuasy Profesional (PSA) bagi meningkatkan tahap kecergasan optimum agar dapat tampil dengan prestasi terbaik di Thailand.

“Semua pemain berada dalam keadaan baik untuk Sukan Sea dan kebanyakan mereka kini beraksi dalam kejohanan PSA di seluruh dunia serta akan kembali ke Malaysia pada akhir November.

“Kami akan menghantar skuad gabungan antara pemain muda dan berpengalaman mengikut kategori masing-masing untuk bersaing terutama dalam usaha memburu pingat emas.

“Skuad kali ini bukanlah pasukan junior semata-mata, namun bagi acara perseorangan, semua pemain adalah kategori senior.

“Bagi acara jumbo (beregu), syarat umur ialah bawah 21 tahun, sebab itu semua pemain dalam acara itu berusia bawah 21 tahun,” katanya.

Beliau menjangkakan saingan sengit bakal hadir daripada Filipina, Singapura dan Indonesia.

Di Sukan Sea Thailand, skuasy menawarkan empat pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan campuran.

Kontinjen Sukan Deaflympics Tokyo yakin bawa pulang tiga emas

Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara ke Sukan Deaflympics Tokyo 2025, Mohd Yusri Abdul Ghani optimis Malaysia mampu melakar pencapaian lebih baik berbanding edisi sebelum ini dengan meraih tiga pingat emas.

Beliau berkata, semua atlet ketika ini berada pada tahap terbaik dan mempunyai momentum cemerlang selepas mencipta rekod baharu 25 pingat emas, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada edisi kedua temasya Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia, Ogos lalu.

Justeru, katanya, sukan badminton dan boling akan menjadi sandaran utama kontinjen negara kerana atlet dilihat mempunyai peluang cukup baik dalam acara berkenaan.

“Antara sukan sasaran adalah badminton dan boling. Mungkin kita ada peluang untuk menang dua emas daripada badminton dan sasaran keseluruhan ialah tiga pingat emas pada Deaflympics di Jepun kali ini,” katanya.

Sementara itu, pemain boling Deaflympics negara, Syabil Azam Syamsul Azam yakin mampu meraih pingat emas dan membalas kepercayaan jurulatih.

Untuk rekod, pada edisi Deaflympics 2022, kem Malaysia membawa pulang dua pingat emas menerusi Boon Wei Ying-Foo Zu Tung (beregu wanita) dan boling berpasukan wanita.

Sukan Sea 2025: Silat sasar kekalkan momentum

Nilai: Pasukan silat negara berhasrat untuk mengekalkan momentum cemerlang yang pernah dicapai dengan menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara di pentas Sukan Sea termasuk di pentas yang sama edisi akan datang di Thailand, Disember depan.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Bibi Aishah Golbal Shah, bahawa pasukan di bawah pengurusannya itu akan memastikan pingat emas dapat terus diraih pada temasya berprestij rantau ini itu.

“Setakat ini, pasukan Malaysia di bawah kendalian saya belum gagal dari segi pungutan pingat terutama pingat emas dari apa yang kami sasarkan, malah lebih menjangkau daripada sasarannya.

“Jadi, pada Sukan Sea di Thailand ini, memang hajat saya dan pasukan hendak kekalkan prestasi di tahap yang tertinggi itu, jika di Kemboja sebelum ini, sasaran hanya tiga pingat emas, tapi kami berjaya membawa balik empat emas.

“Kami berharap perkara sama akan berlaku di Songkla (Thailand) nanti, walaupun empat pingat emas itu datang daripada atlet kita yang berpotensi, tapi kali ini kita kehilangan dua atlet itu, namun ia tidak akan menjejaskan misi kita,” katanya kepada media di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, petang tadi.

Terdahulu beliau mengiringi Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Sea Thailand 2025, Nazmizan Muhammad, yang menemui pasukan pesilat negara yang kini dalam persiapan terakhir menjelang temasya berkenaan, Disember depan.

Mengulas lanjut, Bibi Aishah berkata, pihaknya mengharapkan keajaiban berlaku kepada pesilat berprestasi tinggi negara, Nor Farah Mazlan, yang bakal beraksi bagi kategori Kelas B.

“Saya mengharapkan keajaiban kepada Farah dengan ketinggian fizikal, dia mampu mempamerkan aksi terbaik dan menewaskan pencabarnya kelak. Kami sasarkan untuk dia meraih pingat emas sebagai bonus kepada pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PESAKA sedia menyahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, untuk pasukan pesilat merealisasikan kutipan empat pingat emas.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi sasaran berkenaan atau menyumbang emas seberapa banyak yang mungkin.

“Beberapa atlet kita seperti Ummi Mashitah Hassan, Muhammad Robial Sobri, Muhammad Amirul Hakim Jaafar dan Mohamad Akmal Azman, berada pada persiapan serta pretasi terbaik ketika ini,” katanya yang yakin atlet silat negara mampu mengekalkan prestasi cemerlang ini di Sukan Sea nanti.

Sementara itu, Nazmizan menegaskan bahawa kontinjen negara berada pada landasan yang baik untuk menggalas cabaran dan menyerlah pada temasya Sukan Sea 2025 ini.

Menurut beliau, persiapan latihan bukan saja baru bermula tetapi atlet sentiasa melakukannya sepanjang masa.

“Saya melihat dari segi persiapan atlet, mereka kini rasa tidak sabar untuk beraksi dan ini suatu perkembangan yang positif.

“Kita mengharapkan mereka semua diberikan kesihatan yang baik untuk memastikan momentum ini dapat dikekalkan sehingga kejohanan dan seterusnya dapat merealisasikan sasaran yang kita tetapkan di Thailand nanti,” katanya.

Hoe Yean, Ariana dinobat Olahragawan dan Olahragawati ASWP 2023/24

Putrajaya: Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean dan pemanah sensasi, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan pada Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan (ASWP) 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, petang ini.

Kedua-dua atlet yang pernah membawa cabaran negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu masing-masing membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM8,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Hoe Yean, 23, yang turut beraksi cemerlang di pelbagai kejohanan antarabangsa menewaskan dua calon lain iaitu pemanah, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali dan penerjun, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim untuk gelaran Olahragawan Wilayah Persekutuan.

Kejayaan itu menyaksikan sukan renang kembali merangkul anugerah tertinggi ASWP selepas kali terakhir dimenangi perenang Ian James Barr pada edisi 2013/2014.

Bagi kategori wanita, Ariana, 20, membuktikan keunggulannya apabila mengetepikan cabaran atlet boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan atlet wushu, Kwan Yong Xin untuk dinobatkan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan.

Pemanah recurve muda kelahiran Kuala Lumpur itu menempah tiket ke temasya Paris 2024 dalam acara individu dan berpasukan selepas cemerlang di Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok serta Final Olympic Qualifier Archery In Paris 2024.

Sukan renang turut mendominasi ASWP kali ini apabila dua perenang muda, Muhammad Dhuha Zulfikry dan Chong Xin Lin, diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan Wilayah Persekutuan sebelum masing-masing membawa pulang Piala iringan, wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Olahragawan Para Wilayah Persekutuan menjadi milik Cheah Liek Hou, pemenang dua pingat emas Paralimpik yang terus menjadi inspirasi sukan para negara, manakala kategori Olahragawati Para Wilayah Persekutuan dimenangi perenang Asyiil Raziin Razman, pemegang rekod kebangsaan baharu acara 100 meter gaya bebas multi-class S14.

Dalam kategori berpasukan, Pasukan Bola Sepak Wilayah Persekutuan yang meraih pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024, diumumkan sebagai Pasukan Lelaki Terbaik Wilayah Persekutuan.

Manakala Pasukan Bola Jaring Wilayah Persekutuan pula mengekalkan penguasaan apabila sekali lagi membawa pulang trofi Pasukan Wanita Terbaik Wilayah Persekutuan, menjadikannya kejuaraan tiga kali berturut-turut.

Ziyad tekad buktikan usia bukan penghalang raih pingat

Kuala Lumpur: Usia mungkin mengejar, tetapi semangat atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli masih membara untuk menghadiahkan pingat buat negara.

Dalam dunia olahraga para yang semakin dikuasai generasi muda, Ziyad membuktikan dirinya masih releven apabila menghadiahkan pingat gangsa acara lontar peluru F20 di Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi, India, awal bulan ini.

Namun, dia mengakui faktor usia mula menjadi cabaran.

“Sejujurnya, ya, faktor usia memang memainkan peranan. Tapi saya nak menunjukkan faktor usia ini bukan satu penghalang untuk saya terus berjaya dan melakar nama di pentas dunia.

“Kalau tengok, usia lawan saya semua 10 tahun lebih muda daripada saya. Sebagai seorang yang senior dalam kategori ini, saya ingin menunjukkan saya masih boleh berdaya saing.

“Saya akan tunjukkan, biarpun tua masih mampu menghadiahkan pingat,” katanya yang kini berusia 34 tahun.

Pada kejohanan dunia lalu, Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.26 meter (m) untuk membawa pulang gangsa, manakala emas dimenangi wakil Ukraine, Oleksandr Yarovyi, dengan catatan 17.73m, sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri yang dicatat ketika memenangi emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan balingan 17.61m.

Pingat perak pula milik rakan senegaranya, Maksym Koval, dengan catatan 17.52m.

Mengulas prestasi di kejohanan dunia itu, Ziyad mengakui tahap persaingan kini semakin sengit dengan kehadiran atlet muda yang memiliki kekuatan serta teknik lebih mantap.

“Saya rasa latihan dan persiapan saya sama seperti kejohanan lain, cuma persaingan kali ini lebih kuat.

“Mereka lebih berkuasa dan teknik mereka lebih baik. Saya sudah bertanding selama 15 tahun dan perkara ini saya lalui setiap kali,” katanya.

Ziyad turut yakin akan kemunculan pelapis baharu yang bakal meneruskan legasi lontar peluru negara.

“Insya-Allah, ada. Jurulatih pun sudah ambil beberapa atlet baharu yang berpotensi. Tapi proses ini ambil masa, bukan hari ini masuk, hari ini boleh jadi juara.

“Dua tiga tahun lagi, Insya-Allah akan muncul pelapis yang mampu menjuarai kejohanan dunia nanti,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangannya selepas ini, Ziyad menjelaskan dia kini menunggu pengesahan untuk beraksi di Sukan Para Asean di Thailand pada Januari depan, yang disifatkannya sebagai satu lagi pentas penting dalam perjalanan kariernya.

“Saya sedang berbincang dengan jurulatih. Sebelum ini saya tidak dapat bertanding atas faktor pemilihan, tapi kali ini nama saya ada.

“Insya-Allah dapat bermain dan saya harap dapat pergi,” katanya dengan penuh harapan.

Soon Huat–Shevon mara bergaya ke suku akhir Terbuka Perancis

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai mara bergaya ke suku akhir Terbuka Perancis selepas menundukkan pasangan Scotland, Alexander Dunn–Julie Macpherson 21-13, 21-10, sebentar tadi.

Pasangan suami isteri itu hanya memerlukan 27 minit untuk melakar kemenangan pusingan kedua di Arena Glaz.

Kejayaan berkenaan turut menyaksikan peningkatan prestasi berbanding edisi tahun lalu apabila mereka tersingkir seawal pusingan pertama kepada beregu tuan rumah, Thom Gicquel–Delphine Delrue.

Soon Huat–Shevon kini bakal berdepan sama ada pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul–Sapsiree Taerattanachai atau pilihan kedua dari China, Feng Yanzhe–Huang Dongping di peringkat suku akhir.

Gandingan profesional itu masih memburu gelaran pertama musim ini selepas mara ke dua separuh akhir dan 11 suku akhir setakat ini.

Mereka sekarang ini menghuni ranking kesembilan dunia dan pasangan kedua terbaik negara di belakang Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Kekalahan di tangan Axelsen pengajaran berharga buat Jun Hao

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui masih ada jurang perlu diperbaiki selepas gagal menandingi kehebatan juara Olimpik dua kali dari Denmark, Viktor Axelsen pada aksi Terbuka Perancis 2025 di Glaz Arena, semalam.

Meskipun tersingkir awal di Terbuka Perancis 2025, pemain perseorangan lelaki negara itu mengakui semangatnya tidak pernah luntur dan bertekad menjadikan kekalahan itu sebagai pengajaran berharga untuk bangkit lebih kuat dalam kejohanan seterusnya.

Jun Hao yang kini menamatkan siri jelajah Eropahnya berkata, saingan di benua itu memperlihatkan tahap sebenar permainan dan ruang yang perlu dipertingkatkan untuk bersaing dengan pemain elit dunia.

“Dua jelajah Eropah ini menampilkan pihak lawan yang agak sukar dan ia menunjukkan apa perlu saya lakukan atau apa yang saya ada. Saya akan terus membina dan menambah baik dari situ.

“Mungkin sebahagian daripada gaya permainan atau kecergasan yang perlu ditambah supaya saya boleh mengekalkan kelajuan. Saya juga akan menambah beberapa perkara secara berperingkat,” tambahnya.

Berkongsi mengenai perlawanan menentang Axelsen, pemain berusia 25 tahun itu mengakui sedikit gementar terutama di permulaan set kedua sehingga memberi kelebihan kepada lawannya untuk mengawal rentak permainan.

“Pada perlawanan kedua, mungkin pada permulaan mata saya agak gementar dan terlalu banyak berfikir semasa cuba menyukarkan keadaan kerana dia sangat hebat di gelanggang.

“Jurulatih saya (Kenneth Jonassen) banyak membantu saya dengan beberapa taktik atau apa yang sering dia (Axelsen) lakukan dan saya akan cuba perbaikinya lagi selepas ini,” katanya.

Dalam aksi pusingan awal yang berlangsung selama 43 minit, Jun Hao tewas 16-21, 15-21 kepada Axelsen yang kini menghuni ranking ke-26 dunia.

Kekalahan itu juga menyaksikan pemain negara itu masih belum berjaya menewaskan bekas juara dunia berkenaan dalam dua pertemuan mereka setakat ini, selepas turut kecundang di Terbuka Singapura tahun lalu.