Majlis Sukan Negara Malaysia
Emma Firyana berjaya mara ke final

Kuala Lumpur: Jaguh boling padang, Emma Firyana Saroji menceriakan kem negara apabila berjaya melangkah ke pentas akhir perseorangan wanita Piala Dunia 2025, sebentar tadi.

Beraksi di halaman sendiri, Emma Firyana menggunakan kelebihan itu sebaik mungkin untuk menewaskan pesaing dari Australia, Dawn Hayman 2-1 pada separuh akhir yang penuh sengit di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Bagaimanapun, pemain berpengalaman itu dikejutkan pada set pertama sebelum bangkit dalam dua set seterusnya untuk memastikan sekurang-kurangnya pingat perak sudah berada dalam genggaman pasukan negara.

“Prestasi saya sebenarnya agak turun naik kerana masih mencari momentum terbaik untuk kejohanan ini.

“Namun Alhamdulillah, segala perancangan hari ini menjadi dan saya berjaya ke final,” katanya.

Sementara itu, hasrat untuk melihat pertemuan sesama sendiri tidak kesampaian apabila seorang lagi wakil negara, Nurul Alyani Jamil tewas 0-2 kepada pemain England, Katherine Rednall.

Kekalahan itu menyaksikan Alyani muncul wakil pertama negara menyumbang pingat gangsa buat kem negara.

“Saya akan cuba ubah warna pingat ini apabila turun bersama Emma dalam acara berpasangan wanita bermula esok,” katanya.

Pada perkembangan sama, perjuangan beregu lelaki berakhir di peringkat kumpulan selepas gandingan Izzat Shameer Dzulkeple–Soufi Rusli sekadar menamatkan saingan di tangga keempat.

Hafizuddin pimpin cabaran negara

Kuala Lumpur: Jaguh petanque negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud, kembali menjadi sandaran utama Malaysia apabila mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Petanque Asia yang membuka tirai esok di Arena Petanque Kuala Lumpur, Pudu Ulu, Cheras.

Selepas mencipta sensasi di pentas dunia dengan pingat gangsa acara perseorangan lelaki di Kejohanan Dunia di Rom, Itali, September lalu, Hafizuddin kini menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan skuad negara mampu menaiki podium di laman sendiri.

Bukan sekadar pengalaman dan reputasi, Hafizuddin membawa semangat baharu buat kontinjen negara yang optimis mengekalkan rentak positif di pentas Asia.

“Kejayaan di Rom jadi pembakar semangat. Kami mahu buktikan Malaysia masih kuasa besar Asia dalam sukan ini,” kata sumber dalam pasukan ketika ditemui.

Turut mencuri perhatian ialah barisan atlet wanita negara, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Jasnina Jasmine Johan Johnson dan Nur Durratul Sahira Yazit yang kini berada di prestasi terbaik selepas aksi meyakinkan di Kejohanan Dunia Triple Wanita di Perancis bulan lalu.

Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan oleh Konfederasi Sukan Boules Asia (ASBC) untuk menganjurkan kejohanan berprestij ini, selepas edisi 2018 dan 2023, susulan perpindahan venue asal dari Iran kerana faktor keselamatan dan logistik.

Sebanyak 141 peserta dari 15 negara akan bersaing dalam dua acara utama ‘precision shooting’ dan ‘triple’ bagi kategori lelaki, wanita serta remaja sepanjang empat hari kejohanan.

Menurut Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng, penganjuran kali ketiga ini menjadi pengiktirafan besar buat Malaysia di pentas serantau.

“Kita amat berbangga diberi kepercayaan menganjurkan kejohanan penting ini. Penyertaan meluas termasuk lapan negara Asia Tenggara menjadikan saingan lebih sengit, terutama menjelang Sukan Sea Thailand Disember ini,” katanya.

Edisi kali ini turut dianggap sebagai medan terbaik menguji keupayaan skuad negara menjelang Sukan Sea Thailand, dengan lapan negara Asia Tenggara, Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Singapura, Filipina dan Brunei, menjadikan kejohanan ini sebagai platform pemanas badan terakhir.

Dengan momentum positif dan kelebihan beraksi di laman sendiri, harapan tinggi disandarkan kepada Hafizuddin dan rakan sepasukan untuk membawa pulang keputusan membanggakan di hadapan penyokong sendiri.

Faizal mahu kembali beraksi

Kuala Lumpur: Selepas 10 bulan berehat, bekas penyerang hoki negara, Faizal Saari meluahkan hasrat untuk keluar daripada dunia persaraan dan kembali menyarung jersi Speedy Tigers sekiranya diberikan ruang dan peluang oleh barisan kejurulatihan negara.

Menurut Faizal, dia sentiasa bersedia memberikan komitmen terbaik andai dipanggil semula ke pangkuan pasukan Malaysia selepas pernah menjadi antara penggempur utama negara suatu ketika dahulu.

“Hasrat untuk kembali ke skuad kebangsaan sentiasa ada dalam diri saya. Jika diberi ruang dan peluang, insya-Allah saya sedia menabur bakti,” katanya di Instagram miliknya.

Jelas penyerang berpengalaman negara itu, usia bukan penghalang buatnya selagi fizikal, disiplin dan prestasi masih mampu berada pada tahap kompetitif untuk membantu skuad negara.

“Saya tetap berlatih, saya jaga fizikal saya dan saya masih percaya saya mampu beri sesuatu kepada pasukan negara,” katanya.

Untuk makluman, Faizal antara penjaring paling prolifik buat Malaysia dan memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa termasuk Piala Dunia, Piala Asia serta siri kejohanan besar lain.

Pengumuman dari pemain itu dilihat satu perkembangan positif dan mampu menambah kekuatan pasukan negara terutama dalam Kelayakan Piala Dunia awal tahun hadapan.

Untuk rekod, penyerang berusia 34 tahun itu mengambil keputusan untuk bersara daripada mewakili pasukan negara pada Februari lalu selepas 15 tahun menabur bakti bersama Speedy Tigers.

Sejak mewakili negara seawal usia 18 tahun, Faizal sudah membuat 302 penampilan bersama pasukan Malaysia.

Gandingan Emma–Alyani jadi taruhan

Kuala Lumpur: Skuad boling padang negara melihat gandingan Emma Firyana Saroji–Nurul Alyani Jamil yang akan turun dalam acara beregu wanita mampu menghasilkan keputusan positif pada Piala Dunia 2025 di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, esok.

Ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh berkata, beliau melihat Emma Firyana–Alyani mempunyai keserasian yang baik dan mampu menampilkan persembahan cemerlang meskipun perlu berdepan tentangan sengit nanti.

Malah, keputusan muncul naib juara Kejohanan Terbuka Australia baru-baru ini menjadi petanda positif menjelang saingan kali ini.

“Keputusan (Terbuka Australia) adalah keputusan positif kerana ia kejohanan yang paling berprestij di dunia. Mereka mampu menghadapi cabaran besar itu dan ia sudah cukup menjadi petanda baik untuk pasukan kita.

“Namun, cabaran Piala Dunia ini berbeza. Tak sama seperti kejohanan-kejohanan lain yang mereka lalui dan saya berharap wakil kita berjaya menghadapi ujian yang ada di sini, terutama tekanan sebagai tuan rumah,” katanya.

Selain itu, pemilihan pasangan berkenaan dibuat berdasarkan prestasi semasa selain pencapaian antarabangsa serta sikap profesional yang ditunjukkan sepanjang latihan.

“Pemilihan mereka dibuat berdasarkan ranking, prestasi, penyertaan di kejohanan luar negara serta pencapaian tertinggi masing-masing.

“Emma sebelum ini memenangi pingat gangsa di Champion of Champions World Cup di Aberdeen manakala Alyani pula meraih pingat emas di kejohanan Asia baru-baru ini. Semua kriteria itu diambil kira oleh persatuan.

“Kelayakan mereka berdasarkan merit sepenuhnya. Semua aspek termasuk disiplin dan semangat pasukan diberi perhatian,” katanya.

Untuk makluman, kedua-dua pemain itu turut beraksi dalam acara perseorangan semalam dengan permulaan yang agak baik dan diharapkan mampu mencipta kejayaan lebih besar dalam acara beregu.

Kai Wun tak rela sejarah lalu berulang

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun tidak mahu sejarah tahun lalu berulang dan kini akan terus berjuang untuk memastikan mereka layak selaku pasangan kedua ke Jelajah Dunia Akhir BWF bulan depan biarpun perlu bertarung dalam kondisi tidak cergas sepenuhnya.

Jelas Kai Wun, ketika ini kedudukan mereka sangat cerah untuk layak dan sebab itu dia akan tetap berjuang meskipun kini berdepan kecederaan yang mungkin boleh memberi kesan terhadap prestasi dalam gelanggang.

Katanya, kecederaan betis yang dialami ketika Terbuka Hylo tidak akan mengganggu dan tetap akan memberi fokus kepada pertandingan akan datang untuk memastikan kedudukan mereka ke Jelajah Akhir lebih terjamin.

“Betis saya masih ada bengkak. Saya rasa ada lagi koyak (kesan kecederaan) sedikit, tapi tak pasti. Mungkin esok (hari ini) baru kena imbasan sekali lagi untuk tahu sama ada ada perubahan ke arah lebih baik atau sebaliknya.

“Kita akan sertai Masters Jepun sebab tiket kita ke Jelajah Akhir BWF masih belum pasti. Jadi, kita perlu bermain dulu kerana setakat ini peluang kita untuk mara agak cerah. Kita akan berjuang untuk itu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kecederaan itu akan memberi kesan besar terhadap peluang ke Jelajah Akhir BWF, Kai Wun mengakui sedikit terganggu pada awalnya namun tetap positif.

“Mula-mula saya tengok kecederaan ini, memang susah hati. Masa itu dalam dua tiga hari saya berfikir dan hanya diri sendiri tahu apa yang dirasai. Semua orang tak tahu. Orang luar nampak macam okay saja, tapi hati kita siapa tahu,” katanya.

Untuk rekod, pasangan utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik sudah mengesahkan tempat dan kini, Wei Chong–Kai Wun berada di kedudukan ketiga dunia (Jelajah Akhir BWF) memerlukan keputusan positif dalam beberapa kejohanan akan datang.

Untuk layak, mereka perlu memastikan tempat sekurang-kurangnya di suku akhir dan sekiranya mara ke separuh akhir serta final, peluang itu lebih besar untuk memihak kepada gandingan negara itu.

Untuk rekod, tahun lalu mereka hampir layak namun disebabkan tidak konsisten dalam beberapa pertandingan terakhir, tempat mereka dipintas oleh Aaron-Wooi Yik.

KBS bantu pembangunan golf wanita

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggiatkan usaha pembangunan golf wanita menerusi sokongan terhadap Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) termasuk menyediakan dana bagi penganjuran klinik golf bersama pelajar sekolah.

Menterinya Hannah Yeoh berkata langkah itu antara inisiatif berterusan kerajaan dalam memastikan sukan golf khususnya dalam kalangan wanita terus berkembang dan melahirkan lebih ramai pemain pelapis berpotensi tinggi.

“Sekarang ini kita buat banyak program pembangunan untuk bagi sokongan kepada MALGA dan kita bagi dana peruntukan untuk mereka buat klinik dengan pelajar sekolah.

“Kita ada tandatangan MoU (memorandum persefahaman) dengan KGNS (Kelab Golf Negara Subang) untuk pastikan atlet Malaysia yang nak bertanding, yang nak berlatih, boleh gunakan KGNS dengan diskaun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Golf Maybank 2025 di sini hari ini.

Mengulas isu penurunan hadiah wang tunai bagi kejohanan tempatan selepas pandemik COVID-19, Hannah berkata ia banyak bergantung kepada penajaan sektor swasta selain menyeru lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melabur dalam sukan.

“Hadiah wang tunai banyak bergantung kepada penajaan…itu sebab syarikat-syarikat swasta kena mainkan peranan, tetapi mereka juga mahu tengok bahawa sokongan mereka untuk satu-satu program itu berbaloi untuk mereka,” katanya.

Hannah dalam masa sama menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian lima atlet wanita negara yang beraksi dalam kejohanan golf Maybank 2025, khususnya pemain muda sensasi Mirabel Ting yang menampilkan prestasi cemerlang pada penampilan sulungnya sebagai pemain profesional.

Selain Mirabel, empat pemain negara lain ialah Kelly Tan, Genevieve Ling, Ashley Lau dan Liyana Durisic.

KPM kukuh pembangunan bakat

Serdang: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan murid sekolah memiliki keseimbangan dalam pencapaian akademik, sukan dan bidang kokurikulum bagi memperkasa pembangunan murid secara holistik, serta membentuk sahsiah, disiplin dan daya kepimpinan yang cemerlang.

Timbalan Menteri KPM, Wong Kah Woh, berkata keseimbangan antara akademik dan sukan amat penting kerana sukan membuka ruang kepada pelajar untuk menyerlahkan bakat terpendam mereka.

Menurutnya, KPM sentiasa mencari pendekatan terbaik untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah aktif dan berdaya saing dalam bidang sukan serta kokurikulum.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha KPM untuk memastikan anak-anak kita bukan sahaja kuat dari segi akademik tetapi juga seimbang, mempunyai pentas untuk mempamerkan dan membuktikan kehebatan serta bakat masing-masing dalam bidang sukan dan kokurikulum,” katanya.

Sebagai antara inisiatif utama, KPM menganjurkan Liga Sukan KPM yang berkonsepkan pertandingan liga sebagai medan pembangunan bakat secara berstruktur dan berterusan.

Liga ini adalah kesinambungan kepada Liga Bola Sepak KPM yang merangkumi Liga Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun dan Liga Piala Remaja KPM-FAM B-17, yang dilaksanakan oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) sejak 2008.

Penganjuran itu turut diperluaskan kepada sukan lain termasuk Grand Prix Sepak Takraw pada 2011 dan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM Bawah 14 Tahun pada 2012.

Bagi edisi 2025, Liga Sukan KPM diteruskan dengan melibatkan tiga sukan utama bola jaring, sepak takraw dan olahraga yang menghimpunkan penyertaan murid dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) seluruh negara.

Sirkit pertama liga berlangsung dari 25 hingga 27 April lalu di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor.

Ia kemudian diteruskan dengan sirkit kedua di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dari 11 hingga 13 Julai yang menggunakan tiga venue utama – Dewan Arena Tertutup Gong Badak, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dan Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail.

Sirkit ketiga yang juga pusingan akhir berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) sebagai venue utama. Wong turut menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta dalam menjayakan program pembangunan sukan pelajar ini.

Penganjuran Liga Sukan KPM turut mendapat kerjasama erat daripada persatuan sukan kebangsaan termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Olahraga Malaysia (OM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pertaruhan saat akhir berbaloi, Pandelela raih emas

KUALA LUMPUR – Langkah berani ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menukar darjah kesukaran terjunan terakhir akibat kecederaan ternyata berbaloi apabila tetap menghadiahkan pingat emas acara 10 meter (10m) platform seirama wanita pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2025, sebentar tadi.

Bergandingan dengan Lee Yiat Qing, pasangan berpengalaman itu mengumpul 270.27 mata bagi menewaskan rakan senegara Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar dan Nurul Farisya Affendi yang membawa pulang perak.

Menurut Pandelela, mereka tidak meletakkan jangkaan tinggi menjelang kejohanan itu, sebaliknya hanya mahu menamatkan saingan dengan persembahan terbaik.

“Ada sebab kami tukar darjah kesukaran. Kalau tidak kami buat darjah yang tinggi, namun disebabkan kecederaan saya kami tukar terjunan yang lebih mudah.

“Saya bersyukur semua berjalan dengan lancar hari ini,” kata Pandelela kepada pemberita selepas aksi terjunan di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Pandelela mengakui kecederaan yang dialaminya menyebabkan mereka terpaksa menukar terjunan dengan tahap kesukaran lebih rendah.

“Saya masih belum cergas 100 peratus, tapi yang penting saya dapat habiskan kejohanan dengan selamat dan tenang,” katanya.

Mengulas hala tuju musim depan, atlet berusia 32 tahun itu berkata tumpuan kini beralih ke Sukan Asia 2026, selain mengekalkan gandingan dengan Yiat Qing.

Dalam perkembangan sama, gandingan berpengalaman, Nur Dhabitah Sabri-Ong Ker Ying terus mengekalkan dominasi dalam acara 3m papan anjal seirama wanita apabila mempertahankan kejuaraan dengan kutipan 239.34 mata.

Pasangan muda Uzlifatil Jannah Ashraf-Teng Hui Xue pula tampil cemerlang untuk meraih pingat perak, manakala Leung Ka Sin-Angel Wang menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 201.69 mata. KOSMO! ONLINE

Rhodict tebus keyakinan, tutup musim dengan emas

KUALA LUMPUR – Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises menutup tirai musim 2025 dengan bergaya apabila meraih pingat emas dalam acara 10 meter (10m) platform lelaki Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia selepas mengumpul 417.55 mata di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Lebih manis, kemenangan itu hadir selepas tempoh panjang dia berdepan krisis keyakinan susulan prestasi hambar di Olimpik Paris tahun lalu.

“Ramai mungkin tak tahu, tapi sebenarnya saya agak lama bergelut untuk dapat balik keyakinan selepas kejohanan di Paris. Waktu itu saya hilang terus keyakinan diri.

“Latihan memang berjalan lancar, tapi bila masuk pertandingan, saya susah nak ‘perform’. Proses untuk pulih semula ambil masa lebih setahun juga, jadi saya bersyukur dapat tahan dan teruskan sampai hari ini,” katanya.

Rhodict yang pernah mencatat mata tertinggi 449 mata pada Kejohanan Dunia 2023 di Jepun, berkata kejayaan kali ini memberi semangat baharu menjelang musim depan.

“Masih ada ruang untuk diperbaiki. Terjunan kelima sepatutnya jadi yang terbaik, tapi saya sedikit tersilap. Saya akan tengok semula video dan bincang dengan jurulatih,” ujarnya.

Atlet berusia 20 tahun itu turut mengesahkan kejohanan kali ini menjadi penampilan terakhir tahun ini sebelum memberi tumpuan ke arah kelayakan Piala Dunia dan Sukan Asia tahun depan.

“Tumpuan utama saya sekarang adalah untuk layak ke Piala Dunia berdasarkan mata yang dikumpul di kejohanan diiktiraf FINA. Lepas itu, fokus saya beralih ke Sukan Asia,” jelasnya. KOSMO! ONLINE

Aaron-Wooi Yik simpan tenaga untuk dua misi besar

Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak akan menyertai dua kejohanan utama terakhir dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebagai langkah mengembalikan prestasi terbaik mereka menjelang dua tugasan penting akhir tahun ini.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengesahkan pasangan ranking kedua dunia itu tidak akan beraksi di Masters Kumamoto di Jepun (11-16 November) dan Terbuka Australia (18-23 November).

Pengendali yang diberi julukan ‘Naga Api’ itu berkata, keputusan itu diambil bagi memberi ruang kepada Aaron-Wooi Yik untuk menjalani latihan intensif selama empat minggu sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Thailand dan Jelajah Akhir Dunia.

Katanya, langkah terpaksa diambil susulan prestasi tidak menentu yang dipamerkan mereka terutama dalam siri kejohanan di Eropah, baru-baru ini.

“Aaron-Wooi Yik tidak akan bermain di Kumamoto dan Australia kerana mereka sudah pun layak ke Jelajah Akhir Dunia. Apa yang lebih penting, mereka memerlukan rehat.

“Fokus utama sekarang adalah untuk mereka menjalani latihan berkualiti dalam tempoh empat minggu akan datang bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk Sukan SEA dan Jelajah Akhir Dunia,” kata Herry.

Dalam kempen di Eropah, pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik adalah muncul naib juara di Terbuka Artik sebelum mereka kemudiannya tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Denmark, mara ke separuh akhir Terbuka Perancis serta suku akhir di Terbuka Hylo di Jerman.

Mengulas prestasi anak buahnya, Herry mengakui walaupun pasangan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu tampil dengan corak taktikal yang betul, tetapi kadangkala tidak berjaya menyempurnakannya dengan baik.

Malah menurut pengendali dari Indonesia itu, mereka turut cenderung untuk bermain secara terburu-buru, yang akhirnya membawa kepada kesilapan mudah.

Setakat ini, Aaron-Wooi Ying mengharungi jadual padat yang menyaksikan mereka menyertai 20 kejohanan dengan keletihan turut dikenal pasti sebagai salah satu punca prestasi mereka terjejas.

Setakat ini, gandingan itu sudah berjaya merangkul tiga kejuaraan iaitu Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.