Majlis Sukan Negara Malaysia
IRONMAN Malaysia 2025: Langkawi terus jadi tumpuan dunia

Kuala Lumpur: Langkawi bakal kembali menjadi tumpuan dunia apabila ribuan atlet sukan lasak dari seluruh pelusuk dunia berhimpun di pulau legenda itu bagi edisi ke-10 IRONMAN Malaysia yang dijadual berlangsung dari 30 Oktober hingga 2 November 2025.

Menampilkan cabaran renangan sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan larian maraton 42.2km di bawah terik matahari serta kelembapan tropika, IRONMAN Malaysia kekal sebagai antara triatlon jarak penuh paling mencabar di dunia.

Turut memeriahkan edisi kali ini ialah IRONMAN 70.3 Langkawi, versi separuh jarak penuh yang kembali buat kali ketujuh sejak diperkenalkan pada 2017, membuka peluang kepada atlet elit mahupun amatur untuk menguji ketahanan diri di pentas antarabangsa.

Memasuki tahun ke-10 penganjuran di bawah World Endurance Malaysia, acara ini berkembang pesat menjadi antara kejohanan triatlon jarak jauh paling berprestij di Asia.

Edisi kali ini menarik penyertaan seramai 1,500 atlet dari 56 negara, sekali gus memperkukuh reputasi Langkawi sebagai destinasi perlumbaan dan pelancongan bertaraf dunia.

Malaysia turut mencatat penyertaan besar dengan 500 atlet tempatan bakal beraksi dalam kedua-dua kategori IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi.

Secara keseluruhan, minggu perlumbaan ini dijangka menghimpunkan 5,000 penonton dan 1,250 sukarelawan, menjadikannya antara acara sukan ketahanan terbesar di rantau ini.

Sepanjang sedekad penganjuran, IRONMAN Malaysia menyaksikan pelbagai detik gemilang dengan catatan masa luar biasa.

Rekod kejohanan kini dipegang atlet Brazil, Fernando Toldi dengan masa 8 jam 10 minit 24 saat, manakala atlet wanita Australia, Regan Hollioake merekodkan masa terpantas wanita 9 jam 13 minit 8 saat, kedua-duanya pada edisi 2024.

Bagi wakil tempatan, Fawwaz Fauzi (10:47:42) dan Pow Chia Ling (11:33:41) memegang rekod terbaik Malaysia untuk kategori lelaki dan wanita, melambangkan kematangan serta kekuatan komuniti triathlon negara.

Lebih daripada sekadar perlumbaan, IRONMAN Malaysia memainkan peranan besar dalam memupuk perkembangan sukan triatlon di tanah air, menjadi titik mula kepada ramai atlet tempatan yang kini beraksi di pentas antarabangsa.

Berlatarbelakangkan keindahan pulau tropika, laluan perlumbaan membawa peserta menyusuri pesisir pantai, kampung tradisional serta hutan menghijau sebelum menamatkan perlumbaan di Pantai Cenang yang menjadi simbol ‘RaceCation’, gabungan perlumbaan dan percutian.

Sepanjang laluan, atlet disambut dengan keramahan penduduk Langkawi, menjadikan suasana perlumbaan lebih meriah dan penuh semangat komuniti.

Sejak 2014, IRONMAN Malaysia turut memberi impak besar terhadap ekonomi Langkawi dengan anggaran RM248 juta nilai pulangan ekonomi dicatatkan sepanjang sedekad penganjuran.

Tahun 2019 merekodkan jumlah tertinggi hampir RM38 juta, manakala tahun lalu menyumbang RM23.8 juta selepas pemulihan pascapandemik.

Menurut Pengarah Serantau IRONMAN Asia, CG Lim, penganjuran kali ke-10 bukan sekadar meraikan perlumbaan, tetapi juga semangat yang dibina bersama masyarakat setempat.

“Edisi ke-10 ini lebih daripada sekadar perlumbaan, ia menandakan satu dekad pembangunan komuniti, pendedahan global dan semangat ketahanan yang dikongsi bersama.

“Ramai atlet Malaysia kini layak ke Kejohanan Dunia IRONMAN di Kona, Hawaii, hasil usaha mereka bermula di Langkawi. Ia satu pencapaian luar biasa yang membuktikan sejauh mana komuniti triatlon tempatan sudah berkembang,” katanya.

Tambah beliau, sambutan ulang tahun ke-10 ini turut meraikan dedikasi ribuan sukarelawan dan warga Langkawi yang menjadi tunjang utama kejayaan acara berkenaan.

Dilema SPM atau Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA Thailand 2025, Nurul Huda Abdullah melahirkan kebimbangan terhadap penyertaan 18 atlet negara yang dijadual menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Ia susulan SPM yang berlangsung dari 3 November-23 Disember akan bertembung dengan temasya pada 9-20 Disember ini.

Beliau berkata pihaknya belum mendapat maklum balas Kementerian Pendidikan sama ada kelonggaran khas dapat diberikan kepada atlet terbabit bagi membolehkan mereka tetap menyertai temasya itu tanpa menjejaskan peperiksaan masing-masing.

Katanya, perkara itu menyebabkan dilema kepada atlet dan keluarga untuk membuat keputusan sama ada menyertai temasya dwitahunan itu atau mengambil SPM.

“Terdapat kebimbangan dibangkitkan kepada saya mengenai atlet yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM, yang bertembung dengan jadual Sukan SEA. Setakat ini tiada maklum balas yang pasti,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan ke Temasya Sukan SEA Thailand di Wisma Majlis Olimpik Malaysia hari ini.

Nurul Huda turut memaklumkan pengurus pasukan Sukan SEA Thailand 2025 bakal menggalas tanggungjawab besar susulan tiada perkampungan sukan di temasya dwitahunan itu dan pihak penganjur hanya menyediakan hotel buat atlet dan pegawai terbabit berdasarkan acara sukan disertai mereka.

“Kontinjen kita akan berada di banyak hotel dan hal ini akan menjadi cabaran utama untuk kami dan di sinilah kami juga bergantung pada pengurusan pasukan.

“Tanggungjawab mereka sangat besar dan inilah apa yang saya tekankan hari ini dalam mesyuarat pengurus pasukan. Mereka akan bertanggungjawab atas kebajikan pasukan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Huda turut memaklumkan pihaknya sudah mempunyai senarai pendek atlet yang akan membawa Jalur Gemilang di Thailand.

Menurut beliau senarai tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi memutuskan calon yang sesuai menggalas tanggungjawab itu.

Kontinjen Sukan SEA negara bakal berdepan cabaran logistik

Kuala Lumpur: Kontinjen negara dijangka berdepan cabaran logistik apabila penganjur temasya Sukan Sea 2025 di Thailand memutuskan untuk tidak menyediakan perkampungan sukan bagi menempatkan atlet dan pegawai.

Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah, berkata keputusan itu menyebabkan semua atlet akan ditempatkan di hotel berhampiran venue pertandingan mengikut sukan masing-masing, sekali gus menimbulkan cabaran besar dari segi koordinasi dan pengurusan pasukan.

“Untuk temasya kali ini, tiada perkampungan sukan disediakan. Semua atlet dan pegawai akan tinggal di hotel berbeza mengikut jenis sukan. Ini bermakna kontinjen kita akan bertaburan di beberapa lokasi termasuk Bangkok, Chonburi dan Songkhla,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan perancangan rapi kerana logistik dan penyelarasan antara pasukan, termasuk urusan sains sukan serta perubatan, akan menjadi lebih mencabar berbanding temasya sebelum ini.

“ISN kini sedang menilai hotel paling strategik untuk dijadikan pangkalan utama kontinjen negara, bagi memudahkan urusan sokongan kepada atlet seperti rawatan fisioterapi, pemulihan dan ujian doping,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pengurus pasukan, hari ini.

Tambah Nurul Huda, cabaran itu turut menuntut pengurus pasukan memainkan peranan lebih besar bagi memastikan kebajikan atlet terjamin dan semua urusan logistik berjalan lancar sepanjang temasya berlangsung.

“Setiap pengurus pasukan akan bertanggungjawab penuh terhadap atlet mereka dari segi koordinasi, disiplin, pemakanan dan logistik. Kami perlu memperkasakan mereka kerana keadaan kali ini tidak sama seperti biasa,” ujarnya.

Beliau yang ditemui selepas mesyuarat pengurus pasukan di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini memaklumkan bahawa pihak penganjur Thailand, Taisoc, memberi jaminan penyediaan makanan halal kepada semua kontinjen Islam termasuk Malaysia, selain menempah beberapa hotel tambahan bagi menampung jumlah atlet yang ramai.

“Buat masa ini, kami difahamkan penganjur sudah menjangkakan peningkatan jumlah peserta dan bersedia dengan beberapa hotel tambahan untuk sukan tertentu. Namun pengesahan penuh hanya akan diperoleh lebih dekat dengan temasya,” katanya.

Nurul Huda menegaskan walaupun berdepan cabaran logistik, kontinjen Malaysia akan tetap tampil dengan semangat tinggi dan pendekatan berprestasi, dengan tumpuan bukan sahaja terhadap Sukan Sea kali ini tetapi juga sebagai persiapan jangka panjang menuju Sukan Sea 2027.

Sukan SEA, SPM bertembung, 18 atlet dalam dilema

Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand, Nurul Huda Abdullah, menyuarakan kebimbangan terhadap nasib 18 atlet muda yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana jadual peperiksaan itu bertembung dengan temasya dwitahunan hujung Disember ini.

Menurutnya, ketiadaan keputusan muktamad daripada pihak Kementerian Pendidikan (KPM) menimbulkan dilema kepada atlet dan ibu bapa dalam membuat keputusan sama ada mereka boleh menyertai temasya itu atau sebaliknya.

“Bagi sukan akuatik contohnya, ada ibu bapa nyatakan kebimbangan apabila tiada jawapan muktamad, mereka sukar membuat keputusan sama ada anak mereka boleh menyertai atau tidak. Bukannya mahu tarik diri, tetapi mereka mahukan kepastian,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) ketika ini menyenaraikan 18 atlet terbabit dan menyerahkannya kepada KPM bagi menentukan kaedah terbaik supaya mereka tidak terlepas peluang menduduki peperiksaan.

“Daripada apa yang saya faham, dua pilihan ada sama ada mereka ambil peperiksaan lebih awal, atau mendudukinya semasa berada di Thailand dengan kehadiran pemeriksa khas yang disediakan KPM.

“Dulu ada opsyen untuk mohon periksa lewat, tapi kita tak pasti sama ada kaedah itu akan diguna semula.

“Buat masa ini, belum ada keputusan rasmi. Saya cuma berharap KPM dapat mencari penyelesaian segera supaya kita boleh memberi jaminan kepada atlet dan ibu bapa,” katanya.

Peperiksaan SPM dijadual berlangsung dari 3 November hingga 23 Disember, manakala Sukan SEA di Thailand akan diadakan dari 9 hingga 20 Disember.

Sivasangari ke separuh akhir Terbuka Silicon Valley

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita nombor satu negara, S Sivasangari meneruskan rentak cemerlang di Kejohanan Terbuka Silicon Valley di Redwood City, Amerika Syarikat (AS) apabila menewaskan pilihan tuan rumah, Amanda Sobhy untuk mara ke separuh akhir hari ini.

Pemain nombor lapan dunia dan pilihan ketiga kejohanan itu beraksi cemerlang untuk mencatat kemenangan 3-1 (12-10, 12-10, 8-11, 11-6) ke atas pemain pilihan kelima AS itu dalam pertarungan sengit selama 48 minit di peringkat suku akhir.

Kemenangan itu adalah kali keempat buat Sivasangari menewaskan Sobhy, 32, dalam enam pertemuan mereka setakat ini.

Pada separuh akhir nanti, pemain berusia 26 tahun itu bakal berdepan pilihan ketujuh dari Mesir, Salma Hany yang mengejutkan pilihan kedua dari Jepun,

Satomi Watanabe 3-1 (11-13, 11-8, 11-9, 11-8) dalam satu lagi aksi suku akhir.

Namun, rekod pertemuan tidak banyak memihak kepada Sivasangari apabila beliau hanya menang sekali daripada tiga pertemuan sebelum ini dengan Hany, termasuk kekalahan terbaharu pada Kejohanan Terbuka Skuasy Antarabangsa El Gouna, April lalu.

Bunga Raya 7s keenam, skuad wanita kelapan di Hangzhou

Kuala Lumpur: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara menamatkan cabaran di tempat keenam pada Siri Kejohanan Ragbi Asia Tujuh Sebelah 2025 di Hangzhou, China hari ini.

Pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam, skuad Bunga Raya 7s kendalian Nik Safuan Ismade Nik Man tewas 17-26 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Terdahulu, Malaysia mara ke penentuan kelima dan keenam selepas mencatat kemenangan tipis 14-10 ke atas Taiwan pada perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan.

Nik Safuan ketika mengulas pencapaian itu menyifatkan prestasi keseluruhan pasukan sebagai memberangsangkan meskipun berdepan kekangan kecederaan pemain.

“Prestasi keseluruhan pasukan kali ini memberangsangkan dan kita telah berjaya dapat ranking keenam di Asia. Bagi kondisi pemain, tujuh pemain mengalami kecederaan teruk hingga kita terpaksa merehatkan mereka seketika bagi meneruskan kempen.

“Untuk perancangan saingan Siri 2 di Sri Lanka nanti, saya akan menggantikan beberapa pemain daripada senarai pendek bagi memberi pendedahan, permainan dan bagi memantapkan pasukan menjelang Sukan SEA 2025 pada Disember nanti,” kata Nik Safuan menerusi klip video dikongsi kepada media hari ini.

Siri kedua Kejohanan Ragbi Asia 7s 2025 dijadual berlangsung di Colombo, Sri Lanka dari 18-19 Oktober ini.

Sementara itu, skuad wanita negara mengakhiri saingan di tempat kelapan selepas tunduk 10-17 di tangan UAE pada aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan.

Terdahulu, pada perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan, skuad wanita tewas 0-5 kepada Kazakhstan.

MSN tekad hantar kontinjen terkuat

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan tidak timbul isu sekiranya persatuan sukan kebangsaan menyenaraikan atlet bergelar juara dunia ke temasya Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini kerana Malaysia sememangnya mahu menghantar skuad terkuat.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, langkah itu juga sebahagian persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur apabila Malaysia menjadi tuan rumah.

“Pada edisi 2022 di Vietnam, kita hantar 52 peratus atlet muda. Di Kemboja pula menjadi penampilan kedua mereka, dan kali ini penampilan ketiga. Jadi, mereka sudah ada pengalaman di pentas Sukan SEA.

“Kali ini kita akan hantar yang terbaik kerana kita mahu jadi yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas pengumuman penaja Le Tour de Langkawi, hari ini.

Jefri menjelaskan, siri perbincangan bersama persatuan sukan kebangsaan sudah diadakan sebelum tarikh tutup pendaftaran atlet dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 1 September lalu.

“Mana-mana persatuan yang mendaftar, saya percaya mereka menurunkan atlet terbaik masing-masing. Contohnya badminton dan boling, walaupun baru tamat Kejohanan Dunia 10 hari sebelum itu, tetap akan membawa pasukan terkuat,” katanya.

Menyentuh sasaran pingat, Jefri optimis Malaysia mempunyai peluang lebih baik berbanding edisi Kemboja 2023 yang menyenaraikan banyak acara tradisional tempatan.

“Di Kemboja, kita memang tiada kekuatan kerana acara dipertandingkan berteraskan sukan tradisional negara itu.

“Kali ini, Thailand, Malaysia dan Singapura sudah bersetuju mempertandingkan acara bertaraf Olimpik dan Asia. Contohnya skuasy, boling padang dan boling. Jadi, kita harap ia beri peluang lebih cerah,” katanya.

Keselamatan jadi fokus LTdL

Kuala Lumpur: Aspek keselamatan akan menjadi keutamaan apabila perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) membuka tirai dari 28 September hingga 5 Oktober ini.

Jaminan itu diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) susulan kebimbangan mengenai isu keselamatan selepas pelumba berusia 28 tahun, Low Beng Seng maut akibat bertembung dengan sebuah kereta ketika menyertai Langkawi Legendary Ride pada 14 September lalu.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihak penganjur bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran sepanjang berlangsungnya perlumbaan.

“Kami sudah mengadakan beberapa mesyuarat dengan ketua-ketua jabatan termasuk jawatankuasa penganjur dan wakil polis turut hadir memberikan pandangan mereka.

“Dengan pengalaman yang kami raih sejak tiga tahun lalu, saya yakin isu keselamatan tidak akan timbul. Pihak polis pun mempertingkatkan kekuatan mereka untuk memastikan perlumbaan kali ini dikawal dengan baik,” katanya pada majlis pengumuman BubblesO2 sebagai penaja Jersi Raja Bukit, hari ini.

Menurut Jefri, prosedur operasi standard (SOP) ketat turut dikuatkuasakan oleh PDRM serta Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“UCI mempunyai SOP tersendiri yang perlu dipatuhi dan kami sentiasa mematuhi segala peraturan ditetapkan, sama ada oleh UCI mahupun PDRM,” jelasnya.

Tambah Jefri lagi, persiapan tahun ini juga lebih mudah kerana peloton hanya perlu menyeberang sekali sahaja ke Langkawi, berbeza dengan tahun lalu yang turut membabitkan peringkat perlumbaan di Sarawak.

“Kali ini tidak banyak masalah yang dijangka timbul, dan kami percaya acara akan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTDL 2025, Emir Abdul Jalal berkata, edisi kali ini menelan kos kira-kira RM19.5 juta, dengan RM7.5 juta ditampung melalui tajaan, termasuk RM1 juta dalam bentuk tunai dan barangan daripada BubblesO2.

Beliau menegaskan, berikutan LTdL dianjurkan di bawah MSN, setiap sen daripada peruntukan kerajaan dan penajaan akan disalurkan terus ke aspek operasi, keselamatan, infrastruktur dan logistik, bukannya untuk keuntungan.

Pearly-Thinaah mudah ke suku akhir

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir Masters China 2025 selepas mencatat kemenangan mudah ke atas wakil Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai, sebentar tadi.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Shenzhen Arena, pasangan yang kini berada di ranking kedua dunia itu hanya memerlukan 26 minit untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan straight set 21-11, 21-8.

Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah bakal membuat perhitungan sama ada menentang rakan senegara, Ong Xin Yee-Carmen Ting atau pilihan keenam kejohanan dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee di suku akhir, esok.

Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pasangan pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Walaupun mempamerkan saingan sengit pada set pertama yang dimenangi 21-16, Pang Ron-Su Yin yang menghuni ranking ke-14 dunia akhirnya akur tewas dalam dua set berikutnya, 7-21, 10-21 dalam perlawanan yang memakan masa 58 minit.

Aaron-Wooi Yik berhempas pulas singkir beregu England

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipaksa bermandi peluh sebelum melangkah ke suku akhir Masters China selepas menundukkan pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy pada aksi pusingan kedua, hari ini.

Bekas juara dunia itu bermula longlai apabila tewas set pertama 14-21, namun bangkit mempamerkan ketenangan untuk meraih kemenangan dalam dua set berikutnya 21-15, 25-23 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 72 minit.

Menanti Aaron-Wooi Yik di suku akhir esok ialah sama ada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, yang akan turun beraksi lewat malam ini.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berakhir selepas Leong Jun Hao tumpas di tangan pemain tuan rumah Li Shi Feng 11-21, 21-19, 8-21.

Turut tersingkir ialah beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tewas kepada gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-16, 7-21, 10-21.